Topic followed successfully
Go to BHkuKesan cuaca panas di M’sia: 15 masalah kesihatan termasuk 3 kes strok haba, 1 kematian
Kesan cuaca panas di M’sia: 15 masalah kesihatan termasuk 3 kes strok haba, 1 kematian
Menteri Kesihatan: Bayi, kanak-kanak, warga emas, pesakit kronik dan individu aktif di bawah cuaca panas antara golongan berisiko terdedah kepada strok haba
Kesan cuaca panas di M’sia: 15 masalah kesihatan termasuk 3 kes strok haba, 1 kematian
KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas dilaporkan setakat ini bagi 2026, termasuk tiga kes strok haba dan satu kes kematian melibatkan seorang kanak-kanak yang tertinggal dalam kenderaan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya, beliau berkata dalam cuaca panas melampau ketika ini, orang ramai perlu lebih peka, termasuk mengawasi tanda awal strok haba seperti pening berpanjangan, rasa dahaga yang luar biasa dan suhu badan yang semakin meningkat.
“Sekiranya ada tanda-tanda ini, amalkan langkah-langkah pencegahan segera dengan mencari tempat yang teduh, banyakkan minum air kosong, dan sejukkan badan dengan segera,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Dr Dzulkefly turut menggesa orang ramai agar jangan meninggalkan anak-anak atau sesiapa sahaja di dalam kenderaan tanpa pengawasan walaupun untuk seminit.
“Bayi dan kanak-kanak, warga emas, pesakit kronik dan individu aktif di bawah cuaca panas merupakan antara golongan berisiko terdedah dengan strok haba,” katanya.
Terbaharu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan status cuaca panas di Padang Terap, Kedah, berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian antara 37 dengan 40 darjah Celsius.
MetMalaysia, dalam satu kenyataan pada 23 Mac, memaklumkan sebanyak 14 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu (berjaga-jaga) termasuk di seluruh Perlis serta kawasan Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu di Kedah.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Timur Laut (Pulau Pinang), Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak), Jerantut (Pahang) dan Rembau (Negeri Sembilan).
Menurut kenyataan itu, tahap gelombang haba melibatkan suhu maksimum harian yang berada antara 37 dengan 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut; sementara bagi tahap berjaga-jaga pula, suhu maksimum harian antara 35 dengan 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Sementara itu, cuaca panas turut menyumbang kepada peningkatan kebakaran terbuka membabitkan kebun dan ladang, hutan serta belukar dan lalang.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, berkata berdasarkan trend semasa, hampir 40 hingga 60 peratus panggilan kecemasan ketika musim panas membabitkan kebakaran terbuka.
“JBPM merekodkan 32,810 kes kebakaran hutan, ladang dan belukar sejak 2024 sehingga Februari 2026.
“Mengikut pecahan keseluruhan kategori jenis kebakaran pula, kebun dan ladang mencatatkan 2,150 kes, 3,860 kes di hutan serta 26,800 kes di belukar dan lalang,” katanya.
Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan itu, 2024 merekodkan angka tertinggi dengan 16,294 kes, diikuti 2025 sebanyak 9,941 kes, manakala dua bulan pertama tahun ini (2026) mencatatkan 6,575 kes.
Mengulas lanjut, beliau berkata JBPM mengenal pasti kawasan berisiko tinggi seperti tanah gambut dan hutan simpan di Selangor, Perak dan Johor, bagi tujuan kesiapsiagaan dan menasihatkan semua pihak termasuk pekebun dan masyarakat agar mengelak kegiatan pembakaran terbuka.
“Api di bawah tanah gambut sukar dikesan dan boleh marak selama berminggu-minggu jika tidak dikawal awal.
“JBPM kini menggunakan dron secara meluas untuk pemantauan udara bagi mengesan titik panas sebelum api merebak luas,” tambahnya.

