BACHOK (Kelantan): Kerajaan Malaysia menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) menubuhkan pasukan khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menangani kes tipu badal haji bagi musim haji, pada 2026.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata langkah itu bagi memastikan tiada mangsa yang terkandas akibat ditipu sindiket atau ‘scammer’.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengeluarkan beberapa kali notis dan peringatan kepada rakyat supaya tidak terpengaruh dengan tawaran upah haji termasuk yang menawarkan harga yang murah.

“Setakat ini kami belum merekodkan sebarang kes tipu badal haji musim ini, namun pemantauan tetap dilaksanakan termasuk tawaran di laman sosial dan lapangan terbang (KLIA).

“Orang ramai juga perlu merujuk kepada pihak berkuasa seperti TH untuk mendapatkan keabsahan (kepastian) berkenaan tawaran pengurusan ibadah itu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau ditemui selepas merasmikan Projek Pemerkasaan Perusahaan Bakeri dan Pastri di Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya (PROKA) Kelantan, yang diberi nama Kozee Kopi dan Pastri, di Bachok, Kelantan, pada 3 Mei.

Dr Zulkifli berkata kenyataan turut dikeluarkan persatuan pelajar Malaysia di Arab Saudi bagi mengelakkan masyarakat keliru dan tertipu dengan pakej badal haji yang tidak wujud.

Sementara itu, beliau memuji usaha Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersama Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan dengan kerjasama Majlis Pemulihan Negeri Kelantan yang memberi peluang pekerjaan kepada 30 wanita kelainan upaya agar bekerja di kedai kek berkenaan.

Kes penipuan pakej haji kerap berlaku di Malaysia menyebabkan mangsa kerugian puluhan ribu ringgit yang dibayar sebagai kos menunaikan haji, namun tidak berpeluang mengerjakan ibadah itu.

Satu daripada kes yang berlaku pada 2025 melibatkan 47 jemaah warga emas Malaysia, yang mana impian untuk menunaikan haji bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen haji tempatan, dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.

Jemaah yang terpedaya dengan janji manis mendakwa berdepan realiti kejam apabila dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.

Anak seorang daripada pasangan warga emas yang menjadi mangsa penipuan ejen berkenaan, Sharifah Azzahra, berkata ibu, bapa dan ibu saudaranya bertolak ke Arab Saudi untuk mengerjakan haji bersama ejen berkenaan pada 9 Mei 2025.

Katanya, warga emas yang menyertai rombongan dikendalikan ejen berkenaan terkejut apabila mendapat tahu mereka tidak dibenarkan ke kota Makkah susulan tiada visa haji sebaik tiba di Jeddah.