SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Atur Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa ikut keperluan keluarga, utamakan rehat ibu

Atur Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa ikut keperluan keluarga, utamakan rehat ibu

Cukupkah cuti tambahan bagi dorong ibu bapa lahirkan lebih ramai anak?
Apr 9, 2026 | 5:30 AM

Atur Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa ikut keperluan keluarga, utamakan rehat ibu

DNA
Penulis kembali bekerja setelah berehat hampir enam bulan menggunakan cuti dibayar pemerintah selepas melahirkan anak ketiganya, Zahra Mohammad Hanafi (bawah), pada Oktober 2025. Beliau mempunyai dua lagi anak, Munawwarah (kanan) dan Hamzah. - Foto BH oleh NUR DHUHA ESOOF

Selepas hampir enam bulan bercuti setelah melahirkan anak ketiga (dan terakhir) saya, saya kembali ke pejabat pada 6 April.

Saya kembali ke tempat kerja dengan fikiran yang tenang, tubuh yang bertenaga dan semangat yang berkobar-kobar.

Malah, sejak beberapa minggu sebelumnya, saya sudah memberitahu ahli keluarga dan kenalan bahawa saya bersedia kembali ke tempat kerja.

Ini berbeza dengan keadaan saya selepas melahirkan anak sulung pada 2019 dan anak kedua pada 2022.

Bagi kedua-duanya, saya mendapat cuti bersalin 16 minggu, dan kemudian meminta untuk bekerja dari rumah selama satu bulan selepas itu.

Mengapa kali ini saya lebih bersedia? Saya rasa kerana saya sudah cukup berehat dengan cuti bersalin 16 minggu dan tambahan enam minggu Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa (SPL).

Skim SPL baru

Skim SPL baru diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 2024.

Ia menggantikan skim terdahulu iaitu 2013-SPL, yang membolehkan suami yang mahu lebih terlibat dalam penjagaan bayi berkongsi hingga empat daripada 16 minggu cuti bersalin isteri mereka.

Di bawah skim SPL baru, ibu bapa bekerja yang layak dengan bayi warga Singapura yang dilahirkan pada atau selepas 1 April 2025 boleh mengambil SPL selama enam minggu dalam fasa pertama.

Tempoh SPL dinaikkan kepada 10 minggu bagi kelahiran selepas 1 April 2026 dalam fasa kedua.

Cuti itu boleh dikongsi antara ibu bapa dan perlu diambil dalam tempoh 12 bulan dari tarikh kelahiran bayi (termasuk tarikh lahir).

Selain SPL, cuti paterniti mandatori juga telah digandakan daripada dua kepada empat minggu mulai April 2025.

Secara keseluruhan, mulai 1 April 2026, ibu bapa boleh mendapat hingga 30 minggu cuti dibayar pemerintah dalam tahun pertama selepas kelahiran bayi.

Peningkatan yang diumumkan itu antara langkah pemerintah menggalak pasangan mempunyai lebih ramai anak sedang Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) Singapura terus menyaksikan kemerosotan.

TFR bagi penduduk Singapura pada 2025 mencecah paras terendah dalam sejarah iaitu 0.87, turun daripada 0.97 pada 2024.

Bagaimana saya dan suami kongsi SPL?

Beberapa minggu sebelum kelahiran anak kami, saya dan suami membincangkan bagaimana untuk berkongsi SPL.

Kami sedar antara sebab pemerintah menawarkan SPL adalah untuk meningkatkan penglibatan bapa dalam penjagaan bayi yang baru lahir.

Ini boleh membantu mengurangkan rasa burnout atau keletihan yang dialami ibu.

Saya akur banyak yang boleh bapa lakukan untuk mengurangkan keletihan ibu yang baru melahirkan, seperti memberi susu, menidurkan dan menukarkan lampin bayi.

Tetapi bagi saya, memandangkan saya menyusukan bayi, saya tidak begitu memerlukan banyak bantuan suami dalam penjagaan bayi.

Suami saya lebih diperlukan untuk menjaga anak-anak yang lebih besar terutama tidur dengan mereka setiap malam ketika saya sedang berpantang.

Justeru, selepas mempertimbangkan keperluan keluarga kami, saya dan suami memutuskan agar saya yang mengambil kesemua SPL.

Ini agar saya dapat berehat pada siang hari setelah kerap bangun malam untuk menyusukan bayi.

Setelah membuat keputusan itu, saya memaklumkan majikan saya tentang rancangan cuti bersalin dan SPL saya.

Selepas selamat melahirkan, saya menghantar pengaturan perkongsian SPL di LifeSG semasa mendaftarkan kelahiran bayi.

Kemudian bermulalah tempoh berehat daripada kerja paling lama yang pernah saya nikmati sejak mula bertugas hampir 20 tahun lalu.

Peluang berehat, atur rutin baru

Seperti yang dialami kebanyakan ibu baru, tempoh dua minggu selepas melahirkan adalah yang paling mencabar.

Tubuh memerlukan masa untuk pulih dan kembali bertenaga selepas proses melahirkan.

Rasa sakit dan bengkak di pelbagai bahagian tubuh juga mengambil masa untuk beransur pergi.

Bayi pula mengalami penyakit kuning, atau jaundis, jadi saya dan suami perlu berulang-alik ke poliklinik dan hospital untuk melakukan ujian darah dan rawatan fototerapi.

Selepas tempoh dua minggu itu, keadaan saya dan bayi sudah semakin stabil dan rutin harian telah ditetapkan.

Selesai tempoh berpantang sekitar 40 hari, saya kembali bertenaga dan dapat meluangkan masa dengan anak sulung dan kedua yang mendapat kurang perhatian daripada saya sebelum itu.

Satu lagi manfaat mengambil cuti bersalin dan semua SPL sekali gus adalah saya hanya perlu kembali ke tempat kerja apabila anak saya hampir berumur enam bulan.

Ini sangat membantu kerana setelah berumur enam bulan, bayi sudah boleh mula makan makanan pejal dan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada susu ibu.

Jadi, saya tidak perlu risau jika bekalan susu badan mula merosot setelah kembali ke kerja – satu perkara yang biasa berlaku kerana kekurangan masa mengepam susu.

Hargai sokongan

Saya dan suami tidak merancang mempunyai anak ketiga, namun bersyukur dikurniakan bayi yang kami namakan Zahra itu pada tahun pemerintah meningkatkan sokongannya kepada keluarga besar.

Pada Belanjawan 2025, Encik Wong mengumumkan Skim Keluarga Besar (LFS) yang bertujuan menyokong suami isteri yang mempunyai, atau bercita-cita mempunyai tiga anak atau lebih.

Di bawah skim itu, antara sokongan yang diterima ibu bapa termasuk dalam bentuk Kredit LifeSG Keluarga Besar (LFLC) bernilai $1,000 setiap tahun bagi setiap anak ketiga dan seterusnya, dari usia setahun hingga enam tahun.

Kredit itu boleh digunakan untuk perbelanjaan harian seperti barangan runcit, pengangkutan serta bil utiliti.

Selain itu, LFS turut menawarkan tambahan $5,000 dalam Geran Langkah Pertama (FSG) CDA, bagi setiap anak ketiga dan seterusnya, yang dilahirkan pada atau selepas 18 Februari 2025.

Skim yang memberi sokongan kewangan sudah tentu akan meringankan beban ibu bapa, namun bagi saya dan suami, dan saya yakin ramai ibu bapa lain, masa bermutu yang dapat diluangkan bersama anak-anak, turut penting.

Kini, cuti SPL telah dinaikkan ke 10 minggu.

Jika saya melahirkan lagi, dan ambil kesemua SPL dan cuti lepas bersalin, saya dapat bercuti hampir tujuh bulan. Adakah ini akan mendorong saya untuk mempunyai anak keempat, kelima dan seterusnya?

Ia tawaran yang menarik tetapi jawapan saya adalah tidak, dan sebab-sebabnya mungkin akan saya kongsi dalam catatan akan datang.

Akhir kata, selamat bertemu kembali dan terima kasih kerana terus menyokong ruangan Dunia Anak (DNA) Berita Harian!

Butiran Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa (SPL) 10 minggu mulai 1 April 2026

– Ibu boleh mengambil cuti bersalin selama 16 minggu.

– Bapa boleh mengambil cuti paterniti selama empat minggu.

– Selain itu, pasangan boleh mendapat Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa (SPL) selama 10 minggu.

– Ibu bapa boleh mengagihkan SPL sesama mereka berdasarkan pengaturan penjagaan yang paling sesuai dengan keperluan keluarga.

– Pastikan perubahan kepada pengaturan perkongsian SPL dibuat dalam tempoh empat minggu selepas kelahiran anak, supaya majikan mempunyai cukup masa membuat penyesuaian.

– Ibu bapa perlu menggunakan cuti bersalin dan cuti paterniti terlebih dahulu sebelum menggunakan SPL. 

– Semua cuti mesti digunakan dalam tempoh 12 bulan selepas tarikh lahir bayi (termasuk tarikh lahir).

– Anak mestilah warga Singapura. Bapa yang ingin mengambil cuti paterniti mestilah berkahwin dengan ibu anak tersebut.

– “Ibu bapa yang bekerja” ditakrifkan sebagai mereka yang telah berkhidmat dengan majikan mereka untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan secara berturut-turut sebelum kelahiran anak mereka. Individu yang bekerja sendiri juga layak selagi mereka terlibat dalam pekerjaan selama sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut sebelum anak itu dilahirkan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg