Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia kritikal tanggung beban subsidi bahan api
M’sia kritikal tanggung beban subsidi bahan api
Bil subsidi kerajaan dilapor melonjak secara luar biasa daripada RM700j kepada sekitar RM7b sebulan selepas krisis berkenaan tercetus
M’sia kritikal tanggung beban subsidi bahan api
KUALA LUMPUR: Konflik geopolitik yang mencengkam rantau Timur Tengah kini meletakkan Malaysia di persimpangan kritikal yang menguji keupayaan serta kebijaksanaan kerajaan dalam menguruskan kewangan negara.
Kenaikan mendadak bil subsidi bahan api memaksa pentadbiran memerah keringat memikirkan formula terbaik bagi menyeimbangkan kedudukan fiskal perbendaharaan tanpa meletakkan beban melampau ke atas bahu rakyat jelata.
Kebijaksanaan ini amat ditagih tatkala negara berhadapan tekanan fiskal yang disifatkan amat kritikal akibat krisis bekalan tenaga sejagat berpunca daripada perang Amerika Syarikat – Israel dan Iran.
Bil subsidi kerajaan kini dilapor melonjak secara luar biasa daripada RM700 juta ($224.28 juta) kepada sekitar RM7 bilion sebulan selepas krisis berkenaan tercetus.
Angka RM6 bilion daripadanya merujuk kepada subsidi petrol RON95 (Budi95) sahaja dan masih belum merangkumi kos Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) serta peruntukan nelayan.
Ahli Ekonomi Kanan Center for Future Labour Market Studies, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan, menggariskan bahawa kerajaan mungkin masih mampu menampung beban kewangan berkenaan dalam senario jangka pendek.
Pendekatan ini secara realistik boleh dilaksana melalui saluran hasil petroleum negara, suntikan dividen daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pelarasan semula perbelanjaan kerajaan.
“Namun, bagi tempoh sederhana hingga panjang, beban ini boleh menjejaskan sasaran pengurangan defisit fiskal serta mengecilkan ruang untuk pendidikan, kesihatan dan pembangunan,” kata Dr Mohamad Khair, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau mengakui subsidi berskala besar amat munasabah bagi melindungi rakyat dan sektor ekonomi, namun ia pasti bukan penyelesaian yang mampan jika rantaian harga dunia kekal berlegar pada tahap tinggi.
Hakikatnya beliau berkata pasaran dunia kini dikaburi dengan mitos harga pada skrin kertas yang sama sekali tidak mencerminkan realiti sebenar kesukaran dan nilai mendapatkan bekalan fizikal.
“Realiti pasaran fizikal menampakkan satu tong petroleum kini terpaksa dibeli pada kadar premium AS$140 ($178) hingga AS$160, ditambah pula dengan kos perkapalan logistik maritim dari Oman ke Malaysia yang melonjak drastik daripada AS$8 juta kepada AS$29 juta.
“Malaysia amat terdedah kepada badai kenaikan kos ini memandangkan loji penapisan tempatan sangat bergantung kepada kestabilan rantaian luar.
“Daripada sejumlah 676,000 tong input minyak mentah sehari yang disalurkan masuk ke dalam loji penapisan domestik, sebanyak 53 peratus adalah sumber mentah yang diimport.
“Kebergantungan kepada persekitaran antarabangsa ini tidak terhenti pada paras minyak mentah sahaja, malah melangkaui produk bahan api siap yang menggerakkan aktiviti harian jutaan rakyat tempatan,” katanya lagi.
Dr Mohamad Khair berkata bagi menampung selera permintaan domestik negara yang mencecah 2.3 bilion liter sebulan, Malaysia terpaksa bersaing mengimport 35 peratus bekalan petrol dan 25 peratus bekalan diesel dari luar untuk dicukupkan.
Menyedari kepincangan mekanisme ini, Dr Mohamad Khair menegaskan bahawa langkah paling realistik ketika ini ialah menyusun semula jaring subsidi supaya peruntukan kewangan lebih telus kepada golongan memerlukan dan juga sektor strategik.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, turut melontarkan pandangan bersetuju berhubung keperluan merombak perancangan perbelanjaan belanjawan negara.
Beliau mendedahkan andaian sasaran harga minyak mentah Brent dalam Belanjawan 2026 yang diukur pada paras AS$70 satu tong adalah jauh meleset berbanding harga skrin semasa yang mencecah atas paras AS$90 satu tong.
