SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Terharu apabila ‘jiran syurga’ kumpul ucap selamat tinggal sebelum pindah

Terharu apabila ‘jiran syurga’ kumpul ucap selamat tinggal sebelum pindah

Pasangan suami isteri anggap jiran seperti keluarga, hargai silaturahim terjalin
Apr 8, 2026 | 4:28 PM

Terharu apabila ‘jiran syurga’ kumpul ucap selamat tinggal sebelum pindah

Selepas hampir tiga dekad menetap di rumah yang sama di Pasir Ris, Cik Amiliah Basri dan suami, Encik Abu Bakar menerima perpisahan yang penuh emosi apabila jiran berkumpul di tempat letak kereta di bloknya untuk mengucapkan selamat tinggal pada 6 April.

Mereka kini berpindah untuk menetap sementara di rumah anak sebelum mendapat rumah mereka sendiri di Tampines.

Sebuah video yang dikongsi oleh jiran, dikenali sebagai Cik Yuli, merakam detik menyentuh hati itu, sekali gus menonjolkan hubungan erat yang terjalin sepanjang 29 tahun.

Video yang diberikan kapsyen “Cik Amiliah dan Encik Bakar merupakan lebih daripada jiran” sambil kelihatan sepasang suami isteri itu melambai kepada para jiran sebelum menaiki kereta.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Amiliah, 57 tahun, berkata beliau amat terharu dengan kejutan itu, sambil mengimbau kembali kenangan membina hubungan rapat dengan jiran di blok berkenaan.

“Saya dan suami berhasrat untuk berpindah kerana kami sudah bersara. Jadi kami memilih untuk mengecilkan kediaman dari rumah apartmen eksekutif kepada rumah tiga bilik memandangkan anak-anak pun dah besar,” kata ibu kepada dua orang anak itu.

Sebanyak lapan keluarga jiran datang untuk mengucapkan selamat tinggal termasuk daripada tingkat tujuh dan empat.

Menurut Cik Amiliah, sepanjang menetap di situ, beliau menyifatkan jirannya sebagai keluarga sendiri.

Silaturahim yang terjalin diperkukuh melalui pelbagai pengalaman bersama yang dikenang, termasuk menyambut Hari Raya, berkongsi juadah ketika Ramadan serta saling membantu ketika menghadapi saat-saat sukar seperti semasa pandemik dan kehilangan insan tersayang.

“Saya sayang jiran saya. Khususnya dengan anak-anak Yuli yang begitu rapat dengan kami.

“Setiap kali keluar ke sekolah, mereka tidak lupa menyapa dengan mesra, ‘Nyai, kami pergi dulu,’ dan sekembalinya pula, ‘Nyai, kami dah balik’. Anak jiran macam cucu saya sendiri,” katanya.

Cik Amiliah Basri (barisan belakang, kiri) dan Encik Abu
Bakar Hassan (barisan belakang, kanan) terkenang saat berinteraksi bersama anak-anak jiran mereka yang dianggap sebagai cucu sendiri.
Cik Amiliah Basri (barisan belakang, kiri) dan Encik Abu Bakar Hassan (barisan belakang, kanan) terkenang saat berinteraksi bersama anak-anak jiran mereka yang dianggap sebagai cucu sendiri. - Foto ihsan AMILIAH BASRI

Hari terakhirnya di kawasan itu menjadi detik yang sukar dilupakan apabila ramai jiran sanggup meluangkan masa, malah menunggu berjam-jam, semata-mata untuk mengucapkan selamat tinggal.

“Kaki saya jadi macam kaku bila nampak mereka tunggu saya berikan kunci kepada pembeli. Ada yang sanggup balik kerja awal untuk jumpa saya.

“Dua hari saya tak boleh tidur, ingat dekat jiran. Saya betul-betul terharu,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa mereka semua sangat aktif dan prihatin, dengan amalan saling mengambil berat antara satu sama lain, berkongsi maklumat melalui kumpulan sembang serta menganjurkan pertemuan seperti jamuan dan sambutan perayaan.

“Kami semua sempat berkumpul buat kali terakhir di rumah Aida (jiran tingkat empat) sebelum saya pindah,” tambah nenek kepada tiga cucu itu.

Menariknya, pembeli rumahnya bukanlah orang asing.

Menurut Cik Amiliah, pembeli itu merupakan kenalan kepada Cik Aida, sekali gus menjadikan urusan tersebut lebih bermakna kerana masih dalam lingkungan yang dikenali.

Tambah beliau, Cik Aida turut memperkenalkan mereka kepada jiran yang lain, bagi memastikan kesinambungan hubungan erat dalam komuniti itu.

Cik Amiliah turut berkongsi nasihat bahawa semangat kejiranan yang utuh lahir daripada sikap saling menghormati, bertimbang rasa dan tidak mencampuri urusan peribadi secara berlebihan.

Walaupun berpindah, beliau berhasrat untuk terus mengekalkan silaturahim dengan jiran-jiran lamanya.

Malah, jirannya juga turut memintanya kekal dalam kumpulan sembang dan berjanji untuk terus bertemu, terutama pada musim perayaan.

“Saya selalu bawa botol kaca berisi air untuk memadam bunga api ketika kami semua bermain bunga api. Jadi apabila saya berpindah, mereka berpesan supaya saya menyimpan botol itu – sebagai tanda saya perlu kembali pada Hari Raya nanti untuk membawanya semula,” kongsi beliau.

Mengakhiri perbualan, Cik Amiliah meluahkan rasa syukur atas silaturahim yang terjalin, sambil menyifatkan jiran-jirannya sebagai “jiran di syurga” yang sentiasa ada dalam saat susah dan senang.

“Allah dah temukan kita di blok 203, mudah-mudahan Allah akan satukan kita di Syurga juga,” akhiri beliau.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg