Topic followed successfully
Go to BHkuLangkah peguam veteran masuk poly timba ilmu AI berbaloi
Langkah peguam veteran masuk poly timba ilmu AI berbaloi
SIRI MELAYU SG
Langkah peguam veteran masuk poly timba ilmu AI berbaloi
Sempena peralihan Berita Harian (BH) ke saiz kompak dalam proses transformasi, akhbar ini memperkenalkan siri Melayu SG. Siri baru ini mengetengahkan individu, perniagaan dan pertubuhan yang mencipta semula diri mereka untuk mengharungi arus perubahan. Dalam siri kali ini, BH memaparkan karyawan dan usahawan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi.
Pada 2017, Encik Zaid Hamzah, yang waktu itu peguam berusia 58 tahun, memutuskan untuk kembali ke sekolah, sekali gus menjadi pelajar paling senior dalam kelasnya di Politeknik Singapura.
Usahanya hampir sedekad lalu itu membuahkan hasil – beliau kini merupakan rakan kongsi pengurusan di FutureLaw.AI.
Beliau, yang pernah menggalas jawatan pengarah di syarikat Microsoft, memilih untuk duduk dan belajar dalam kalangan pelajar lebih muda demi menimba kemahiran Python – bahasa pengaturcaraan yang menjadi nadi revolusi kecerdasan buatan (AI).
Tatkala rakan sebaya mungkin sudah memikirkan tentang persaraan, Encik Zaid, kini 66 tahun, sibuk meneliti baris-baris kod komputer.
“Saya telah menghabiskan 30 tahun di persimpangan undang-undang dan teknologi. Namun, apabila landskap berubah ke arah AI, saya sedar ada konsep teknikal yang saya tidak faham seperti pembelajaran mesin (machine learning) dan pemodelan data (data modeling).
“Saya perlukan ‘pendidikan’ pantas. Jadi, saya kembali ke sekolah,” kata bapa kepada dua anak dan datuk kepada seorang cucu itu kepada Berita Harian.
Bagi beliau, proses ‘belajar, meninggalkan ilmu lama dan belajar semula’ adalah mod operasi wajib dalam era ini.
Beliau membuktikan tidak pernah ada istilah ‘terlalu lewat’ bagi sesiapa yang dahaga ilmu untuk kekal relevan dalam ekonomi yang pesat berubah.
“AI hanyalah alat yang membantu kita melakukan kerja dengan lebih pantas dan tepat, tetapi akauntabiliti manusia tidak boleh diserahkan kepada mesin,” katanya lagi.
Dalam era ini, kelangsungan kerjaya bukan lagi bersandarkan pada ijazah yang diperoleh puluhan tahun lalu, tetapi pada keupayaan menjadi ‘AI-Bilingual’ – pakar dalam bidang profesional sendiri sambil mahir mengemudi teknologi yang mengubahnya, kata Encik Zaid.
Bagi beliau, risikonya jelas jika masyarakat tidak bertindak sekarang.
“AI tidak akan menggantikan peguam, tetapi peguam yang mahir AI akan menggantikan peguam yang tidak tahu AI,” ujar Encik Zaid lagi.
Beliau menambah bahawa masyarakat Melayu mesti segera menyertai aliran kerja kebangsaan bagi mengelakkan jurang AI daripada terus melebar.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Encik Feroz Akber, berkata bahawa masyarakat Melayu/Islam kini sedang beralih daripada kecelikan digital asas kepada kecekapan AI yang tulen.
“Kita tidak lagi ketinggalan dan cuba merapatkan jurang. Sebaliknya, kita sedang menerajui perubahan bagi memastikan masyarakat Melayu/Islam bukan sahaja mendapat manfaat daripada masa depan AI Singapura, malah turut membantu membentuknya,” ujar beliau.

