SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Rebut peluang, manfaatkan bidang AI demi capai kemajuan

Rebut peluang, manfaatkan bidang AI demi capai kemajuan

Karyawan Melayu/Islam ingin perkasa masyarakat jadi cekap AI
Mar 25, 2026 | 5:30 AM

Rebut peluang, manfaatkan bidang AI demi capai kemajuan

Muhammad Md Rahim, Qiscus
Encik Muhammad Md Rahim, merupakan pengasas bersama syarikat Qiscus, yang mengendalikan jutaan interaksi digital untuk klien gergasi seperti Halodoc dan Bluebird di Indonesia. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sempena transformasi akhbar cetak Berita Harian (BH) ke saiz kompak, BH memperkenalkan laporan Siri Melayu SG. Siri baru ini mengetengahkan individu, perniagaan dan pertubuhan yang mencipta semula diri mereka untuk mengharungi arus perubahan. Dalam siri kali ini, BH memaparkan karyawan dan usahawan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi.

Bagi Encik Muhammad Md Rahim, keputusan untuk meninggalkan kerjaya selesa sebagai pengurus di SPRING Singapore (kini Enterprise Singapore) bukan sesuatu yang mudah.

Beliau mempunyai kestabilan jawatan dan laluan kerjaya yang cerah dalam perkhidmatan awam.

Namun, jauh di sudut hati Encik Muhammad, kini 41 tahun, beliau terasa terpanggil untuk menceburi bidang keusahawanan dalam sektor dunia teknologi yang pesat berubah.

Setelah lebih dua tahun berkhidmat di agensi pemerintah, lulusan kewangan daripada Sekolah Perniagaan Nanyang (NBS) itu nekad beralih arah.

Beliau yang pernah menjadi pelajar cemerlang dan pemegang biasiswa, mula mempersoalkan haluan hidupnya setelah terdedah kepada dunia keusahawanan.

Pengasas bersama Qiscus, Encik Muhammad Md Rahim, menekankan kepentingan masyarakat Melayu/Islam untuk beralih daripada sekadar pengguna kepada pencipta infrastruktur teknologi bagi menguasai ekonomi masa depan.
Pengasas bersama Qiscus, Encik Muhammad Md Rahim, menekankan kepentingan masyarakat Melayu/Islam untuk beralih daripada sekadar pengguna kepada pencipta infrastruktur teknologi bagi menguasai ekonomi masa depan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Saya sedar sudah tiba masanya untuk meneroka cara hidup yang baru. Saya minat berurusan dan memperkasakan orang lain, serta membuat perubahan,” kongsi bapa kepada tiga anak berusia antara 10 hingga 14 tahun itu kepada Berita Harian (BH).

Encik Muhammad kemudiannya menjadi antara pengasas bersama syarikat Qiscus, sebuah platform perbualan digital (B2B) yang lahir daripada keinginan untuk mencabar dominasi perisian luar negara.

Beliau mengakui rasa janggal dahulu apabila syarikat lain sering memandang tinggi teknologi dari Amerika Syarikat berbanding produk tempatan.

“Kita sering bertanya, mengapa Nusantara tidak boleh? Adakah masyarakat Melayu/Islam tidak mampu? Kami bermula dengan perasaan geram itu,” kongsi Encik Muhammad.

Kini, Qiscus menjadi antara pemain utama di Asia Tenggara yang mengendalikan jutaan interaksi digital untuk klien gergasi seperti Halodoc dan Bluebird di Indonesia.

Qiscus juga berkhidmat dengan klien dari 18 negara, dalam 16 bidang merentas penjagaan kesihatan, perbankan, pengangkutan hingga jenama solek.

Bagi beliau, kejayaan ini membuktikan masyarakat mempunyai kapasiti untuk membina infrastruktur digital yang besar.

“Kita perlu beralih daripada sekadar memuat turun aplikasi kepada berfikir bagaimana aplikasi itu dibina. Pemilikan teknologi adalah kunci kekayaan ekonomi digital masa kini. Kita bukan lagi penumpang; kita adalah pemandu,” tambahnya lagi.

