Topic followed successfully
Go to BHkuSambutan Aidilfitri di M’sia ‘panas berbahang’ susulan gelombang haba penghambat ceria
Sambutan Aidilfitri di M’sia ‘panas berbahang’ susulan gelombang haba penghambat ceria
Suhu tinggi berpanjangan beri kesan lebih luas dengan gangguan bekalan air akibat keadaan kering
Sambutan Aidilfitri di M’sia ‘panas berbahang’ susulan gelombang haba penghambat ceria
Ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kegembiraan, cuaca panas melampau yang melanda negara, khususnya di bahagian utara Semenanjung Malaysia seperti Kedah dan Perlis, sedikit sebanyak mengganggu suasana perayaan pada 2026 ini.
Suhu tinggi yang berpanjangan bukan saja menguji keselesaan orang ramai semasa membuat persiapan dan meraikan Aidilfitri, malah turut memberi kesan lebih luas apabila beberapa kawasan berdepan gangguan bekalan air akibat keadaan kering.
Sehingga 26 Mac, beberapa daerah di Kedah termasuk Pokok Sena, Pendang dan Baling; serta Perlis, masih mencatatkan gelombang haba tahap dua dengan suhu mencecah antara 37 dengan 40 darjah Celsius, manakala 18 lagi kawasan berada pada tahap berjaga-jaga (Tahap Satu).
Kemas kini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan beberapa kawasan lain di Kedah; Timur Laut dan Utara Pulau Pinang; Hulu Perak, Selama, Kinta, Kuala Kangsar dan Perak Tengah, di Perak; Pasir Mas, Kelantan; Jerantut, Pahang dan Segamat, Johor merekodkan gelombang haba Tahap 1.
Status Tahap Dua atau gelombang haba diisytiharkan apabila suhu maksimum berada dalam lingkungan 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Selain risiko kesihatan, ratusan kes kebakaran terbuka terutama di kawasan hutan berlaku; tanaman padi dan sayuran rosak akibat cuaca panas ketika ini, memaksa solat sunat untuk memohon hujan dan usaha pembenihan awan dilakukan.
Bahang cuaca panas yang kuat melanda utara Semenanjung kali ini juga menjadikan sambutan Aidilfitri 2026 antara yang paling mencabar bagi sebahagian perantau pulang ke kampung.
‘PANCIT’ KERANA CUACA
Bagi pempengaruh media sosial, Cik Siti Sarah Abdullah, 36 tahun, pengalamannya bersama keluarga pulang beraya ke kampung di Alor Setar, Kedah, kali ini disifatkan sebagai yang ‘paling panas’ pernah dilaluinya.
“Saya tinggal di Bangi, Selangor. Bahang di Kedah memang terasa sangat panas seperti kena weather shock (kejutan cuaca).
“Memang berbeza dengan di Bangi yang kerap hujan pada waktu petang sepanjang Ramadan lalu. Kali ini di Kedah sampai boleh sunburn (selaran matahari),” kongsinya kepada Berita Minggu (BM).
Beliau yang pulang ke kampung bersama suami, Encik Muhammad Takiyuddin Mohd Sabarani, 38 tahun, dan tiga anak berusia antara lima dengan 10 tahun, berkata cuaca panas turut memberi kesan kepada rutin harian sepanjang Aidilfitri.
“Kami masih ziarah, rugi pula Hari Raya hanya duduk di rumah. Cuma lebih banyak minum air kerana kerap haus. Kegiatan di luar pun terhad, termasuk untuk ambil gambar Raya (OOTD), tak boleh lama di luar sebab terlalu panas.
“Tidur malam pun berpeluh-peluh. Di rumah kampung tiada alat hawa dingin, jadi kami terpaksa guna dua kipas untuk kurangkan bahang. Anak-anak pun pakai baju jenis kapas supaya lebih selesa,” katanya lagi.
Tambahnya, perjalanan pulang ke Kedah pada 18 Mac lalu juga menjadi pengalaman memenatkan kerana faktor cuaca panas, selain banyak kereta dilihat tersadai di tepi lebuh raya dipercayai kerana mengalami masalah kepanasan enjin, akibat cuaca panas ketika ini.
