Topic followed successfully
Go to BHkuRakan artis S’pura bersatu kumpul dana buat Norish Karman
Rakan artis S’pura bersatu kumpul dana buat Norish Karman
Rakan artis S’pura bersatu kumpul dana buat Norish Karman
Beberapa rakan serta penggiat seni di Singapura berganding bahu bagi menyokong artis kelahiran Singapura, Norish Karman yang kini berdepan masalah kekurangan darah dan zat besi.
Sejak 8 April lalu, Norish telah dimasukkan ke hospital Malaysia di daerah Klang Valley bagi menerima rawatan lanjut.
Encik Mohamad Yazid Mohd Fami, yang telah mengenali pelakon itu sejak tahun 1990an, berkata beliau telah memulakan kempen kutipan dana secara tidak rasmi pada 13 April bagi membantu meringankan kos perubatan Norish di Malaysia.
“Ramai rakan-rakan seni yang lain turut melibatkan diri dalam kutipan dana ini dengan niat untuk membantu artis tanah air seperti Norish,” kata pemuzik itu ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Meskipun sudah lama tidak bertemu Norish, Encik Yazid berkata beliau sering menghubungi anak-anak Norish untuk mendapatkan berita terkini tentang ibunya.
Sebelum ini, BH telah menghubungi anak ketiga Norish yang dikenali sebagai Manda, yang menjelaskan bahawa tahap hemoglobin ibunya berada pada paras sangat rendah iaitu 2.5, manakala tahap zat besi hanya 1.4 – suatu keadaan yang disifatkan sebagai sangat berbahaya dan bukan sekadar kes anemia biasa.
Sebelum ini, Encik Yazid, 59 tahun, serta beberapa lagi rakan seni juga pernah memulakan kempen mengumpul dana buat Norish pada 2022.
Hasil usaha itu, mereka meraih lebih dari RM1,700 ($547) untuk membantu anak-anak Norish pulang ke Singapura.
Kini, Encik Yazid berharap ramai lagi yang akan tampil menghulurkan bantuan buat Norish dalam fasa yang amat sukar ini.