Encik Muhammad juga berharap kejayaan syarikat Qiscus dapat memberi inspirasi kepada anak watan lain untuk merentas sempadan dan bersaing di peringkat sejagat.

Di sebalik kod komputer dan algoritma yang rumit, Encik Muhammad tetap bangga membawa identiti Singapura dalam membina syarikatnya.

Baginya, setiap baris kod yang ditulis oleh pasukannya bertujuan untuk merapatkan jurang komunikasi antara perniagaan dan pelanggan mereka.

Perjalanan Encik Muhammad tidaklah sentiasa lancar.

Beliau pernah melalui fasa belajar semula berkali-kali untuk memastikan syarikatnya kekal relevan dalam pasaran yang sangat kompetitif.

“Teknologi bergerak pantas. Apa yang kita tahu hari ini mungkin usang dalam masa enam bulan. Kecekalan untuk terus belajar semula adalah perbezaan antara mereka yang kekal relevan dengan mereka yang ketinggalan,” katanya lagi.

Hari ini, beliau berharap dapat menjadi inspirasi kepada belia Melayu/Islam untuk berani menubuhkan syarikat pemula atau startup.

Beliau juga menekankan bahawa masyarakat tidak seharusnya berasa terasing dengan kecerdasan buatan (AI).

“AI hanyalah alat, sama seperti komputer dahulu. Apa yang penting ialah visi kita untuk menyelesaikan masalah manusia menggunakan alat tersebut. Jangan biarkan istilah teknikal menakutkan anda untuk bermula.”

Pengasas Parrot Social, Cik Hamidah Aidillah Mustafa, memanfaatkan teknologi AI bagi membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) tempatan membuat keputusan perniagaan yang lebih tepat berasaskan data.
Pengasas Parrot Social, Cik Hamidah Aidillah Mustafa, memanfaatkan teknologi AI bagi membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) tempatan membuat keputusan perniagaan yang lebih tepat berasaskan data. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bantu SME manfaatkan AI

Seorang lagi yang merebut peluang dalam ekonomi digital ialah Cik Hamidah Aidillah Mustafa, yang lapan tahun lalu nekad beralih daripada bidang perhubungan awam (PR) kepada analitik data.

Sebagai pengasas syarikat Parrot Social, beliau kini memanfaatkan AI untuk memproses jutaan perbualan sejagat bagi membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) tempatan menjimatkan kos penyelidikan pasaran sehingga AS$200,000 ($255,000).

“Dulu perniagaan berkembang melalui khabar mulut, kini data ialah mata wang baru,” kongsi Cik Hamidah, 40 tahun, yang juga Naib Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (ASME).

Beliau menyaksikan sendiri kepesatan evolusi itu semasa Pesta AI pada Januari lalu.

Sebaik sahaja Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, mengumumkan dana sokongan AI berjumlah $10 juta melalui media sosial, peruntukan disambut baik oleh industri dalam tempoh yang sangat singkat.

Cik Hamidah menyifatkan penguasaan AI bukan lagi satu kemewahan, tetapi syarat wajib bagi perniagaan kecil untuk terus bersaing dalam pasaran serantau.
Cik Hamidah menyifatkan penguasaan AI bukan lagi satu kemewahan, tetapi syarat wajib bagi perniagaan kecil untuk terus bersaing dalam pasaran serantau. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Dana itu menerima permohonan daripada lebih 300 syarikat dalam masa satu malam sahaja selepas pengumuman dibuat. Ini membuktikan SME kita tidak lagi sekadar memerhati, tetapi sedang berlumba-lumba untuk mengadaptasi teknologi,” kongsinya.

Bagi Cik Hamidah, penguasaan AI bukan lagi satu kemewahan, tetapi syarat wajib bagi SME untuk bersaing di peringkat serantau.

“Jika anda tidak bermula sekarang, kos operasi akan terus meningkat dan anda akan ketinggalan di belakang pesaing Asean. Jangan biarkan ketakutan terhadap teknologi menjadi penghalang kepada skala perniagaan anda,” tambahnya lagi.

Perkasa masyarakat jadi cekap AI

Demi menyokong masyarakat Melayu/Islam untuk memanfaatkan teknologi dan AI, badan seperti Yayasan Mendaki dan AMP Singapura turut memperkenalkan program dan inisiatif khusus.

Inisiatif Langkah Digital Mendaki pada Januari 2026 menarik 700 peserta, manakala AMP Singapura yang mencatatkan lonjakan 125 peratus dalam permohonan biasiswa sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) sejak 2023.

Baru-baru ini, Mendaki dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dalam usaha memperkasa masyarakat Melayu/Islam dalam mengharungi ekonomi berteras AI.

Selain itu, Mendaki menjalin kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) untuk meningkatkan akses kepada penyelidikan AI termaju.

Langkah ini memacu sasaran Pelan Kerja Mendaki 2030 untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran ‘AI-bilingual’ yang cekap dan berdaya saing.

Hati-hati jurang AI

Kesedaran untuk kekal relevan dalam ekonomi baru ini turut mendorong peguam veteran yang juga rakan kongsi pengurusan di FutureLaw.AI, Encik Zaid Hamzah, 66 tahun, untuk kembali ke bilik darjah untuk meraih kemahiran pengaturcaraan Python hampir sedekad lalu.

Bagi mantan pengarah Microsoft ini, AI yang sudah wujud lebih 60 tahun lalu, kini mewajibkan setiap profesional, sama ada peguam, akauntan atau doktor, menjadi ‘AI-Bilingual’ – menggabungkan ijazah sedia ada dengan kecekapan teknologi secara serentak.

Peguam veteran yang juga rakan kongsi pengurusan di FutureLaw.AI, Encik Zaid Hamzah, menekankan bahawa penguasaan teknologi kini wajib bagi setiap profesional untuk mengelakkan jurang digital (AI Divide) yang semakin melebar dalam tenaga kerja.
Peguam veteran yang juga rakan kongsi pengurusan di FutureLaw.AI, Encik Zaid Hamzah, menekankan bahawa penguasaan teknologi kini wajib bagi setiap profesional untuk mengelakkan jurang digital (AI Divide) yang semakin melebar dalam tenaga kerja. - Foto BH oleh KHALID BABA

Bagi Encik Zaid, proses penciptaan semula diri memerlukan strategi yang jelas. Beliau menyarankan tiga langkah praktikal: belajar pantas, aplikasi berterusan dalam bidang tugas, dan sentiasa tangkas untuk belajar semula (relearn).

Encik Zaid turut memberi amaran mengenai potensi munculnya “jurang AI” (AI Divide) dalam tenaga kerja.

Beliau menggesa masyarakat Melayu/Muslim untuk tidak menunggu “laluan khas,” sebaliknya segera menyertai aliran kerja kebangsaan bagi memastikan bakat masyarakat kekal kompetitif.

“Walaupun AI tidak akan menggantikan peguam secara langsung, peguam yang mempunyai kemahiran AI akan menggantikan peguam yang tidak memilikinya,” ujar beliau.

“Teknologi bergerak pantas. Apa yang kita tahu hari ini mungkin usang dalam masa enam bulan. Kecekalan untuk terus belajar semula adalah perbezaan antara mereka yang kekal relevan dengan mereka yang ketinggalan.”
Encik Muhammad Md Rahim, pengasas bersama platform perbualan digital (B2B), Qiscus.

“Jika anda tidak bermula sekarang, kos operasi akan terus meningkat dan anda akan ketinggalan di belakang pesaing Asean. Jangan biarkan ketakutan terhadap teknologi menjadi penghalang kepada skala perniagaan anda.”
Cik Hamidah Aidillah Mustafa, pengasas Parrot Social.

“Walaupun AI tidak akan menggantikan peguam secara langsung, peguam yang mempunyai kemahiran AI akan menggantikan peguam yang tidak memilikinya.”
Encik Zaid Hamzah, peguam veteran yang juga rakan kongsi pengurusan di FutureLaw.AI.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg