Topik diikuti
Pergi ke BHkuRafizi sambung beri keterangan di SPRM bagi siasatan projek RM1.1b
Rafizi sambung beri keterangan di SPRM bagi siasatan projek RM1.1b
Siasatan berpunca daripada dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dalam urusan pelaburan
Rafizi sambung beri keterangan di SPRM bagi siasatan projek RM1.1b
PUTRAJAYA: Mantan Menteri Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli, hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 5 Mei untuk menyambung memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan projek kerajaan bernilai RM1.1 bilion ($350 juta).
Siasatan itu berpunca daripada dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan antara Kementerian Ekonomi semasa diterajui beliau, dengan syarikat ARM Limited UK (ARM) dalam perjanjian strategik industri semikonduktor.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, berkata proses merakam keterangan Datuk Rafizi pada 4 Mei di Ibu Pejabat SPRM berlangsung selama sembilan jam, bermula 9.30 pagi dan berakhir 6.30 petang.
Proses itu disambung pada hari kedua, bermula 10 pagi 5 Mei.
Kehadiran Datuk Rafizi adalah untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM bagi melengkapkan siasatan, lapor Berita Harian Malaysia.
Astro Awani melaporkan Datuk Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan, memaklumkan beliau “tiada apa-apa hendak disembunyikan” dan siasatan setakat ini hanya berkaitan prosedur.
Mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjelaskan, proses soal siasat berjalan mengikut kronologi peristiwa.
Beliau menjangkakan sesi kedua akan mengambil masa hampir sembilan jam seperti hari sebelumnya, memandangkan setiap bahagian perlu diperincikan mengikut rekod dan urutan masa.
Datuk Rafizi turut menyatakan layanan pihak SPRM berjalan baik tanpa sebarang masalah.
Beliau menjangkakan keseluruhan proses siasatan akan mengambil masa beberapa hari.
SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu, menyusuli aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam perjanjian pelaburan kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dengan ARM bernilai RM1.1 bilion.
Siasatan juga menjurus kepada kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan membabitkan individu yang dikatakan diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing berkenaan selepas berhenti daripada perkhidmatan di sebuah kementerian.
Minggu lalu, mantan pembantu Datuk Rafizi, Encik James Chai, seorang penganalisis politik, telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan kes yang sama.
