KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin berdepan ‘krisis kesunyian’ jika sokongan sosial yang lebih baik tidak diwujudkan untuk menjaga jumlah warga emas yang semakin meningkat, ketika jumlah pusat jagaan di Malaysia tidak mencukupi untuk menampung jumlah penduduk yang semakin menua.

Ketika ini, terdapat 465 pusat jagaan berdaftar di seluruh Malaysia, dengan 376 diuruskan secara swasta dan selebihnya oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sokongan sosial yang lemah dalam kalangan warga emas turut meningkat daripada 30.8 peratus pada 2018 kepada 33.1 peratus pada 2025, menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2025.

“Tanpa infrastruktur sosial yang lebih kukuh, Malaysia berisiko mengalami ‘krisis kesunyian’ yang boleh memberi tekanan kepada keluarga, hospital dan ekonomi,” kata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, lapor The Star. 

‘Krisis kesunyian’ secara umum merujuk kepada pengasingan sosial dan rasa terpinggir yang memberi kesan kepada kumpulan besar masyarakat.

Ahli Demografi Universiti Malaya, Dr Tey Nai Peng, berkata keadaan ini sering membawa kesan serius terhadap kesihatan dan masyarakat.

“Ia sering dizahirkan melalui kemurungan, kemerosotan kognitif serta peningkatan penyakit kronik,” katanya.

Keadaan ini diburukkan lagi apabila Malaysia menua lebih pantas daripada jangkaan, kira-kira 1.5 kali lebih cepat berbanding Jepun.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pernah menyatakan dalam satu laporan bahawa Malaysia sedang berubah menjadi negara menua (ramai warga emas) dengan sangat cepat, iaitu dalam masa 50 hingga 60 tahun sahaja.

Ia lebih cepat berbanding perubahan yang biasanya mengambil tempoh 100 tahun untuk berlaku di negara lain seperti Jepun.

Menjelang 2048, satu daripada setiap lima rakyat Malaysia akan berumur 60 tahun ke atas berdasarkan data Unjuran Penduduk 2020–2060 oleh Jabatan Perangkaan.

Pada 2025 juga, laporan berita menyatakan Malaysia dijangka menjadi negara ‘tua’ menjelang 2048, dengan 14 peratus penduduk berumur 65 tahun ke atas.

Dalam kalangan negara Asean, Malaysia berada di tempat keempat dari segi peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas, iaitu 7.74 peratus pada 2024.

Thailand mencatat peratusan tertinggi iaitu 15.36 peratus, diikuti Singapura (13.66 peratus) dan Vietnam (9.05 peratus).

Bagi memberi sokongan lebih baik, kementerian berkata kerajaan sedang mempromosikan penuaan sihat dan aktif melalui Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe).

“Ini bagi membantu warga emas kekal berdikari dan aktif dalam masyarakat. Sehingga Disember 2025, terdapat sebanyak 217 Pawe di seluruh Malaysia.

“Pusat ini membolehkan warga emas menyertai aktiviti dan bersosial dengan masyarakat,” kata kementerian itu, sambil menambah bahawa 47,020 warga emas kini berdaftar dengan pusat berkenaan.

Selain memperluas Pawe, Dr Tey berkata ruang komuniti lain seperti rukun tetangga, persatuan penduduk dan rumah ibadat juga perlu diperkukuh.

“Ruang ini boleh dijadikan pusat sokongan mesra warga emas.

“Ia perlu melangkaui aktiviti asas dengan menawarkan program sosial, aktiviti antara generasi, sesi kecergasan, telekesihatan, klinik kecil dan akses digital bagi membantu warga emas kekal sihat, berhubung dan aktif,” katanya.

Beliau mencadangkan unit Pawe bergerak boleh diperkenalkan untuk mencapai kawasan luar bandar, manakala platform digital boleh membantu warga emas mengikuti kelas dalam talian dan aktiviti maya.