Topic followed successfully
Go to BHkuPengunjung Singapura temui kebebasan di laluan motosikal lasak di Johor
Pengunjung Singapura temui kebebasan di laluan motosikal lasak di Johor
Tristan Park di Johor Bahru tawar pengalaman bagi yang baru mencuba hingga penunggang mahir
Pengunjung Singapura temui kebebasan di laluan motosikal lasak di Johor
Setiap kali warga Singapura merancang perjalanan singkat hujung minggu ke Johor Bahru, yang terlintas di fikiran lazimnya ialah hidangan yang berpatutan, membeli-belah, dan bersiar-siar di pusat beli-belah.
Namun, di sebalik tarikan utama yang sudah sedia maklum itu, terselit pengalaman lain yang kini semakin diminati: aktiviti menunggang motosikal lasak di kawasan hutan belantara.
Hanya kira-kira 20 minit dari Tambak Johor, Tristan Park menawarkan pengalaman menunggang motosikal lasak yang jauh berbeza daripada suasana bandar yang biasa.
Di sinilah pengunjung berpeluang menguji kemahiran menunggang di laluan tanah merah, mendaki bukit yang mencabar, meredah lumpur, dan menempuh laluan sempit di celah-celah pepohonan hutan yang tebal.
Bagi sebilangan warga Singapura, kegiatan ini bukan sekadar riadah; ia juga adalah peluang untuk menikmati kebebasan yang sering sukar diperoleh di republik padat itu.
Mencuba Pengalaman Baharu
Seorang pengunjung dari Singapura, Encik Jeff Lau, 48 tahun, memberitahu bahawa minatnya terhadap motosikal lasak sudah berputik sejak usia mudanya lagi.
“Saya mula menunggang motosikal ketika berumur sekitar 23 atau 24 tahun. Motosikal pertama saya ialah motosikal lasak jenama Yamaha. Tetapi selepas beberapa tahun, agak sukar untuk mengekalkan hobi itu di Singapura,” katanya.
Menurut Encik Lau, beberapa faktor telah menyukarkan aktiviti tersebut diteruskan di negaranya sendiri.
“Di Singapura, kos memiliki motosikal sangat tinggi, terutamanya disebabkan sijil kelayakan memiliki kenderaan (COE). Selain itu, ruang untuk menunggang di laluan hutan hampir tiada. Di sini pula kita menunggang sebagai satu sukan dan bukan di jalan raya, jadi ia lebih menyeronokkan,” jelasnya.
Encik Lau berkata beliau akan datang ke Tristan Park setiap beberapa bulan untuk menunggang bersama rakan-rakannya.
“Biasanya saya datang setiap tiga bulan sekali. Kadang-kadang saya datang bersendirian, kadang-kadang bersama rakan. Bagi kami, tempat ini sangat mudah diakses dari Singapura dan terdapat pelbagai jenis laluan yang boleh dicuba,” katanya.
Menurutnya lagi, kemudahan dan sokongan yang disediakan di pusat tersebut turut memberikan keyakinan kepada pengunjung.
“Peralatan di sini sangat baik dan para jurulatih juga berpengalaman. Ia memberikan ketenangan kepada kami kerana keselamatan sentiasa diutamakan,” katanya.
Bagi Encik Lau, aktiviti menunggang di kawasan hutan juga memberikan kesan positif kepada kesihatan mental.
“Apabila menunggang di kawasan seperti ini, kita benar-benar perlu memberi tumpuan kepada laluan. Ia membantu kita melupakan tekanan kerja buat seketika. Bagi saya, ini cara yang baik untuk melepaskan tekanan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung dari Singapura, Cik Jaclyn Lee, 47 tahun, berkata beliau dan rakan-rakannya datang ke Tristan Park untuk mencuba sesuatu yang baru.
“Saya datang bersama suami dan beberapa rakan. Ini kali pertama kami mencuba aktiviti seperti ini. Kami fikir ini peluang untuk mencuba sesuatu yang mencabar sebelum usia semakin meningkat,” katanya sambil tersenyum.
Menurut Cik Lee, kelebihan utama tempat itu ialah laluan yang boleh disesuaikan mengikut tahap kemahiran penunggang.
“Jika seseorang mahu mencuba laluan yang lebih mencabar, memang ada laluan yang sesuai. Tetapi jika seseorang masih baru dan tidak begitu berani, terdapat juga laluan yang lebih mudah dan selamat,” katanya.
Beliau berkata pengalaman tersebut juga menjadi latihan awal sebelum beliau menyertai perjalanan menunggang motosikal di luar negara.
“Kami merancang untuk menunggang motosikal di India pada bulan Jun nanti untuk melihat kawasan Himalaya. Jadi pengalaman di sini seperti sesi percubaan untuk membiasakan diri,” katanya.
