Sebuah stesen minyak di Selangor telah disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas sebuah kereta berpendaftaran Singapura didapati mengisi minyak petrol RON95 yang diberi subsidi oleh kerajaan Malaysia.

KPDN Selangor, dalam perkongsian di Facebook, berkata pihaknya menerima aduan melalui portal E-Aduan pada 26 April, berhubung sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing disyaki membuat pengisian petrol RON95 di sebuah stesen minyak.

Pasukan penguat kuasa KPDN Selangor cawangan Petaling Jaya kemudian menjalankan siasatan di premis stesen minyak berkenaan.

Menurut kenyataan Unit Media KPDN Selangor, hasil siasatan lanjut serta pemeriksaan silang terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudian mendapati pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura itu telah membuat pembayaran menggunakan kad kredit bagi tujuan pengisian petrol RON95.

“Pengisian petrol RON95 kemudian dibuat ke dalam tangki asal kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran asing itu,” kata KPDN Selangor dalam kenyataan pada 27 April.

Menyusuli dapatan pemeriksaan itu, satu tindakan kes telah diambil oleh KPDN Selangor ke atas stesen minyak berkenaan kerana disyaki melakukan kesalahan melanggar peraturan larangan menjual petrol RON95 kepada kenderaan asing.

“Dalam masa sama, beberapa salinan dokumen berkaitan telah pun disita bagi tujuan tindakan dan siasatan selanjutnya,” kata KPDN Selangor.

Bermula 1 April lalu, kerajaan Malaysia menguatkuasakan larangan penggunaan kad kredit dan kad debit asing di semua stesen minyak di Malaysia bagi menyekat pembelian petrol RON95 oleh kenderaan asing.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, berkata langkah itu bagi memastikan subsidi RON95 hanya dinikmati rakyat yang layak dan mengelak ia disalahgunakan oleh pihak tertentu, termasuk pengguna kenderaan dengan nombor pendaftaran asing.

Di Malaysia, kenderaan dengan nombor pendaftaran asing hanya dibenarkan mengisi petrol RON97, manakala petrol RON95 yang diberi subsidi oleh kerajaan hanya dikhususkan untuk pembelian oleh warga Malaysia dengan had kuota bulanan 300 liter.

Bagaimanapun, perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran telah menyebabkan ketegangan geopolitik dan melonjakkan harga bahan api, sekali gus mendesak kerajaan melaksanakan langkah lebih agresif bagi mengelak ketirisan bekalan petrol RON95 kepada pihak yang tidak layak.

Kerajaan juga kemudian menurunkan had kuota kelayakan petrol bersubsidi kepada 200 liter sebulan.

Malah, ratusan anggota polis turut ditempatkan di stesen minyak di kawasan sempadan Malaysia bagi membanteras masalah penyeludupan dan ketirisan bahan api bersubsidi kepada kenderaan asing.