JELEBU (Negeri Sembilan): Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendedahkan Lembaga Tabung Haji (TH) mengalami kerugian RM10 bilion ($3.17 bilion), dengan kedudukan kewangannya berada dalam keadaan kritikal pada 2017.

Institusi itu, yang diiktiraf sebagai antara badan pengurusan dana haji paling cekap dalam kalangan negara Islam itu, mengalami kerugian yang menyebabkan defisitnya melonjak kepada RM10 bilion, sekali gus memaksa kerajaan melaksanakan pelan pemulihan dengan segera.

Penemuan itu berdasarkan rumusan yang dijalankan firma audit antarabangsa, PricewaterhouseCoopers (PwC) dan terkandung dalam Laporan RCI mengenai TH yang diumumkan pada malam 29 Julai.

Suruhanjaya itu turut dimaklumkan, jika isu itu tidak ditangani segera, ia berisiko menjejaskan keupayaan TH untuk mengagihkan keuntungan atau hibah kepada lebih 9.2 juta pendepositnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap sebarang unsur salah guna kuasa atau pelanggaran yang menyebabkan TH mengalami kerugian.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata individu atau pihak yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan TH mengalami kerugian dan penipuan akan disiasat oleh pihak berkuasa.

Menurutnya antara pihak yang akan menyiasat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Berdasarkan taklimat yang diberikan Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, kepada Jemaah Menteri berkait RCI itu juga, berlakunya kerugian sebanyak RM10 bilion yang terpaksa ditanggung oleh TH.

“Rugi RM10 bilion disebabkan tak ikut peraturan, pelaburan salah dan banyak masalah,” katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama Perdana Menteri, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan, pada malam 29 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Anwar berkata kesalahan itu berlaku sejak 2014, selain Gabenor BNM juga memaklumkan wujudnya pelanggaran, namun tidak dipedulikan oleh TH sehingga menyebabkan organisasi itu mengalami kerugian.

Menurutnya, individu atau pihak bertanggungjawab itu turut akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

“Keputusan Jemaah Menteri bukan saja nak sebar, orang yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dan penipuan, salah guna kuasa akan disiasat oleh PDRM, SPRM dan Bank Negara.

“Semua akan siasat. Kalau ada bukti, dakwa, biar masuk mahkamah dan biar masuk penjara kalau salah,” katanya.

Terdahulu, Jemaah Menteri bersetuju laporan siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai TH dikelaskan semula dan laporan itu akan dibentangkan serta dibahaskan pada sidang khas Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Datuk Anwar berkata tindakan undang-undang terhadap pihak yang bersalah itu perlu dilakukan kerana ia adalah aturan di negara itu.

Sementara itu, segelintir pihak mempertikai tujuan RCI itu didedahkan kepada umum ketika tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 rancak berlangsung.

Untuk rekod, pentadbiran kerajaan Malaysia pada 2014 hingga 2017 diterajui Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak.

Encik Najib kini menjalani hukuman penjara kerana didapati bersalah atas pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan, rasuah, dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International.