SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mendapatkan Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance – MLA) bagi memperoleh keterangan beberapa individu di Taiwan dan Britain, untuk membantu siasatan kes penyelewengan pelaburan kerajaan RM1.1 bilion ($320 juta).

Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata pihaknya telah berhubung dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan bantuan berkenaan, menyusuli siasatan yang turut melibatkan bidang kuasa dua negara terbabit.

Menurutnya, proses itu diperlukan bagi membolehkan keterangan dan maklumat daripada individu terlibat diperoleh secara sah mengikut peraturan serta undang-undang antarabangsa.

“Kes ini mungkin akan memakan masa sedikit dari segi penyiasatan memandangkan ia melibatkan dua bidang kuasa yang berbeza, kita perlu melalui peraturan, undang-undang dan sebagainya.

“Jadi siasatan mungkin memakan masa,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke pejabat SPRM Selangor di Shah Alam, lapor laman web Malaysiakini.

Ia merupakan lawatan kerja pertama beliau sejak memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 13 Mei lalu menggantikan Tan Sri Azam Baki, yang tamat kontrak perkhidmatan.

Datuk Abd Halim berkata SPRM setakat ini telah merakam keterangan 26 individu termasuk mantan Ahli Parlimen (AP) Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, serta bekas pembantunya, Encik Chai Jin Shern, atau lebih dikenali sebagai James Chai.

Mengulas lanjut, beliau berkata urusan dokumentasi bagi bahan bukti untuk kes berkenaan sedang dijalankan termasuk dokumen yang diserahkan oleh Datuk Rafizi.

“Dokumen daripada beliau kami terima dan di dalam analisis serta pertimbangan kita. Itu juga akan kami pertimbangkan, walaupun beliau hantar secara sukarela, kita terima dan kita akan pertimbangkan,” katanya.

SPRM sebelum ini membuka kertas siasatan kes itu pada 16 Februari lalu, menyusuli laporan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beberapa NGO terbabit mendakwa perjanjian projek RM1.1 bilion melibatkan kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi ketika diterajui Datuk Rafizi sebelum beliau meletak jawatan, dengan syarikat ARM Limited dari Britain dibuat secara tergesa-gesa.

Malah, NGO terbabit mendakwa perjanjian itu bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan Malaysia.

Datuk Rafizi telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selama empat hari berturut-turut sejak 4 Mei lalu.

Beliau turut hadir ke Ibu Pejabat SPRM secara sukarela pada 14 Mei, untuk menyerahkan dokumen berkaitan dakwaan salah laku melibatkan beliau dan membantu siasatan rasuah yang sedang dijalankan pihak berkuasa.