Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan pegawai Rafizi akhirnya beri keterangan di SPRM, bantu siasatan projek semikonduktor RM1.1b
Mantan pegawai Rafizi akhirnya beri keterangan di SPRM, bantu siasatan projek semikonduktor RM1.1b
Mantan pegawai Rafizi akhirnya beri keterangan di SPRM, bantu siasatan projek semikonduktor RM1.1b
PUTRAJAYA: Hampir dua bulan dicari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akhirnya Encik James Chai, mantan pembantu kepada mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan berkaitan projek semikonduktor disokong kerajaan bernilai RM1.1 bilion ($350 juta).
Penganalisis politik, yang juga Pembantu Tugas-Tugas Khas (Dasar) kepada Datuk Rafizi itu, hadir di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, pada pagi 28 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Sejak awal Mac lalu, Encik Chai, yang menetap di London, dicari SPRM sebelum agensi itu menerima surat daripada peguamnya bertarikh 9 Mac lalu yang memaklumkan anak guamnya itu tidak dapat hadir untuk memberi keterangan atas alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.
SPRM kemudian mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac, memberi lanjutan masa untuk Encik Chai hadir pada 31 Mac lalu, namun beliau sekali lagi gagal hadir.
Sehubungan itu, SPRM mengeluarkan surat susulan menetapkan beliau perlu hadir dalam tempoh dua minggu, dengan suruhanjaya berkenaan bersedia menanggung kos penerbangannya pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan.
SPRM ketika itu akan turut menimbang mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa, termasuk Interpol atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadirannya.
Berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan, setakat ini seramai 17 saksi dirakam keterangan yang membabitkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan, termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).
Dalam pada itu, firma guaman, Kesavan Advocates & Solicitors, yang mewakili Encik Chai, dalam kenyataannya memaklumkan segala urusan kepulangan anak guam mereka telah diatur selepas mendapat kelulusan majikan di London dan pihaknya berkomunikasi dengan SPRM bagi memudahkan proses siasatan.
SPRM baru-baru ini melancarkan siasatan terhadap dakwaan salah laku berkaitan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan firma reka bentuk cip dari Britain, Arm Holdings, yang dimeterai pada Mac 2025.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan pihaknya merakam keterangan saksi meliputi pelbagai agensi kerajaan, termasuk seorang mantan menteri.
Ia kemudian dikaitkan dengan Datuk Rafizi selaku Menteri Ekonomi ketika itu.
Datuk Rafizi sebelum ini pernah mendakwa SPRM menjalankan siasatan bermotifkan politik terhadapnya.
Beliau mendakwa tuduhan terhadapnya berkisar dua dasar utama kerajaan, iaitu Program Visi Silikon dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang menurutnya melalui pelbagai peringkat kelulusan kerajaan, termasuk pengesahan Jemaah Menteri.
Program Visi Silikon membabitkan kerjasama antara kerajaan dengan Arm Holdings bagi menghasilkan cip semikonduktor pertama negara, sementara NETR menggariskan sasaran peralihan tenaga negara sehingga 2050, yang melibatkan pelaburan besar dalam industri hijau.
