Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis beri amaran penipuan samar pegawai kanan pemerintah
Polis beri amaran penipuan samar pegawai kanan pemerintah
Polis beri amaran penipuan samar pegawai kanan pemerintah
Polis memberi amaran kepada masyarakat umum supaya berwaspada terhadap penipuan yang melibatkan penipu menyamar sebagai pegawai kanan pemerintah, termasuk sebagai “Setiausaha kepada Kabinet”.
Ini selepas kes berkenaan telah meningkat sejak awal Mei tahun ini (2026).
Dalam kenyataan pada 14 Mei, Pasukan Polis Singapura (SPF) memaklumkan bahawa penipu kini menyasarkan karyawan perniagaan yang pernah berurusan dengan pegawai pemerintah sebelum ini.
Modus operandi penipuan itu melibatkan penipu yang menyamar sebagai pegawai kanan dan mengarahkan mangsa menghadiri mesyuarat dalam talian kononnya bersama Presiden, para Menteri dan pegawai pemerintah lain.
“Mangsa akan diminta untuk memberikan alamat e-mel bagi menerima ‘perjanjian yang tidak didedahkan kepada orang awam’ (NDA) bagi mesyuarat tersebut.
“Penipu juga akan mengarahkan mangsa menandatangani NDA itu serta memberi salinan kad pengenalan mereka,” kata polis dalam kenyataan itu.
Memberi contoh salah satu kes tersebut, polis berkata seorang mangsa menerima mesej WhatsApp menggunakan gambar profil “Setiausaha kepada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong”, dan “Setiausaha Kabinet”, yang memintanya menghadiri mesyuarat bersama Encik Wong.
Tambah polis, mangsa turut menerima e-mel daripada alamat yang mencurigakan, kononnya daripada pegawai sama, yang meminta bantuan kewangan segera berkaitan situasi di Selat Hormuz.
Encik Wong turut memberi amaran kepada orang ramai menerusi hantaran Facebooknya pada 14 Mei agar berhati-hati.
Beliau turut menjelaskan bahawa dalam satu kes, satu sidang video telah diatur seolah-olah melibatkan beliau dan pegawai pemerintah lain, namun para peserta sebenarnya direka menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) ‘deepfake’ (pemalsuan mendalam), menyebabkan mangsa akhirnya terpedaya dengan penipuan tersebut.
Dalam kes terdahulu dengan taktik serupa, polis telah menahan dan mendakwa tiga individu pada 9 Mei kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan kad SIM.
Polis menegaskan bahawa pegawai pemerintah tidak akan meminta orang awam memindahkan wang, mendedahkan butiran perbankan, memuat turun aplikasi telefon daripada sumber tidak rasmi, atau memindahkan panggilan kepada polis atau agensi lain, melalui telefon atau e-mel.
Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan aplikasi ScamShield, menyemak kesahihan mesej atau panggilan mencurigakan, serta melaporkan segera sebarang transaksi mencurigakan kepada pihak bank.
Mereka yang ragu-ragu boleh menghubungi talian bantuan ScamShield di 1799.
