Topik diikuti
Pergi ke BHkuTinjauan: Hanya 14.7% warga emas di M’sia capai penuaan sihat
Tinjauan: Hanya 14.7% warga emas di M’sia capai penuaan sihat
Kementerian komited dengan peluasan perkhidmatan kesihatan ke rumah, penggunaan teknologi dalam bidang geriatrik
Tinjauan: Hanya 14.7% warga emas di M’sia capai penuaan sihat
PUTRAJAYA: Hanya 14.7 peratus rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas didapati hidup dalam keadaan sejahtera, menurut Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) terbaru.
Dapatan itu disifatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai ‘seruan untuk bertindak’, berikutan kebimbangan terhadap sistem penjagaan negara.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata hanya 14.7 peratus warga emas di Malaysia mencapai tahap penuaan sejahtera, merangkumi aspek sosial, kognitif, psikologi, fizikal serta kesihatan secara keseluruhan.
Menurut beliau dapatan itu turut menunjukkan beban penyakit tidak berjangkit berada pada tahap tinggi, dengan 73 peratus warga emas menghidap darah tinggi, 76 peratus mengalami kolesterol tinggi dan 39 peratus menghidap kencing manis.
Sementara 30 peratus lagi hidup dengan tiga penyakit utama secara serentak, kata Dr Dzulkefly.
Daripada aspek kesihatan fizikal, sebanyak 30.6 peratus warga emas didapati tidak aktif secara fizikal, dengan 45 peratus mengalami sarkopenia atau penyusutan jisim otot, manakala 60 peratus berada pada risiko kerapuhan fizikal.
Keadaan tersebut memberi kesan besar terhadap kualiti hidup warga emas serta meningkatkan tahap kebergantungan sekiranya tidak ditangani secara awal dan berkesan.
“Cabaran kita bukan hanya penyakit, tetapi memastikan warga emas terus hidup bermaruah, aktif dan tidak terpinggir daripada sistem kesihatan serta sokongan sosial,” katanya, lapor Astro Awani.
NHMS 2026 turut mendedahkan cabaran sistemik apabila populasi warga emas mencecah 4.1 juta orang, dengan 18.8 peratus daripadanya tinggal bersendirian, selain isu mobiliti dan pengangkutan dikenal pasti sebagai halangan utama mendapatkan rawatan kesihatan.
Dr Dzulkefly berkata KKM komited memperkukuh penjagaan warga emas menerusi peluasan perkhidmatan kesihatan ke rumah, penggunaan teknologi digital serta peningkatan kepakaran dalam bidang geriatrik bagi memastikan kesejahteraan golongan itu terus terpelihara.
Dr Dzulkefly berkata pelancaran NHMS 2026 yang memfokuskan aspek kesihatan warga emas menjadi penanda aras penting dalam usaha merangka dasar kesihatan negara yang lebih terangkum dan mampan.
Beliau menegaskan dapatan tinjauan itu mencerminkan realiti sebenar tahap kesihatan warga emas di Malaysia dan bukan sekadar laporan statistik.
Malaysia dijangka mencapai status negara menua menjelang 2036, sekali gus menuntut persediaan segera dan menyeluruh bagi memastikan sistem kesihatan negara kekal berdaya tahan dalam mendepani perubahan demografi.
Dr Dzulkefly berkata data yang diperoleh menerusi NHMS 2026 berfungsi sebagai panduan strategik dalam merangka intervensi kesihatan yang bersasar dan berkesan.
“Kita bukan sekadar melancarkan laporan statistik, tetapi membedah realiti kesihatan warga emas negara. Data ini menjadi kompas strategik dalam merangka tindakan,” katanya lagi.
