Setelah menunggu sekian lama, akhirnya kumpulan jemaah pertama sekitar 300 jemaah telah berangkat dari Singapura untuk menunaikan haji pada awal pagi Sabtu, 9 Mei.

Semua anggota jemaah haji Singapura akan berangkat dan pulang bersama menerusi tiga penerbangan langsung ke dan dari Arab Saudi, selain menerima Kad Nusuk sebelum bertolak.

Singapura telah diperuntukkan kuota sebanyak 900 tempat untuk musim haji pada 2026.

Bagi kebanyakan jemaah, menunaikan haji merupakan sesuatu yang sudah lama dinanti.

Bayangkan, mereka telah menunggu sekitar sedekad untuk menunaikan rukun Islam yang kelima.

Keberangkatan itu tentunya merupakan satu penantian yang telah lama diimpikan.

Namun, rasa bimbang tentunya dirasakan memandangkan ketegangan konflik antara Iran dengan Israel dan Amerika Syarikat masih berlarutan.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata kesejahteraan dan keselamatan jemaah haji kekal menjadi keutamaan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Dr Faishal, yang akan memimpin delegasi Singapura bagi mengerjakan ibadah haji 2026, berkata ciri-ciri keselamatan telah diambil bagi memastikan kesejahteraan jemaah.

Ia termasuk memastikan jemaah Singapura akan berangkat dan pulang bersama-sama bagi membolehkan penyelarasan pergerakan jemaah yang lebih baik serta operasi haji lebih cekap.

Jemaah Singapura akan berangkat ke Madinah pada 9, 12 dan 14 Mei dan kembali ke tanah air dari Jeddah, pada 1, 5 dan 8 Jun.

Satu lagi langkah keselamatan baru diambil ialah kesemua anggota jemaah setempat akan diberikan Kad Nusuk sebelum berangkat.

Kad Nusuk merupakan dokumen rasmi Arab Saudi yang mengandungi maklumat peribadi anggota jemaah, menyediakan akses ke tapak-tapak suci serta menyertakan butiran penginapan dan pengangkutan bagi menyokong mereka sepanjang perjalanan ibadah.

Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) sudah pun berada di Arab Saudi bagi membuat persiapan di beberapa kawasan ibadah haji bagi memastikan keselesaan para jemaah.

Muis juga telah bekerjasama dengan Arab Saudi untuk memantau situasi keselamatan.

Perancangan telah dilakukan sebaik mungkin, justeru apa yang diharapkan ialah agar para jemaah dapat melaksanakan ibadah haji yang tenang.

“Perancangan telah dilakukan sebaik mungkin, justeru apa yang diharapkan ialah agar para jemaah dapat melaksanakan ibadah haji yang tenang.”
Penulis.