Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis lancar Jabatan Siber bagi perangi penipuan, jenayah dalam talian lain
Polis lancar Jabatan Siber bagi perangi penipuan, jenayah dalam talian lain
Unit baru dilancar Julai akan gabung keupayaan Pasukan Polis, Pusat Anti-Penipuan
Polis lancar Jabatan Siber bagi perangi penipuan, jenayah dalam talian lain
Sebuah Jabatan Siber (Cyber Command) polis baharu akan ditubuhkan pada Julai, menyatukan keupayaan jenayah siber dan antipenipuan yang sedia ada daripada seluruh Pasukan Polis Singapura (SPF), termasuk Pusat Anti-Penipuan (ASC) semasa.
Unit itu dibentuk khusus untuk memerangi jenayah dalam talian, termasuk penipuan dan jenayah siber lain.
Mengumumkan perkara ini pada 11 Mei, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, berkata Jabatan Siber akan menjadi unit barisan hadapan yang akan bermula dengan kira-kira 200 pegawai.
Jumlah itu akan digandakan kepada lebih 400 pegawai, tambahnya.
Encik Goh berucap pada majlis pembukaan Persidangan Anti-Penipuan 2026, yang diadakan di Kompleks Polis Cantonment dari 11 hingga 13 Mei.
Persidangan itu menyaksikan wakil dari lebih 20 negara, termasuk Perancis dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), berkumpul dan berkongsi amalan terbaik untuk mengganggu rangkaian jenayah rentas sempadan.
Dalam ucapan pembukaannya, Encik Goh berkata polis akan membawa perjuangan menentang penipuan dan penjenayah siber ke peringkat lebih awal, serta menyekat ancaman itu sebelum ia sampai ke Singapura.
Untuk melakukannya, beliau berkata Jabatan Siber itu akan secara aktif menghapuskan prasarana jenayah seperti laman web palsu dan talian telefon yang digunakan dalam penipuan pancingan data.
Pada masa ini, polis sudah menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti laman web penipuan yang disyaki, dan membolehkan mereka menyekat dua pertiga daripada laman web seperti itu dengan cepat.
Encik Goh berkata alat teknologi sedemikian akan terus dipertingkatkan, dengan matlamat untuk mengenal pasti dan menutup laman web serta saluran penipuan itu lebih cepat daripada kadar laman itu boleh diterbitkan.
Beliau berkata: “Inilah kuncinya: Kita mesti mampu mengesan dan meruntuhkannya dengan lebih cepat dan murah, berbanding yang boleh mereka (pesalah) tanggung. Inilah cara untuk memutuskan kitaran ini.”
Namun penipu dan penjenayah siber juga menggunakan AI.
Laporan Interpol terbaru mendapati bahawa penipuan yang menggunakan AI boleh menghasilkan keuntungan sehingga 4.5 kali lebih besar, berbanding kaedah tradisional.
Ini adalah kebimbangan serius bagi Singapura, yang mesti kekal proaktif untuk terus mengatasi ancaman sedemikian, kata Encik Goh.
Dianggarkan sebanyak AS$442 bilion ($561 bilion) telah hilang akibat penipuan di seluruh dunia pada 2025.
Masalah itu turut melanda Singapura, dengan lebih 37,300 kes penipuan dilaporkan dan sekitar $913.1 juta hilang di sini pada 2025.
Dalam suku pertama 2026, lebih 7,800 kes dilaporkan, dengan mangsa kehilangan lebih $144.3 juta.
Encik Goh berkata penipuan menghakis kepercayaan dalam masyarakat, dan beliau pernah bertemu warga emas yang hidup dengan mengasingkan diri mereka kerana ketakutan.
Beliau berkata Singapura telah mengambil tindakan dengan memperkenalkan undang-undang baharu, membina kerjasama antarabangsa yang kukuh dan membangunkan keupayaan operasi yang mantap seperti Pusat Anti-Penipuan polis.
