Topic followed successfully
Go to BHkuIsu ayam halal di bahagian babi: FairPrice perjelas, semak proses
Isu ayam halal di bahagian babi: FairPrice perjelas, semak proses
Jurucakap pasar raya itu juga minta maaf atas ketidakselesaan yang timbul
Isu ayam halal di bahagian babi: FairPrice perjelas, semak proses
Satu hantaran dalam talian yang mendakwa ayam halal dipotong dan dibungkus di bahagian yang sama dengan daging babi di cawangan FairPrice di Anchorvale telah mencetuskan keprihatinan mengenai pengendalian halal di pasar raya itu.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), jurucakap FairPrice Group berkata bahawa ayam yang diproses itu tidak dipamerkan di bahagian halal.
“FairPrice maklum mengenai satu hantaran di media sosial berkaitan pengendalian produk ayam di cawangan kami di Anchorvale.
“Kami memahami kebimbangan pelanggan dan memandang serius perkara ini. Kami ingin memberi jaminan bahawa ayam yang diproses itu tidak dipamerkan untuk jualan di bahagian halal. Walau bagaimanapun, amalan tersebut telah dihentikan serta-merta di semua cawangan.
“Kami mengakui bahawa insiden ini telah menimbulkan kebimbangan dan rasa tidak selesa, dan kami memohon maaf dengan setulusnya. Kami menghargai kepercayaan pelanggan dan akan menyemak proses kami bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang,” tambahnya.
Menurut Instagram ‘sgfollowsall’, seorang pelanggan telah berkongsi tentang pengalaman anak perempuannya yang baru-baru ini mengunjungi cawangan NTUC FairPrice di Anchorvale Village dan anaknya itu telah dimaklumkan oleh seorang wanita Muslim bahawa ayam halal sedang dipotong dan dibungkus di bahagian yang sama dengan daging babi.
Berasa bimbang, anaknya lantas pergi memeriksa dan mengambil gambar kawasan tersebut.
Menurutnya, ayam halal itu memang dikendalikan di bahagian daging babi, sekali gus menimbulkan kebimbangan, khususnya dalam kalangan pelanggan Muslim yang bergantung kepada amalan pengendalian halal yang betul, menurut laman Instagram tersebut.
Wanita itu turut memaklumkan, beliau telah pergi ke cawangan itu dan berbincang dengan penyelianya, yang mengakui ia satu kesilapan serta memberi jaminan bahawa perkara tersebut akan disiasat.
Di ruangan komen pula tercetus perdebatan dalam kalangan netizen yang berkongsi pengalaman serupa ketika membeli-belah di FairPrice.
Seorang pengguna bernama ‘norretajacob’ berkata:
“Ini bukan kali pertama saya mendengar perkara seperti ini. Saya pernah meminta bantuan kakitangan untuk memotong daging segar, dan seseorang telah memanggil kakitangan dari bahagian daging babi untuk datang ke bahagian daging halal (dengan memakai sarung tangan yang sama).
“Saya sempat menghalangnya. Selepas itu, seorang lagi kakitangan berbisik dalam bahasa Cina kepada rakannya – yang saya faham – ‘Eh jangan buat, mereka boleh nampak awak tak tukar sarung tangan… awak balik ke bahagian sana, jangan buat… tak boleh campur halal dan babi… mereka sangat ambil berat tentang perkara ini’.”
Malah seorang lagi netizen bernama ‘mariyanarahmat’ meninggalkan komen:
“Kekurangan kakitangan juga boleh menyebabkan situasi seperti ini berlaku – kakitangan yang sama mengendalikan pemotongan daging halal dan tidak halal.”
Mengulas isu tersebut, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah memuat naik kenyataan di Instagram ‘halalsg’.
Muis berkata mereka sedar akan kebimbangan ramai tentang perkara tersebut dan telah mengambil tindakan segera untuk menjalankan siasatan.
“Pegawai kami telah menjalankan pemeriksaan di premis tersebut dan berinteraksi dengan pihak pengurusan. Kami mengesahkan bahawa ayam yang diproses itu tidak dijual di bahagian halal.
“NTUC FairPrice telah memberi jaminan bahawa amalan tersebut telah dihentikan serta-merta di semua cawangan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan mereka. Muis kekal komited dalam memelihara integriti halal serta mengekalkan keyakinan awam bersama rakan kerjasama dan masyarakat,” kata Muis.