“Memang ‘pancit’ sebab panas. Sekarang sudah pulang ke Bangi dan kami rasa macam nak demam,” katanya, yang pulang ke Bangi pada Syawal keempat, pada 24 Mac lalu.
Kongsi Cik Siti Sarah lagi, rumah beberapa saudara maranya di Kedah turut terputus bekalan air kerana cuaca kering.
Malah dalam usaha mencari kelegaan, beliau sekeluarga sanggup ke pusat beli-belah semata-mata untuk menyejukkan badan selepas selesai beraya.
“Lepas habis ziarah, kami pergi ke pusat beli belah sekejap untuk sejukkan badan sebelum balik rumah,” katanya.
Sementara itu, Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Dr Fredolin Tangang, menjangkakan cuaca panas melampau yang melanda Malaysia ketika ini, dijangka berterusan sehingga awal April ini.
Jelas beliau, keadaan cuaca panas di Malaysia ketika ini terutama di bahagian utara Semanjung Malaysia disebabkan oleh fasa perolakan terhalang oleh fenomena Ayunan Maden – Julian (MJO), di seluruh rantau Asia Tenggara, seperti yang diramalkan oleh Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat.
PANCARAN MATAHARI MENINGKAT
Menurut beliau, MJO menyebabkan tekanan atmosfera tinggi, menghalang perolakan berlaku, kurang awan, seterusnya meningkatnya pancaran matahari sampai ke permukaan bumi dan meningkatkan penyerapan haba.
“Ketiadaan hujan juga mengurangkan proses penyejukan melalui proses penyejatan dan ini boleh menyebabkan gelombang haba,” katanya kepada BM.
Profesor Dr Fredolin juga berkata Malaysia turut dipengaruhi oleh fenomena Equinox yang berlaku pada 20 Mac lalu, di mana matahari berada di kedudukan atas garis khatulistiwa.
“Ini meningkatkan intensiti pancaran sinar matahari, dan tanpa awan serta hujan, keadaan ini juga menyumbang kepada cuaca panas dan gelombang haba,” katanya.
Dalam masa sama, Pusat Ramalan Iklim di Amerika meramalkan El Nino akan berlaku antara Julai dengan Ogos, berkembang sehingga penghujung 2026 dan awal 2027.
Profesor Dr Fredolin meramalkan Malaysia bakal mengalami El Nino paling panas dalam sejarah, yang berisiko menyebabkan Malaysia berdepan cuaca kering, kebakaran hutan dan fenomena jerebu pada 2026 ini dan awal 2027.
Mengulas mengapa fenomena El Nino boleh mempengaruhi cuaca di Malaysia dan rantau Asia Tenggara mengambil kira Lautan Pasifik beribu kilometer jauhnya, beliau berkata ia berkaitan dengan corak peredaran atmosfera timur-barat yang dipanggil Peredaran Walker.
“Dalam keadaan normal, Asia Tenggara menerima tiupan angin timuran dari Lautan Pasifik dan angin baratan dari Lautan Hindi, menjadikan rantau ini sebagai kawasan penumpuan kelembapan daripada kedua-dua lautan,” katanya.
Menurut Profesor Dr Fredolin, yang kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam, keadaan itu biasanya membantu pembentukan awan dan hujan yang konsisten di rantau ini.
Bagaimanapun, ketika El Nino berlaku, peningkatan suhu di bahagian timur dan tengah Lautan Pasifik menyebabkan perubahan ketara dalam sistem tersebut.
“Pemanasan ini melemahkan angin timuran yang biasanya membawa kelembapan ke Asia Tenggara,” jelasnya.
Kata Profesor Dr Fredolin, akibatnya, rantau ini berubah menjadi kawasan bertekanan tinggi, menyebabkan kelembapan yang sepatutnya tertumpu di sini bergerak keluar ke bahagian tengah Lautan Pasifik dan barat Lautan Hindi.
“Perubahan ini seterusnya mengurangkan pembentukan awan hujan, sekali gus menyebabkan cuaca menjadi lebih panas dan kering di Malaysia serta negara jiran,” katanya.
