Topik diikuti
Pergi ke BHkuZahid tidak tolak BN tanding solo pada PRU16, kekal kerjasama elak pertindihan
Zahid tidak tolak BN tanding solo pada PRU16, kekal kerjasama elak pertindihan
Zahid tidak tolak BN tanding solo pada PRU16, kekal kerjasama elak pertindihan
KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak menolak kemungkinan BN bertanding secara ‘solo’ pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Namun, beliau tetap membuka ruang kerjasama demi mengelak pertindihan kerusi dengan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
Menyentuh strategi PRU16, Datuk Ahmad Zahid, yang juga Presiden Umno, mengakui realiti politik semasa – sukar bagi mana-mana parti atau gabungan untuk muncul dominan dan membentuk kerajaan secara bersendirian.
“Sebab itu saya sebutkan tentang soal ‘solo’ tadi. Kita tidak menolak untuk bekerjasama agar tidak berlaku pertindihan kerusi meskipun kita bertanding sendiri. Ini bukan bermakna kita menolak mana-mana parti gabungan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Mengambil iktibar daripada situasi Parlimen tergantung selepas PRU15, Timbalan Perdana Menteri itu menyifatkan pembentukan Kerajaan Perpaduan sebagai satu kemestian demi kestabilan negara, meskipun kerjasama itu pada awalnya mengundang pelbagai persepsi.
“Perkara sebegini mungkin akan berlaku lagi.
“Saya tidak nampak ada mana-mana gabungan parti yang akan dominan dan boleh membentuk kerajaan sendiri dalam PRU16. Itu hakikat yang harus kita akui,” tegasnya.
Dalam pada itu, Datuk Ahmad Zahid berkata Umno akan menggunakan pendekatan ‘di luar kotak’, termasuk kaedah komunikasi bukan lisan, bagi memikat sokongan pengundi muda, kumpulan majoriti dalam landskap politik negara hari ini.
Hakikat itu perlu diterima, katanya, memandangkan pengundi di bawah usia 40 tahun, termasuk kumpulan Undi18, lebih terbuka dan tidak lagi terikat pada kesetiaan parti semata-mata.
“Mereka sangat berfikiran terbuka dan sebenarnya tidak memilih parti. Mereka memilih calon, memilih sesiapa yang boleh membawa agenda untuk mereka manfaatkan.
“Ertinya, apa yang dapat mereka peroleh daripada memilih calon-calon yang mereka minati,” katanya dalam sesi temu bual khas sempena ulang tahun Umno ke-80 di Kuala Lumpur, pada 3 Mei.
Strategi itu penting, jelasnya, memandangkan trend pengundian kini beralih.
Pengundi lebih cenderung menilai mutu perkhidmatan dan personaliti calon, berbanding latar belakang organisasi politik yang diwakili.
