Topic followed successfully
Go to BHkuPemandu kereta S’pura individu pertama ditahan di Johor di bawah peraturan baru RON95
Pemandu kereta S’pura individu pertama ditahan di Johor di bawah peraturan baru RON95
Pemandu kereta S’pura individu pertama ditahan di Johor di bawah peraturan baru RON95
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki menjadi individu pertama ditahan pihak berkuasa Malaysia kerana mengisi kenderaan Singapura miliknya dengan petrol bersubsidi RON95 di Johor.
Ini menyusuli larangan terkini yang dikenakan terhadap kenderaan asing yang berkuat kuasa pada 1 April, menurut laporan media tempatan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Cik Lilis Saslinda Pornomo, berkata lelaki berusia 50-an itu ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah stesen minyak di Johor Bahru pada 10 malam, 10 April.
“Siasatan awal mengesahkan bahawa urus niaga tersebut melibatkan petrol RON95,” katanya dalam satu kenyataan, yang dilaporkan media Malaysia.
Cik Lilis berkata pemeriksaan lanjut telah dijalankan, termasuk menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut, memeriksa resit pembelian dan merakam keterangan daripada pekerja di stesen minyak.
Pegawai KPDN Johor merampas sebuah kereta Honda Civic, rakaman CCTV, salinan resit pembelian serta dokumen berkaitan.
“Lelaki warga asing itu, yang dipercayai pemandu kenderaan tersebut, turut ditahan bagi membantu siasatan,” kata Cik Lilis.
Beliau berkata kes tersebut sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membeli barangan terkawal seperti petrol RON95 menggunakan kenderaan asing.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda hingga RM1 juta ($320,000) atau dipenjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pesalah berulang pula boleh didenda maksimum RM3 juta atau dipenjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat, denda boleh mencecah hingga RM2 juta dan meningkat kepada RM5 juta bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya.
Bermula 1 April, pemandu kenderaan asing dilarang membeli petrol RON95.
Di bawah undang-undang Malaysia, petrol bersubsidi RON95 hanya dikhaskan buat kenderaan Malaysia sahaja.
Warga Malaysia yang memandu kereta Singapura juga dilarang membeli petrol RON95.
Pada 14 Januari, seorang penduduk tetap (PR) Singapura didenda RM9,000 di mahkamah majistret Kulai, Johor, selepas dirakam mengisi kereta Singapura miliknya dengan petrol subsidi RON95. - Agensi berita.

