Topik diikuti
Pergi ke BHkuTanjung Piai terus pikat warga S’pura
Tanjung Piai terus pikat warga S’pura
Kian dikenali sebagai hab ekopelancongan tawar ketenangan alam semula jadi, pemandangan unik
Tanjung Piai terus pikat warga S’pura
Taman Negara Tanjung Piai di Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi ekopelancongan penting di rantau ini apabila semakin ramai pengunjung, khususnya dari Singapura, memilih kawasan itu sebagai lokasi santai hujung minggu bagi melarikan diri daripada kesibukan kota.
Terletak kira-kira 90 kilometer dari Johor Bahru (JB), kawasan tanah lembap seluas 325 hektar itu bukan sahaja terkenal sebagai titik paling selatan di benua Asia, malah menawarkan pemandangan unik yang membolehkan pengunjung melihat sempadan tiga negara – Malaysia, Singapura dan Indonesia – dalam satu masa.
Keistimewaan itu menjadikan Tanjung Piai bukan sekadar destinasi pelancongan, bahkan, ruang pendidikan alam sekitar yang memperkenalkan kepelbagaian flora dan fauna, termasuk spesies burung yang jarang ditemui serta hidupan paya bakau seperti ikan belacak.
Lokasi santai warga Singapura
Bagi warga Singapura, tarikan utama kawasan ini terletak pada suasana semula jadinya yang masih terpelihara, jauh berbeza daripada persekitaran bandar yang padat.
Seorang pesara yang pernah bertugas di sektor swasta dari Choa Chu Kang, Encik Yahya Kamit, 61 tahun, datang ke Tanjung Piai secara kebetulan bersama kenalan dan mengakui pengalaman tersebut membuka perspektif baharu terhadap destinasi pelancongan di Johor.
“Saya ikut sahaja kawan-kawan datang ke sini. Ini kali pertama saya datang dan memang lain daripada tempat yang biasa saya pergi.
“Saya lebih suka tempat yang tenang, bukan kawasan membeli-belah,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).
Beliau menambah, kunjungannya ke Johor bukan sesuatu yang asing, namun destinasi seperti Tanjung Piai memberikan pengalaman berbeza berbanding lokasi bandar yang kerap dikunjungi rakyat Singapura.
“Saya sudah biasa datang Malaysia dan rasa lebih selesa dengan suasana di sini. Tempat macam ini lebih sesuai untuk kita berehat dan tenangkan fikiran,” ujarnya.
Pandangan itu turut dikongsi dua jurutera kilang, Encik Ramli Paswi, 55 tahun, dari Sembawang, dan rakannya, Encik Roslan Samsuri, 56 tahun, dari Jurong East.
Menurut Encik Ramli, keindahan alam semula jadi menjadi daya tarikan utama, namun, pengalaman tersebut bergantung kepada minat individu terhadap alam sekitar.
“Kalau kita suka alam semula jadi, memang tempat ini sangat sesuai.
“Ia mengingatkan saya kepada kawasan paya bakau di Singapura, tetapi di sini lebih luas dan berbeza suasananya,” katanya.
Encik Roslan pula berkata suasana santai di Tanjung Piai menjadikan lawatan mereka lebih bermakna walaupun perjalanan mengambil masa beberapa jam.
“Kita berjalan santai, berbual dan menikmati pemandangan. Itu sudah cukup bagi kami. Tempat ini sesuai untuk menenangkan fikiran,” katanya.
Namun begitu, kedua-dua mereka berpendapat promosi destinasi pelancongan seperti Tanjung Piai masih kurang sampai kepada warga Singapura.
“Banyak tempat di Johor yang kita tidak tahu. Kalau promosi lebih meluas, mungkin lebih ramai akan datang. Sekarang ini, kita tahu pun melalui media sosial sahaja,” kata Encik Ramli.
Wajah baharu dapat sambutan
Selain pengunjung dari Singapura, pelancong tempatan juga melihat potensi besar Tanjung Piai sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam.
Seorang kakitangan awam dari Putrajaya, Encik Ezzri Norhisham Zainuding, 40 tahun, berkata beliau tertarik berkunjung selepas mengetahui mengenai lokasi itu melalui rakan dan media sosial.
“Ini kali pertama saya datang dan saya rasa ia sangat berbaloi. Dengan bayaran yang rendah, kita dapat pengalaman yang baik serta dapat belajar tentang alam sekitar,” katanya.
Beliau turut memuji tahap kebersihan dan pengurusan kawasan tersebut yang disifatkan sebagai teratur dan mesra pengunjung.
“Kawasan ini bersih dan terjaga. Ia bukan sahaja tempat melancong malah tempat menimba ilmu tentang alam,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung dari Kuala Lumpur, Encik Muhammad Nasir Aiman Ajis, 33 tahun, berkata perubahan yang dilakukan di Tanjung Piai menjadikan kawasan itu lebih menarik berbanding kunjungannya kira-kira 15 tahun lalu.