Menurut Cik Lee, keindahan alam sekitar juga merupakan tarikan utama aktiviti tersebut.
“Setiap negara mempunyai pemandangan yang berbeza. Bagi saya, pengembaraan seperti ini memberi peluang untuk melihat tempat yang mungkin hanya sekali seumur hidup kita dapat lihat,” katanya.
Bagi Encik Jeremy Tan Yew Huang, 37 tahun, seorang jurutera dari Singapura, pengalaman menunggang motosikal lasak di Johor memberikan kelainan daripada rutin harian di bandar.
“Kami memang menunggang motosikal di Singapura, tetapi kebanyakannya hanya untuk pergi kerja atau perjalanan harian. Trafik di sana agak sibuk, jadi tidak banyak ruang untuk menikmati pengalaman menunggang,” katanya.
Encik Tan datang ke Tristan Park bersama rakannya, Encik Allan Kok Yin Quan, 37 tahun, seorang akauntan.
Encik Kok berkata mereka mengetahui tentang tempat tersebut melalui media sosial.
“Kami melihat tempat ini di laman media sosial dan tertarik untuk mencubanya. Kami mencari aktiviti yang mencabar tetapi tidak terlalu jauh dari Singapura kerana masa kami agak terhad,” katanya.
Menurut Encik Tan, keselamatan yang disediakan di pusat tersebut membuatkan pengunjung berasa lebih yakin untuk mencuba.
“Di sini kita boleh menunggang dengan lebih santai. Jika terjatuh pun tidak terlalu berbahaya kerana kita dilengkapi dengan peralatan keselamatan,” katanya.
Tambah beliau, pelbagai laluan yang tersedia juga menjadikan pengalaman menunggang lebih menarik.
“Mereka mempunyai pelbagai laluan dengan tahap kesukaran yang berbeza, daripada peringkat asas sehingga ke tahap yang lebih mencabar,” katanya.
Keselamatan dan kepuasan pelanggan jadi keutamaan
Di sebalik pengalaman yang dinikmati oleh pengunjung, operasi harian di Tristan Park dikendalikan oleh pasukan jurulatih yang berpengalaman.
Menurut pengurus pusat tersebut, Encik Mohd Norfazli Ngatmon, 42 tahun, beliau sudah bekerja di situ selama lebih 12 tahun.
Menurutnya, hujung minggu dan musim cuti sekolah merupakan waktu paling sibuk kerana ramai pengunjung dari Singapura datang mencuba aktiviti tersebut.
“Biasanya pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, kami menerima jumlah penunggang maksimum iaitu sekitar 15 orang sehari,” katanya.
MENGAPA TRISTAN PARK JADI PILIHAN WARGA S’PURA
Encik Norfazli berkata jumlah itu dihadkan bagi memastikan setiap kumpulan mendapat perhatian penuh daripada jurulatih.
“Setiap kumpulan akan mempunyai jurulatih sendiri supaya mereka dapat dipantau dengan lebih baik. Keselamatan pelanggan sangat penting kerana aktiviti ini mempunyai risiko jika tidak dikendalikan dengan betul,” katanya.
Menurut beliau, laluan di Tristan Park dibahagikan kepada beberapa tahap mengikut kemahiran penunggang.
“Kami mempunyai laluan asas, pertengahan, lanjutan dan juga laluan yang lebih mencabar. Laluan asas biasanya paling panjang kerana ia sesuai untuk mereka yang baru mencuba,” katanya.
Sementara itu, Encik Oh Kwan Chong, pengasas Tristan Park, mendedahkan bahawa pusat tersebut diasaskan pada tahun 2009, didorong oleh minat peribadi beliau terhadap sukan motosikal lasak.
“Tujuan utama kami ialah memberi peluang kepada semua orang untuk merasai pengalaman menunggang motosikal lasak, sama ada mereka yang baru belajar atau penunggang berpengalaman,” katanya.
Menurut beliau, pusat tersebut menyediakan pelbagai jenis motosikal untuk disewa, daripada motosikal kecil 50cc hingga motosikal yang lebih besar.
“Kami juga menyediakan pelbagai jenis laluan termasuk laluan sempit di hutan, laluan tanah, pendakian bukit, kawasan berlumpur dan lintasan sungai kecil,” katanya.
Encik Oh berkata Tristan Park kini menerima pengunjung dari pelbagai negara, walaupun sebahagian besar pelanggan datang dari Singapura.
“Pengunjung datang sendiri ke pusat kami dan hanya perlu membayar yuran menunggang yang merangkumi motosikal, jurulatih serta peralatan keselamatan,” katanya.
Dengan jaraknya yang dekat dari Singapura dan pengalaman yang berbeza daripada aktiviti bandar, Tristan Park semakin menjadi pilihan bagi mereka yang ingin mencuba sesuatu yang lebih mencabar di seberang Tambak Johor.

