Topik diikuti
Pergi ke BHkuMuis belum terima permohonan Starbucks untuk raih sijil halal
Muis belum terima permohonan Starbucks untuk raih sijil halal
Muis belum terima permohonan Starbucks untuk raih sijil halal
Rangkaian syarikat kafe Starbucks telah diarahkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) supaya menurunkan atau membetulkan notis pemberitahuan yang merujuk kepada peralihan syarikat itu dalam berusaha mendapatkan sijil halal.
Arahan itu dibuat selepas gambar notis tersebut dimuat naik di media sosial dan menarik perhatian netizen, lapor The Straits Times (ST).
Notis yang dipaparkan luar cawangan Starbucks di East Coast itu menyatakan bahawa haiwan peliharaan tidak lagi dibenarkan di cawangan syarikat itu sebagai sebahagian daripada peralihan mereka ke arah operasi yang diperakui halal.
Dalam responsnya pada 14 Mei, jurucakap Muis berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang permohonan daripada Starbucks untuk mendapatkan sijil halal.
“Muis memandang serius perkara ini. Sebarang rujukan kepada status sijil halal, persiapan untuk mendapatkan sijil halal, atau proses permohonan halal yang sedang berjalan sebelum kelulusan sijil halal adalah tidak dibenarkan sama sekali.
“Demikian boleh mengelirukan orang awam dan mungkin merupakan pelanggaran terhadap Syarat Pensijilan Halal Muis,” jelas jurucakap Muis.
Starbucks juga telah diarahkan untuk menghentikan semua rujukan tanpa kebenaran berkaitan status sijil halal atau perkembangan mengenai permohonan sijil halal merentasi semua alat dan bahan komunikasi yang boleh dilihat orang awam.
Muis berkata rangkaian syarikat kafe itu perlu menyemak dan membetulkan semua komunikasi awam yang berkaitan, termasuk di media sosial dan bahan komunikasi dalam cawangan.
Notis yang dipasang di cawangan Parkland Green di East Coast itu menyatakan:
“Mulai 25 Mei 2026, haiwan peliharaan tidak lagi dibenarkan di kawasan tempat duduk dalam dan luar cawangan.
“Perubahan ini adalah sebahagian daripada peralihan kami ke arah operasi yang diperakui halal.
“Anjing pemandu dibenarkan.”
Membalas pertanyaan media pada 13 Mei, Starbucks berkata:
“Tiada perubahan terhadap operasi kedai kami ketika ini dan haiwan peliharaan akan terus dibenarkan di cawangan kami.
“Kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang timbul daripada komunikasi terdahulu dan mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas kefahaman mereka.”
Apabila ditanya mengenai usaha mendapatkan sijil halal, Starbucks berkata bahawa perkara tersebut “akan dijelaskan apabila Starbucks Singapura bersedia untuk berkongsi perkembangan lanjut secara terbuka”.