“Dulu kawasan ini agak kosong, tetapi sekarang sudah banyak perubahan. Ia nampak lebih tersusun dan sesuai sebagai tarikan pelancongan,” katanya.
Beliau, bagaimanapun, mengusulkan agar penambahbaikan dilakukan dari segi papan tanda dan akses jalan bagi memudahkan pengunjung luar mencari lokasi tersebut.
“Kalau dari jalan utama ada papan tanda yang lebih jelas, orang luar akan lebih mudah datang. Sekarang ini agak sukar mencari,” katanya.
Masih ada ruang penambahbaikan
Sementara itu, pelancong antarabangsa juga melihat potensi besar Tanjung Piai sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf dunia, namun menekankan kepentingan aspek kelestarian.
Seorang pelawat dari Jerman yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Matthias, 42 tahun, berkata beliau tertarik untuk mengunjungi lokasi itu selepas melihatnya dalam peta semasa berada di Singapura.
“Kami datang kerana ia merupakan titik paling selatan di tanah besar Asia. Ia sangat menarik dan kami mahu melihat hidupan liar di sini,” katanya.
Namun, beliau mencadangkan agar usaha pembersihan kawasan paya bakau dipertingkatkan bagi memastikan tiada pencemaran menjejas ekosistem.
“Kita tidak boleh mengubah keadaan semula jadi sepenuhnya, tetapi kita boleh memastikan ia tidak dicemari sampah,” tambahnya.
Seorang lagi pelawat dari China, Encik Wang Yan Ze, 35 tahun, pula menekankan keperluan sistem pengangkutan awam lebih baik bagi memudahkan pelancong.
“Lokasi ini agak jauh dan sukar diakses tanpa kenderaan sendiri. Saya menghadapi kesukaran mendapatkan pengangkutan untuk pulang,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar maklumat mengenai musim sesuai untuk melihat hidupan liar disediakan bagi meningkatkan pengalaman pengunjung.
“Kita datang dengan harapan dapat melihat lebih banyak haiwan, tetapi tidak banyak yang kelihatan. Jika ada panduan, pengalaman akan lebih baik,” katanya.
Potensi besar Tanjung Piai
Di peringkat tempatan, wakil rakyat kawasan itu, Datuk Jefridin Atan, mengakui promosi Tanjung Piai masih belum mencapai tahap yang diharapkan walaupun permintaan daripada pelancong semakin meningkat.
“Permintaan terhadap ‘homestay’ atau cuti inap di kawasan ini sangat tinggi, terutama ketika acara besar. Namun, kita masih kekurangan kemudahan untuk menampung keperluan tersebut,” katanya.
Beliau berkata usaha perlu dipertingkatkan bagi mempromosikan produk tempatan seperti makanan tradisional yang berpotensi menjadi daya tarikan tambahan kepada pelancong.
“Kita ada makanan seperti asam pedas yang popular, tetapi tidak dipromosikan secara menyeluruh. Ini satu kerugian,” katanya.
Sementara itu, seorang pengusaha tempatan, Encik Ghazaley Ayiub, 58 tahun, yang mengendalikan kedai Kopi Tenggek di kawasan tersebut, menyarankan agar lebih banyak tarikan diwujudkan bagi menarik pelancong.
“Tanjung Piai ini sudah terkenal sebagai hujung selatan Asia, tetapi kita perlukan satu lagi tarikan utama yang boleh menjadi sebab orang datang ke sini,” katanya.
Beliau mencadangkan idea seperti kegiatan melihat pemandangan dari ketinggian bagi membolehkan pelancong menikmati panorama tiga negara secara serentak.
“Kalau ada tarikan tambahan seperti itu, saya yakin lebih ramai pelancong akan datang,” katanya.
Menurut beliau, kehadiran pelancong Singapura memberi sumbangan besar kepada ekonomi setempat, khususnya pada hujung minggu.
“Pada hujung minggu, pelancong dari Singapura boleh mencecah antara 10 dengan 50 peratus daripada jumlah pengunjung,” katanya.
Kerajaan Negeri Johor, sebelum ini, telah memperuntuk lebih RM4.8 juta ($1.5 juta) bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan kemudahan di Tanjung Piai, termasuk pembinaan dewan ketibaan, kaunter tiket serta kemudahan asas lain bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.
Sempena Tahun Melawat Johor 2026, Tanjung Piai dijangka terus menjadi antara destinasi utama yang dipromosikan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Dengan keindahan alam semula jadi yang unik serta kedudukannya yang strategik berhampiran Singapura, Tanjung Piai dilihat mempunyai potensi besar berkembang sebagai destinasi ekopelancongan serantau.
Namun, seperti yang diakui pelbagai pihak, usaha berterusan dari segi promosi, prasarana dan pengalaman pelancong perlu diperkukuh bagi memastikan keindahan semula jadi kawasan itu terus terpelihara dan pada masa sama, mampu menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.
