SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

M’sia bakal dilanda El Nino paling panas dalam sejarah

M’sia bakal dilanda El Nino paling panas dalam sejarah

Cuaca kering tingkat risiko kemarau, kebakaran hutan, jerebu; hasil padi merosot 30%
Mar 25, 2026 | 3:46 PM

M’sia bakal dilanda El Nino paling panas dalam sejarah

el-nino
Orang ramai termasuk pelancong asing menggunakan payung bagi melindungi diri daripada cuaca panas terik selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim Malaysia menjangkakan tahun 2026 bakal merekodkan suhu dunia paling panas, menyusuli fenomena El Nino dan kesan pemanasan sejagat.

Pakar itu, Profesor Emeritus Dr Fredolin Tangang, berkata fasa El Nino berupaya meningkatkan suhu dunia, dengan 2024 diisytiharkan sebagai tahun terpanas dunia berikutan peningkatan 1.55 darjah Celsius.

Zamil Akademi Sains Malaysia itu berkata suhu pada 2025 sedikit menurun berbanding 2024, menyusuli pengaruh fenomena La Nina (fasa sejuk dalam kitaran iklim global).

Namun katanya, kesan pemanasan dunia yang terus meningkat menjadikan suhu dunia pada 2025 adalah ketiga terpanas setakat ini.

Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat meramalkan El Nino berlaku antara Julai hingga Ogos, berkembang sehingga penghujung tahun 2026 dan awal 2027.

Ia akan menurun pada Mac hingga April sebelum berakhir pada Mei 2027.

“Mengikut ramalan, kebarangkalian El Nino muncul pada musim barat daya ini adalah melebihi 70 peratus dan kebarangkalian ini meningkat sekitar 80 hingga 90 peratus sehingga penghujung 2026,” kata pusat itu, lapor Harian Metro.

El Nino merujuk kepada keadaan pemanasan alam sekitar yang ekstrem dan melebihi purata suhu semasa permukaan laut.

Petunjuk suhu ekstrem ini merujuk kepada peningkatan suhu persekitaran melebihi 37 darjah Celsius dan berupaya meningkat sehingga 40 darjah Celsius dengan kelembapan udara persekitaran rendah serta kering.

Mengulas lanjut, Dr Fredolin berkata tanda El Nino akan berlaku apabila lapisan termoklin di bahagian timur Lautan Pasifik akan melemahkan proses penyejatan air sejuk ke permukaan laut.

“Keadaan itu akan meningkatkan suhu laut, seterusnya memulakan kemunculan tanda El Nino. Hingga kini, tanda itu baru saja bermula di permukaan laut di bahagian timur Lautan Pasifik,” katanya.

Dr Fredolin berkata cuaca kering itu meningkatkan risiko kemarau, kebakaran hutan dan jerebu pada 2026 ini.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Dr Ismail Salleh, berkata kemarau berpanjangan dan cuaca panas melampau bukan sahaja menjejas bekalan air, malah turut memberi kesan langsung kepada hasil padi yang dijangka merosot sehingga 30 peratus.

Keadaan itu berlaku apabila suhu terlalu tinggi sehingga mengganggu proses penting dalam pembentukan hasil padi.

Katanya, suhu ekstrem terutama melebihi 40 darjah Celsius boleh menjejaskan proses pendebungaan sehingga menyebabkan pengisian padi tidak sempurna.

“Kalau suhu sekitar 37 hingga 38 darjah Celsius, padi masih mampu bertahan.

“Tetapi apabila mencecah 40 hingga 41 darjah Celsius, ia mula ganggu pendebungaan isi padi yang tidak akan penuh, sekali gus menghasilkan padi ringan atau padi hampa dan hasil boleh jatuh antara 20 hingga 30 peratus,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Dalam pada itu, tiga daerah di Kedah kini merekodkan gelombang haba Tahap 2, manakala 16 lagi kawasan di seluruh Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 iaitu berjaga-jaga, setakat pagi 25 Mac.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kemas kini status cuaca panas setakat 6 pagi memaklumkan, daerah yang terbabit bagi Tahap 2 di Kedah ialah Pokok Sena, Pendang dan Baling.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula mengarahkan semua institusi pendidikan di bawah KPM menangguhkan aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah Celsius, bagi mengelak kejadian tidak diingini ketika negara dilanda musim panas ketika ini.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg