Topic followed successfully
Go to BHkuSekitar 50 individu bertopeng, bersenjata serang pusat hiburan karaoke di KL
Sekitar 50 individu bertopeng, bersenjata serang pusat hiburan karaoke di KL
Sekitar 50 individu bertopeng, bersenjata serang pusat hiburan karaoke di KL
KUALA LUMPUR: Polis memburu sekumpulan kira-kira 50 lelaki bertopeng yang dipercayai terbabit dalam kejadian khianat dan rusuhan di sebuah pusat hiburan karaoke (KTV) di Taman Shamelin, Cheras, Kuala Lumpur, pada 5 April.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.30 malam.
Kejadian itu dikesan dalam satu rakaman video pendek yang tular dan memaparkan kumpulan individu dengan sebahagian besarnya berpakaian hitam dan bersenjata, menyerbu masuk kawasan KTV berkenaan.
Menurut Datuk Fadil, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 1.30 tengah hari apabila sekumpulan lelaki bertindak merempuh pintu pagar premis itu menggunakan sebuah lori.
“Mereka kemudian menceroboh masuk ke dalam pusat hiburan berkenaan. Suspek turut melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan barangan di dalam premis itu.
“Berikutan itu, polis kini giat mengesan semua individu yang terlibat bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 kanun yang sama kerana merusuh menggunakan senjata.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya
Terdahulu, satu rakaman video tular menunjukkan sebuah lori dilihat melanggar pintu pagar premis KTV berkenaan dan merosakkannya sebelum sekumpulan individu masuk melalui ruang yang ada.
Rakaman berkenaan juga menunjukkan kumpulan suspek yang menceroboh itu memegang objek yang dipercayai batang besi dan kayu.

