Topic followed successfully
Go to BHkuTetap buat rumah terbuka meski kos meningkat
Tetap buat rumah terbuka meski kos meningkat
Hargai semangat ukhuwah antara saudara dengan teman daripada sekadar tumpu pada harga barangan
Tetap buat rumah terbuka meski kos meningkat
Sebahagian warga Johor masih mempertahankan tradisi rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri meskipun berdepan dengan peningkatan harga barangan makanan dan kos persiapan yang kian mencabar sejak kebelakangan ini.
Bagi kebanyakan mereka, amalan mengundang tetamu ke rumah bukan sekadar untuk menjamu selera, mala, ia wadah penting mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan yang mungkin terpisah dek kesibukan harian sepanjang tahun.
Seorang kakitangan kerajaan, Encik Madyasir Ahmad Basir, 31 tahun, berkata keputusan mengadakan rumah terbuka banyak bergantung kepada keupayaan kewangan individu serta cara mereka menguruskan perbelanjaan.
“Saya rasa semuanya bergantung kepada kewangan masing-masing.
“Kalau kita pandai merancang, kesan kenaikan harga itu tidaklah terlalu terasa.
“Yang penting kita tetapkan peruntukan dan berpegang pada jumlah itu,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) di kediamannya.
Beliau, yang kembali menganjurkan rumah terbuka selepas beberapa tahun tidak berbuat demikian berkata, pendekatan menggabungkan tempahan makanan dengan masakan sendiri dapat membantu mengawal kos.
“Menu utama saya ditempah, tetapi saya tambah sendiri hidangan seperti mi goreng dan nuget ayam.
“Ini antara cara untuk jimat. Kita ada pilihan sama ada mahu tempah sepenuhnya atau masak sendiri, bergantung kepada kemampuan dan kerajinan,” katanya.
Menurut beliau, dengan anggaran sekitar 100 tetamu, beliau membelanjakan kira-kira RM2,000 ($639), termasuk peruntukan duit Raya untuk kanak-kanak.
“Kalau dikira, lebih kurang RM20 seorang. Pada saya, ia masih dalam lingkungan yang munasabah.
“Yang penting bukan kemewahan, tetapi niat menjamu tetamu supaya mereka dapat makan dengan selesa,” katanya.
Beliau turut menolak tanggapan rumah terbuka adalah satu bentuk pembaziran.
“Bagi saya, ia bergantung kepada cara kita. Kalau mahu berbelanja besar, itu pilihan masing-masing. Tetapi kalau kita sederhana, ia tidak membebankan,” katanya.
Rumah terbuka peluang erat kemesraan
Pandangan itu turut dikongsi kakitangan swasta, Encik Mohd Marhanis Mirza Mahmod, 36 tahun, yang melihat rumah terbuka sebagai peluang mengeratkan hubungan sesama insan.
“Hari Raya adalah masa untuk merapatkan hubungan. Saya buat persiapan lebih awal supaya tidak terlalu terkesan dengan kenaikan harga.
“Bila kita beli barang lebih awal, kos itu dapat dikawal,” katanya.
Beliau berkata, faktor kewangan tetap diambil kira, namun tidak menjadi penghalang meneruskan tradisi tersebut.
“Memang ada sedikit kesan dari segi perbelanjaan, tetapi kita sediakan lebihan bajet untuk menampung keperluan.
“Kebetulan saya juga menerima bonus, jadi ia membantu,” tambahnya.
Beliau menambah, walaupun terdapat kebimbangan mengenai keadaan ekonomi semasa, dirinya tetap memilih untuk menganjurkan rumah terbuka.
“Kita mungkin terkesan dengan keadaan semasa, tetapi kerajaan juga menyediakan pelbagai langkah untuk membantu rakyat.
“Jadi kita harap ia tidak menghalang orang ramai daripada terus mengadakan rumah terbuka,” katanya.
Menurutnya lagi, tujuan utama menganjurkan rumah terbuka adalah untuk menghargai rakan-rakan dan kenalan yang banyak membantu sepanjang tahun.
“Sudah lama saya tidak buat di rumah, mungkin empat hingga lima tahun.
“Jadi kali ini saya mahu meraikan kawan-kawan. Ia bukan soal kemewahan, tetapi lebih kepada berkongsi rezeki,” katanya.
Sesuaikan jumlah jemputan dan jenis hidangan
Dalam pada itu, seorang peniaga, Cik Norjahizan Jaapar, 45 tahun, mengakui kenaikan harga barangan mentah memberi kesan kepada perancangan rumah terbuka, namun, ia tidak sampai membatalkan hasrat tersebut.
“Memang tidak boleh dinafikan harga barang naik, ada yang meningkat antara 30 dengan 50 peratus, terutama bahan makanan seperti daging, sayur dan santan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata kenaikan itu diatasi dengan menyesuaikan jumlah jemputan dan jenis hidangan.
“Kalau sebelum ini kita jemput 300 hingga 400 orang, kali ini kita kurangkan kepada sekitar 200 orang.
“Dari segi menu juga, kita ringkaskan supaya kos tidak terlalu tinggi,” katanya.
Beliau menganggarkan perbelanjaan makanan mencecah antara RM5,000 dengan RM6,000, bergantung kepada jumlah tetamu dan pilihan hidangan.
“Rumah terbuka ini bagi saya tetap penting kerana ia tradisi dan cara merapatkan hubungan sesama anggota keluarga dan rakan. Itu yang lebih utama,” ujarnya.
Harga katering jamuan masih mampu milik
Sementara itu, pemilik bengkel kenderaan, Encik Ahmad Syamim Faiz Sanusi, 34 tahun, berkata harga makanan yang ditawarkan oleh penyedia jamuan masih dalam lingkungan mampu milik, sekali gus membolehkan beliau meneruskan tradisi tersebut.
“Saya lihat harga jamuan masih dalam lingkungan mampu milik. Ada yang RM10 seorang, malah ada yang RM7.50 seorang. Jadi kita masih boleh pilih ikut kemampuan,” katanya.
Beliau berkata bagi tahun ini, beliau menempah jamuan bagi 100 tetamu dengan kos sekitar RM1,100, manakala jumlah keseluruhan perbelanjaan boleh mencecah lebih RM3,000 bagi 200 tetamu.
“Pada saya, rumah terbuka ini sudah jadi acara tahunan. Selain itu, ia memudahkan kita kumpulkan semua kawan dalam satu masa, berbanding mereka datang berasingan,” katanya.
Namun, tidak semua memilih untuk menganjurkan rumah terbuka berskala besar.
Ada elak anjur kerana kos
Pemilik bengkel kenderaan, Encik Effendi Abdul Talib, 37 tahun, berkata peningkatan kos dan kekangan masa menjadi antara faktor utama beliau tidak mengadakan rumah terbuka pada 2026.
“Memang kos sekarang meningkat. Kalau tempah jamuan pun, mereka sudah maklumkan harga naik. Kalau masak sendiri pula, tenaga dan masa menjadi kekangan,” katanya.
Beliau yang kali terakhir menganjurkan rumah terbuka pada 2024 berkata, tahun ini, beliau hanya menerima kunjungan rakan-rakan terdekat secara sederhana.
“Apabila ada kawan yang datang, kita sediakan sedikit juadah sahaja. Tidak buat secara besar-besaran,” jelasnya.
Menurut beliau, walaupun rumah terbuka penting, ia perlu disesuaikan dengan kemampuan semasa.
“Kita kena ukur kemampuan sendiri. Dengan kos yang meningkat, kita perlu lebih berhati-hati,” tambahnya.
Sementara itu, kakitangan kerajaan, Encik Hafizul Syarafi Mohd Noor, berpendapat faktor kos, komitmen keluarga dan kekangan masa menjadi antara sebab utama sesetengah individu tidak menganjurkan rumah terbuka.
“Kalau bahan mentah naik, sebenarnya masih boleh dikawal dengan perancangan. Tetapi bagi pasangan muda, terutama yang ada anak kecil, ia menjadi lebih mencabar,” ujarnya.
Beliau menambah ruang kediaman yang terhad serta kesibukan jadual kerja turut mempengaruhi keputusan tersebut.
“Ada yang tinggal di rumah bertingkat dengan ruang terhad.
“Kalau keluarga ramai, itu juga jadi faktor untuk dijadikan pertimbangan. Selain itu, kekangan masa dan tenaga memainkan peranan,” katanya.
Menurut beliau, rumah terbuka bukan satu kewajipan, sebaliknya amalan yang boleh disesuaikan dengan keadaan masing-masing.
“Ia bukan sesuatu yang diwajibkan. Yang penting adalah kita menyantuni tetamu dengan kemampuan yang ada.
“Kalau tidak mampu buat besar-besaran, kita boleh ziarah orang lain atau buat secara sederhana,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan pendekatan bersama dalam masyarakat sebagai gantian.
“Mungkin boleh adakan secara kejiranan, satu lorong anjurkan bersama. Ini dapat mengurangkan kos dan pada masa sama, mengeratkan hubungan dalam masyarakat,” katanya.
Secara keseluruhan, walaupun berdepan cabaran kos yang meningkat, tradisi rumah terbuka masih kekal sebagai amalan penting dalam kalangan masyarakat Johor, dengan kebanyakan individu memilih untuk menyesuaikan skala dan perbelanjaan mengikut kemampuan masing-masing.
Ini dilakukan demi memastikan semangat Aidilfitri terus dirasai bersama.

