Topic followed successfully
Go to BHkuTradisi unik duit Raya: Siapa tangan besar, untung kaut syiling $1 terbanyak
Tradisi unik duit Raya: Siapa tangan besar, untung kaut syiling $1 terbanyak
Tradisi unik duit Raya: Siapa tangan besar, untung kaut syiling $1 terbanyak
Siapa tangan besar, dialah yang dapat kaut banyak syiling $1 untuk duit Raya!
Itulah permainan keluarga Cik Fidyana Ain Hasan, untuk tahun ketiga berturut-turut, bagi menentukan jumlah duit Raya masing-masing.
Bapa Cik Fidyana, yang berjimat-cermat orangnya dan suka mengumpul syiling, telah menabung sepanjang tahun, demi menyiapkan bekas besar penuh dengan syiling $1 dan 50 sen.
Pada pagi Raya, ahli keluarga akan menggunakan tangan mereka untuk mengaut sebanyak mungkin syiling dan hasilnya kemudian akan menentukan jumlah duit raya mereka pada tahun itu.
Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Cik Fidyana, 40 tahun, berkongsi bahawa 90 peratus daripada bekas besar itu terdiri daripada syiling $1 manakala yang baki ialah syiling 50 sen.
Menariknya, itu merupakan duit simpanan bapanya sendiri.
Apabila ditanya mengenai anggaran jumlah duit dalam bekas itu, usahawan itu menjawab:
“Ayah selalu memberitahu kami, satu bekas penuh sekitar $3,000 tapi saya percaya, ia lebih daripada itu.”
Permainan itu memerlukan setiap ahli keluarga untuk bergilir-gilir, bermula daripada ibu mereka, yang diberikan kelebihan menggunakan dua tangan untuk mengaut syiling.
Anggota keluarga lain hanya dibenarkan menggunakan sebelah tangan sahaja.
“Permainan ini untuk keluarga sahaja, bukan untuk orang luar.
“Jadi lapan orang yang main permainan ini merangkumi ibu dan empat anaknya, serta tiga cucu dan pembantu rumah,” jelas Cik Fidyana.
Menurutnya, sejak kecil lagi, bapanya selalu merancang cara seronok untuk memberikan duit Raya.
“Ada je cara ayah nak memberi dengan cara yang berbeza. Tapi tahun ni saya dapat merakamkannya,” ujar Cik Fidyana.
Video yang merakam pengalaman tersebut dimuat naik ke Instagram dan Facebook pada 22 Mac.
Kapsyen dalam hantaran yang dimuat naik seperti berikut:
“Memang rutin setiap Raya keluarga Fidy buat (permainan) begini. Untuk budak-budak dan keluarga sendiri.
“Terima kasih ayah merancang rutin ‘tak sihat’ untuk keluarga.
“Kami sangat menggalakkan ayah buat permainan ini setiap Raya!”
Hantaran itu telah meraih lebih 400,000 tontonan dan mendapat hampir 2,000 tanda suka setakat ini.
Seorang pengguna ‘Apple Zainun’ berkata:
“Ini lebih seronok daripada memberi duit kertas. Idea yang baik.”
Pengguna ‘Nazirah Osman’ juga puji cara kreatif ini dan berkata:
“Idea yang baik. Menabung daripada tak terasa. Tau tau dah penuh. Boleh bagi sebagai duit raya.”
Pada Raya 2026 ini, Cik Fidyana berjaya mengaut sekitar $200, sama seperti Raya yang lalu.
Memandangkan ibunya mendapat kelebihan menggunakan dua tangan untuk mengaut, beliau berjaya meraih sekitar $400 dan itu merupakan jumlah tertinggi.
“Setiap orang hanya dapat cuba sekali sahaja untuk kaut.
“Kalau nak lagi, kena tunggu tahun depan!” seloroh Cik Fidyana.

