Topik diikuti
Pergi ke BHkuUmno rai ulang tahun ke-80 di Istana Besar Johor
Umno rai ulang tahun ke-80 di Istana Besar Johor
Sambutan bersejarah di lokasi penubuhan parti
Umno rai ulang tahun ke-80 di Istana Besar Johor
JOHOR BAHRU: Sambutan Ulang Tahun Umno ke-80 pada 11 Mei mencipta sejarah tersendiri apabila diraikan di tempat ‘kelahiran’ parti itu di Istana Besar Johor, di sini.
Sambutan bersejarah itu cukup simbolik apabila diadakan di negeri Johor, lokasi bersejarah yang menjadi saksi kelahiran parti itu pada 11 Mei 1946.
Ia sekali gus merealisasikan hasrat Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan sambutan di istana berkenaan pada sambutan kali ini.
Terdahulu, beberapa kenderaan pemimpin tertinggi Umno mula memasuki Istana Besar Johor seawal 9.30 pagi.
Selain Datuk Ahmad Zahid, turut kelihatan hadir ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bersama barisan kepimpinan tertinggi parti dari seluruh negara, selain barisan Exco kerajaan negeri.
Sambutan menghimpunkan ratusan pemimpin Umno dari seluruh negara sebagai simbolik memperingati sejarah penubuhan parti itu, lapor Harian Metro.
Suasana di sekitar pekarangan istana turut dikawal ketat dengan kehadiran anggota keselamatan sejak awal pagi, bagi memastikan kelancaran lalu lintas di tengah pusat bandar raya Johor Bahru.
Difahamkan bacaan Yasin diadakan sempena sambutan ulang tahun parti sejurus selepas pertemuan dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Barisan kepimpinan Umno kemudian bergerak ke Ibu Pejabat Umno Johor di Jalan Yahya Awal, bagi Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bermula 3 petang.
Sambutan di Istana Besar Johor kali ini turut mencetuskan spekulasi berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan ada laporan media memetik sumber, berkata cadangan mengadakan PRN difahamkan mendapat sokongan MKT, dengan beberapa pemimpin tertinggi parti menghadap Sultan Johor, pada 11 Mei.
Sementara itu, Harian Metro juga melaporkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah menghadiri sesi fotografi di Tangga Selat, Istana Besar di Johor Bahru sempena sambutan ulang tahun Umno ke-80.
Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim, beliau juga diiringi oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Tangga Selat merupakan ‘lokasi’ tertubuhnya parti tersebut di istana berkenaan.
Keberangkatan Sultan Ibrahim disambut Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid, dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sesi fotografi itu diadakan bagi mengenang sejarah penubuhan Umno pada 11 Mei 1946 di Istana Besar pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim, hasil Kongres Melayu Ketiga yang dipimpin Datuk Onn Jaafar.
Penubuhan parti tersebut menjadi antara lembaran utama dalam perjuangan nasionalisme negara sehingga mencetuskan pergerakan menentang Malayan Union dan kemudian ke arah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.