Cuaca panas ketika ini juga menyebabkan paras air di banyak empangan dan kawasan tadahan terutama di Kedah dan Perlis, semakin menyusut dan mengering, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai bekalan air dalam tempoh cuaca mencabar ini.
KEMARAU JEJAS BEKALAN AIR
Pakar mutu air dari Universiti Putra Malaysia Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak, berkata Malaysia dijangka masih mampu bertahan menghadapi musim kemarau semasa tanpa gangguan bekalan air yang kritikal secara menyeluruh.
Namun, katanya, beberapa kawasan sudah mula menunjukkan tanda tekanan akibat isu struktur yang sedia ada.
Beliau, yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM, berkata keadaan kemarau ketika ini memburukkan lagi masalah bekalan air yang sebelum ini sudah terkesan, khususnya di kawasan yang mempunyai kekangan sistem penyaluran.
“Secara amnya kita boleh bertahan hingga tamat musim kemarau ini, tetapi terdapat kawasan semakin kritikal seperti di Jengka dan Jerantut, Pahang serta beberapa kawasan di Kedah.
“Di Kedah, masalah bukan hanya di kawasan pedalaman, tetapi berpunca daripada sistem penyaluran air yang tidak cekap,” katanya kepada BM.
Menurut beliau, antara cabaran utama adalah kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi di beberapa negeri, menyebabkan sebahagian besar air terawat tidak sampai kepada pengguna.
“Apabila NRW tinggi, ditambah pula dengan kemarau yang menurunkan paras takungan dan empangan, pam di loji rawatan air terdedah risiko rosak akibat sedimentasi menjadikan jumlah air yang boleh disalurkan kepada pengguna akan semakin berkurangan,” katanya.
Beliau menjelaskan penurunan paras air di empangan juga boleh memaksa operator loji rawatan terpaksa berhati-hati dengan menurunkan tahap operasi, sekali gus menjejas bekalan terutama di kawasan yang sudah berdepan tekanan air, khususnya di utara Semenanjung.
Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan air per kapita di Malaysia disifatkan masih terlalu tinggi, melebihi paras disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Justeru, beliau berkata dalam keadaan kemarau sekarang, adalah penting untuk masyarakat dan pengguna air mengubah tabiat penggunaan air harian dan mengelakkan pembaziran.
“Penggunaan air di Malaysia sekitar 228 liter per kapita sehari, berbanding saranan WHO iaitu kira-kira 160 liter per kapita sehari.
“Jadi dalam keadaan bekalan semakin terhad ini, orang ramai perlu lebih berhemah seperti tidak membiarkan air mengalir berlebihan ketika mengambil wuduk, mencuci muka atau pinggan mangkuk,” katanya.
Mengulas sama ada keadaan semasa adalah yang terburuk, Dr Mohd Yusoff berkata keadaan masih terkawal dengan pelbagai langkah campur tangan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Antaranya, termasuk pembinaan kolam takungan air pinggiran sungai serta pelaksanaan pembenihan awan bagi merangsang hujan.
“Namun, walau sebanyak mana sumber air kita, jika pengguna tidak berhemah, usaha itu akan menjadi sia-sia,” katanya.
“
“Ketiadaan hujan juga mengurangkan proses penyejukan melalui proses penyejatan dan ini boleh menyebabkan gelombang haba. Dalam keadaan normal, Asia Tenggara menerima tiupan angin timuran dari Lautan Pasifik dan angin baratan dari Lautan Hindi, menjadikan rantau ini sebagai kawasan penumpuan kelembapan daripada kedua-dua lautan. Pemanasan ini melemahkan angin timuran yang biasanya membawa kelembapan ke Asia Tenggara.”“
“Secara amnya kita boleh bertahan hingga tamat musim kemarau ini, tetapi terdapat kawasan semakin kritikal seperti di Jengka dan Jerantut, Pahang serta beberapa kawasan di Kedah. “Di Kedah, masalah bukan hanya di kawasan pedalaman, tetapi berpunca daripada sistem penyaluran air yang tidak cekap.”
