SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Norish Karman sakit kritikal: Anak bidas dakwaan netizen yang ‘ragu’ keadaan ibunya

Norish Karman sakit kritikal: Anak bidas dakwaan netizen yang ‘ragu’ keadaan ibunya

Apr 10, 2026 | 5:43 PM

Norish Karman sakit kritikal: Anak bidas dakwaan netizen yang ‘ragu’ keadaan ibunya

Artis kelahiran Singapura, Norish Karman, kini dilaporkan sedang dirawat dalam wad berisiko tinggi, menurut keluarganya.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), anak ketiga Norish, Cik Hanyz Amanda, yang juga dikenali sebagai Manda, berkata Norish kini berdepan masalah kekurangan darah dan zat besi yang serius.

Ketika dihubungi, Manda berkata ibunya, yang beliau gelar sebagai ‘Bunda’, telah dimasukkan ke wad sejak 8 April.

“Keadaan Bunda ketika ini masih lemah. Beliau telah menerima satu beg transfusi darah semalam dan kini berehat seketika daripada kesakitan,” katanya yang berusia 22 tahun.

BH difahamkan pelakon tersebut dijangka menjalani transfusi darah kedua pada 10 April, dengan kemungkinan sehingga tiga beg darah diperlukan secara keseluruhan.

Selepas itu, rawatan akan diteruskan dengan transfusi zat besi.

“Doktor menasihatkan Bunda supaya banyak berehat dan tidur, namun seperti biasa, Bunda tetap memikirkan tentang anak-anak serta kebajikan keluarga,” katanya.

Manda turut memaklumkan bahawa ibunya kini sangat lemah dan hanya mampu baring atau menggunakan kerusi roda.

Atas faktor privasi dan kesihatan mental, pihak keluarga memilih untuk tidak mendedahkan lokasi hospital tempat Norish dirawat, namun BH difahamkan beliau kini dirawat di hospital sekitar Klang Valley.

Dari segi diagnosis, Manda menjelaskan bahawa tahap hemoglobin ibunya berada pada paras sangat rendah iaitu 2.5, manakala tahap zat besi hanya 1.4 – suatu keadaan yang disifatkan sebagai sangat berbahaya dan bukan sekadar kes anemia biasa.

Menurutnya, keadaan tersebut berpotensi menyebabkan komplikasi serius seperti strok, kegagalan jantung, dan pelbagai penyakit lain jika tidak dirawat segera.

Beliau turut berkongsi bahawa Norish telah lama bertahan dalam keadaan tersebut, sebahagiannya disebabkan kekangan kewangan apabila tidak lagi menerima tawaran berlakon.

Walaupun ada tawaran, ia memerlukan syarat yang tidak selari dengan prinsip dirinya.

Untuk menyara kehidupan, mereka sekeluarga menjalankan perniagaan makanan di bazar, di tepi jalan serta katering dari rumah.

“Tekanan hidup yang berpanjangan turut memburukkan lagi keadaan kesihatan ibu. Jika saya tidak memujuknya ke hospital, mungkin saya sudah kehilangannya,” katanya, sambil menambah bahawa Norish akhirnya dibawa ke unit kecemasan sebelum dimasukkan ke wad pada 8 April.

Dari segi rawatan, Norish dijangka menjalani beberapa pusingan transfusi darah dan zat besi selain perlu mendapatkan rehat secukupnya.

Orang ramai yang ingin membantu disarankan untuk menyumbang bagi kebajikan empat anak angkat di bawah jagaan Norish, selain terus mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan segera, kata Manda.

Di tengah spekulasi yang semakin memuncak dalam talian, Manda juga kini menguruskan semua komunikasi termasuk akaun Instagram ibunya.

Baru-baru ini media tempatan Malaysia, Harian Metro, turut melaporkan bahawa terdapat beberapa spekulasi mengenai kesahihan dalam pengumpulan dana bagi Norish yang didirikan oleh anak-anaknya melalui gogetfunding.

Ada juga dalam kalangan netizen yang turut ragu akan dakwaan bahawa Norish sedang dalam keadaan kritikal.

Manda turut menafikan dakwaan penipuan berkaitan kutipan dana yang sedang dijalankan, sambil menegaskan bahawa keadaan Norish adalah kritikal dalam satu hantaran melalui Instagram ibunya ‘thenorishkarman’ pada petang 10 April.

Hantaran tersebut juga menyatakan bahawa Norish merupakan pesakit berisiko jatuh dan beliau tidak akan menerima sebarang lawatan buat masa ini.

“Pengumpulan dana ini adalah idea saya sendiri yang turut disokong oleh adik-beradik serta beberapa rakan rapat kami, sebagai usaha untuk membantu menampung rawatan perubatan ibu kami.

“Ini adalah cara kami – sebagai anak-anak yang sedang berusaha sedaya upaya – untuk memastikan satu-satunya ibu kami mendapat rawatan terbaik serta ruang untuk berehat daripada tekanan kehidupan.

“Dalam masa yang sama, bantuan ini juga bertujuan untuk menyokong empat adik angkat kami yang masih kecil dan masih memerlukan pelbagai bentuk sokongan sepanjang ibu kami menjalani proses pemulihan,” tambah Manda lagi.

Buat masa ini, lebih RM2,000 telah disumbang kepada beliau.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg