SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Serangan pusat hiburan di KL: 45 individu termasuk 2 pelajar, ahli kongsi gelap ditahan polis

Serangan pusat hiburan di KL: 45 individu termasuk 2 pelajar, ahli kongsi gelap ditahan polis

Apr 8, 2026 | 10:43 PM

Serangan pusat hiburan di KL: 45 individu termasuk 2 pelajar, ahli kongsi gelap ditahan polis

Ketua Polis Kuala Lumpur
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Polis telah menahan 45 individu, termasuk dua pelajar sekolah, yang disyaki terbabit dalam kejadian serangan bersenjata ke atas sebuah pusat hiburan karaoke (KTV) di Taman Shamelin, Cheras, Kuala Lumpur, pada 5 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata setakat ini, mereka yang ditahan berusia antara 14 dengan 57 tahun, hasil operasi dijalankan polis sejak 6 April hingga awal pagi 8 April.

“Siasatan awal mendapati serangan pada waktu tengah hari itu dilakukan sebahagian individu yang terdiri daripada ahli kumpulan kongsi gelap yang diupah oleh pihak berkepentingan.

“Hasil siasatan awal kita mendapati pemilik premis hiburan KTV ini menggunakan khidmat kumpulan kongsi gelap bagi mengawasi aktiviti operasinya, dan kesan daripada masalah dendam serta persaingan perniagaan menjadi punca kepada serangan dan rusuhan yang berlaku.

“Pada masa ini, siasatan lanjut masih dijalankan dan kita sedang mengesan sebahagian lagi individu yang turut terbabit dalam serangan ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada petang 8 April, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Dalam laporan awal, BHM melaporkan permohonan reman akan dibuat ke atas 35 suspek yang kini berada di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur.

Seorang lagi suspek akan disambung reman selepas ditahan pada 6 April lalu, manakala tujuh lagi individu dilaporkan sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Semua suspek termasuk dalang utama ditahan di sekitar Lembah Klang.

Polis turut merampas sebuah lori di Taman Orkid, Cheras, yang disyaki digunakan dalam kejadian serangan itu dan kemudian dipercayai membawa kepada tangkapan suspek lain.

Turut dirampas ialah senjata seperti batang besi dan kayu.

Terdahulu, media Malaysia melaporkan dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira 1.30 tengah hari itu, sekumpulan lelaki dilihat bertindak merempuh pintu pagar premis itu dengan menggunakan sebuah lori.

Kejadian itu dikesan dalam satu rakaman video pendek yang tular dan memaparkan kumpulan individu dengan sebahagian besarnya berpakaian hitam dan bersenjata, menyerbu masuk kawasan KTV berkenaan.

Datuk Fadil dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.30 malam, 5 April.

Berikutan itu, polis memburu sekumpulan kira-kira 50 lelaki bertopeng yang dipercayai terbabit dalam kejadian khianat dan rusuhan itu.

“Mereka menceroboh masuk ke dalam pusat hiburan berkenaan. Suspek didapati turut melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan barangan di dalam premis itu,” kata Datuk Fadil.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg