SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pak cik ‘cool’ agih kad Pokemon sebagai duit Raya

Pak cik ‘cool’ agih kad Pokemon sebagai duit Raya

Mar 25, 2026 | 6:15 PM

Pak cik ‘cool’ agih kad Pokemon sebagai duit Raya

kad Pokemon, duit raya, tradisi Hari Raya
Encik Muhammad Zharfan Mohd memberikan pek kad Pokemon sebagai duit raya kepada kanak-kanak. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM THEZHARFS

Bayangkan menerima paket kad Pokemon sebagai duit raya.

Mungkin ada yang memandangnya sebagai pelik.

Tetapi inilah antara cara kreatif bagi Encik Muhammad Zharfan Mohd, 36 tahun, memeriahkan suasana Aidilfitri dan mencuit hati tetamu ciliknya pada Hari Raya kali ini.

Sebagai peminat tegar kad Pokemon, Encik Zharfan menyedari bahawa ramai kanak-kanak juga minat mengumpul edisi kad tersebut.

“Anak-anak saya juga kumpul kad Pokemon kerana ikut minat saya, dan saya suka melihat keseronokan reaksi mereka. Jadi saya nak kongsi kebahagiaan hobi ini dengan orang lain,” jelas bapa tiga anak itu apabila dihubungi Berita Minggu (BM).

Jika mengikuti harga pasaran, setiap pek kad berharga antara $4 dengan $12, tetapi Encik Zharfan telah mendapat tawaran hebat dalam talian yang menawarkan sehingga 60 pek pada harga $100 sahaja.

“Semua kanak-kanak gembira menerima pek kad Pokemon itu.

“Ada yang memang tak nak duit raya dan nak pek kad Pokemon. Ada satu pula yang kemudian memeluk saya dan berkata, ‘Ini raya paling best!’,” seloroh pustakawan itu yang sejauh ini telah mengagihkan lebih 35 paket kad Pokemon.

Untuk meraikan detik yang unik ini, Encik Zharfan telah memuat naik video di Instagram yang memaparkan pemberian pek kad Pokemon itu serta reaksi kanak-kanak, lengkap dengan kapsyen melucukan, ‘Memang jadi pak cik paling ‘cool’ raya ini’ (Definitely scored points on being the coolest uncle during raya).

Video itu telah menerima lebih 67 ribu tontonan dan meraih lebih 3,000 tanda suka setakat ini.

Seorang pengguna, ‘hilmi21’ berkata:

“Wah, nampaknya ini boleh mengeratkan silaturrahim juga. Syabas dan idea yang baik, saya pun rasa nak ikut cara ini.”

Seorang lagi ‘xxjoylove’ meninggalkan komen:

“Kanak-kanak kelihatan lebih gembira berbanding menerima duit raya.”

Encik Zharfan juga menambah bahawa meskipun beliau mengagihkan kad Pokemon, isterinya tetap memberikan duit raya.

“Kami tidak mahu membelakangkan tradisi.

“Memberi duit raya itu membawa keceriaan, namun jika ada sedikit kelainan yang menyeronokkan, kesannya lebih mendalam.

“Bagi saya, sesuatu yang menghiburkan akan sentiasa diingati,” ujar Encik Zharfan. – NUR SYUHRAH HASSAN

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg