Topic followed successfully
Go to BHkuLelaki mengamuk, maki Kapten Bas di AMK: SBS Transit buat laporan polis
Lelaki mengamuk, maki Kapten Bas di AMK: SBS Transit buat laporan polis
Lelaki mengamuk, maki Kapten Bas di AMK: SBS Transit buat laporan polis
Pengendali pengangkutan awam SBS Transit telah membuat laporan polis susulan insiden di mana seorang pemandu lori didakwa memarahi dan melontarkan kata-kata kesat terhadap seorang Kapten Bas di Ang Mo Kio pada petang 29 Mac.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) pada 1 April, jurucakap SBS Transit, Cik Grace Wu berkata:
“Pada petang 29 Mac 2026, perkhidmatan bas 88 sedang memandu sepanjang Ang Mo Kio Avenue 3. Semasa bas tersebut menghampiri sebuah perhentian bas di tepi jalan, Kapten Bas telah memberi amaran kepada kenderaan di hadapan agar tidak berhenti di dalam zon perhentian bas yang ditetapkan bagi memastikan penumpang dapat naik dan turun dengan selamat.
“Malangnya ia telah menyebabkan pertikaian, di mana seorang pemandu lori berulang kali mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Kapten Bas tersebut.
“Insiden itu berlaku selama sekitar dua minit sebelum bas dapat meneruskan perjalanannya semula.
“Kami tidak bertoleransi dengan sebarang bentuk penganiayaan terhadap Kapten Bas kami.
“Kami telah membuat laporan polis.”
Pertikaian itu yang telah dirakam dan dimuat naik ke Facebook di bawah akaun ‘Monir 2.0’ telah meraih hampir 380,000 tontonan.
Manakala video di TikTok di bawah akaun ‘kbsebelas’ telah menerima lebih 150,000 tontonan setakat ini.
Berdasarkan rakaman video yang tular, seorang lelaki berbaju krim, yang dipercayai pemandu lori di hadapan bas dilihat berdiri di dalam bas – sebelah Kapten Bas – sambil melakukan isyarat tangan yang agresif dan berulang kali menuding jari ke arah Kapten Bas tersebut.
Dalam kekecohan itu, seorang wanita bertudung cuba untuk memanggil lelaki itu keluar daripada bas.
Selain itu, seorang lagi lelaki yang memakai topi keledar kemudian menaiki bas dan kelihatan memberi isyarat kepada Kapten Bas dengan meletakkan jari di bibir, seolah-olah memintanya agar berdiam diri.
Rakaman itu turut menunjukkan pemandu lori tersebut terus menjerit dan melontarkan kata-kata kesat terhadap Kapten Bas yang kemudian dilihat membuat panggilan di luar bas.
Rata-rata netizen curiga mengapa lelaki berbaju krim itu bertindak begitu marah.
Seorang pengguna Facebook, ‘Eylaa Ariana’, yang telah menonton video itu dan mampu menangkap dialog akhir yang didengarnya berkata:
“Langgar orang, nak lari.
“Pemandu bas itu pasti telah melakukan sesuatu. Lebih baik hubungi polis dan minta syarikat semak semua rakaman CCTV.”
Seorang pengguna di TikTok pula, ‘NetiNorazman’, rasa kasihan terhadap pemandu bas lalu meninggalkan komen:
“Tapi kesian pula pemandu bas ini... sebab anak lelaki saya pun Kapten Bas juga. Saya selalu pesan kepadanya kena sabar dengan semua penumpang....macam-macam kerenah kita lihat.”
BH telah menghubungi Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai kejadian tersebut.

