Keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan pindaan perlembagaan negeri bagi membolehkan pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan dilihat mampu membuka ruang kepada lebih ramai golongan profesional dan pakar menyumbang kepada pembangunan negeri menjelang 2030.

Adun Permas, Encik Baharudin Mohamed Taib, berkata pelaksanaan sistem itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia telah lama diamalkan di beberapa negeri lain termasuk Sabah, Terengganu dan Pahang.

Menurut beliau, pelantikan Adun lantikan tidak boleh dianggap sebagai “laluan pintu belakang” kerana proses tersebut dibuat mengikut peruntukan undang-undang negeri.

“Kalau negeri lain boleh laksanakan, saya rasa tidak timbul isu mengapa Johor tidak boleh buat perkara yang sama.

“Ini bukan untuk kepentingan mana-mana parti semata-mata, sebaliknya untuk memperkukuh pentadbiran negeri,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Encik Baharudin berkata pelantikan itu juga boleh membantu mewujudkan kestabilan politik dan memberi ruang kepada kerajaan mendapatkan pandangan daripada individu profesional yang mempunyai kepakaran tertentu.

Jelasnya, kerajaan negeri memerlukan suara tambahan yang mampu membantu merancang dasar dan pembangunan negeri secara lebih menyeluruh.

“Kadangkala ada perkara yang perlu difikirkan secara profesional dan bukan semuanya popular di mata politik.

“Sebab itu kehadiran golongan profesional dalam Dewan boleh membantu kerajaan membuat keputusan yang lebih baik bagi rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Adun Penawar, Cik Fauziah Misri, berkata Johor kini sedang bergerak pantas ke arah menjadi negeri maju menjelang 2030 dan memerlukan lebih ramai individu berpengalaman membantu kerajaan negeri.

Menurut beliau, pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan teknologi tinggi serta usaha menarik pelaburan asing memerlukan kepakaran daripada pelbagai bidang.

“Johor sedang berkembang menjadi pusat ekonomi serantau. Jadi kita perlukan lebih ramai tokoh yang boleh membantu dari sudut idea, teknologi, pelaburan, pendidikan dan pembangunan masyarakat,” katanya ketika dihubungi BH.

Cik Fauziah berkata pelantikan Adun lantikan boleh memberi nilai tambah kepada pentadbiran negeri sekiranya individu dipilih benar-benar mempunyai pengalaman dan kepakaran diperlukan.

Menurutnya, ada individu berpengalaman dalam bidang tertentu tetapi tidak terlibat secara langsung dalam politik pilihan raya.

“Melalui pelantikan ini, mereka masih boleh membantu kerajaan merangka dasar yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata antara bidang yang boleh diberi perhatian menerusi pelantikan itu termasuk kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, pendidikan teknikal dan latihan kemahiran, selain pembangunan pelancongan dan pengangkutan awam.

Jelasnya, Johor juga memerlukan pendekatan lebih moden dan menyeluruh dalam proses membuat dasar sekiranya mahu bersaing dengan negeri dan bandar utama lain di rantau Asia Tenggara.

Sebelum ini, DUN Johor meluluskan pindaan perlembagaan negeri selepas memperoleh sokongan majoriti dua pertiga, sekali gus meningkatkan jumlah kerusi DUN negeri daripada 56 kepada 61.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dilaporkan berkata langkah itu bertujuan memperkukuh institusi legislatif negeri dengan membawa masuk individu berpengalaman dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, teknologi, belia, wanita dan masyarakat sivil.