Topik diikuti
Pergi ke BHkuRemaja sanggup ketepikan hasrat sambung belajar demi keluarga
Remaja sanggup ketepikan hasrat sambung belajar demi keluarga
Keadaan jadi lebih sukar apabila nenek diserang strok sehingga perlu penjagaan sepenuh masa di rumah
Remaja sanggup ketepikan hasrat sambung belajar demi keluarga
JOHOR: Dalam usia ketika ramai remaja lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) sedang sibuk merancang masa depan, seorang budak perempuan dari Segamat, Johor, memilih jalan yang berbeza.
Bukan kerana dia tidak mempunyai impian, tetapi kerana keluarga lebih memerlukan dirinya ketika ini.
Kisah pengorbanan Amirah yang sanggup mengetepikan hasrat menyambung pelajaran demi membantu keluarga dan menjaga neneknya yang terlantar akibat strok telah menyentuh hati ramai, termasuk Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Encik R. Yuneswaran.
Menurut perkongsian Encik Yuneswaran menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, kehidupan keluarga Amirah bukanlah mudah.
Ibu Amirah, Kak Zah, sudah lama hidup tanpa suami di sisi dan terpaksa menanggung keluarga sendirian selepas ditinggalkan.
Keadaan menjadi lebih sukar apabila nenek Amirah pula diserang strok sehingga memerlukan penjagaan sepenuh masa di rumah.
Disebabkan itu, Kak Zah terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ibunya yang kini terlantar sakit.
Beban keluarga akhirnya dipikul oleh anak sulungnya, yang bekerja di sebuah kedai kain dengan pendapatan cukup-cukup makan untuk menampung sewa rumah, makan minum dan perbelanjaan harian keluarga.
Walaupun mempunyai peluang untuk menyambung pengajian seperti rakan-rakan lain, Amirah memilih untuk bekerja demi membantu ibunya dan menjaga nenek tersayang.
“Saya nak jaga nenek. Beliau mungkin dah tak lama, jadi saya tak nak menyesal. Pelajaran boleh tunggu.”
Difahamkan, ketika kecil dahulu, neneknya merupakan insan yang banyak menjaga dan membesarkannya.
Kini apabila wanita itu terlantar akibat strok, Amirah pula mahu berada di sisi sebagai tanda membalas jasa.
Tersentuh melihat kesungguhan gadis itu, Encik Yuneswaran mengambil inisiatif membantu Amirah mendapatkan lesen motosikal B2, selain membawanya menghadiri beberapa sesi temu duga pekerjaan di sekitar Segamat.
Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila Amirah berjaya memperoleh pekerjaan dengan gaji hampir RM2,000 ($647.60) sebulan.
Menurut beliau, Amirah menunjukkan kesungguhan luar biasa sepanjang proses mencari pekerjaan walaupun sedang berdepan tekanan hidup yang besar.
Bagaimanapun, Encik Yuneswaran merasakan bantuan tersebut masih belum mencukupi, kerana Amirah memerlukan pengangkutan sendiri untuk pergi bekerja dan membantu keluarganya.
Beliau kemudian membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah motosikal baharu berwarna kuning kepada remaja itu.
Ketika dibawa ke lokasi berkenaan, Amirah pada mulanya tidak mengetahui tujuan sebenar mereka ke situ.
Namun sebaik sahaja melihat motosikal yang dihias dengan riben, dia tergamam sebelum menangis kerana terlalu terharu.
“Kenapa buat semua ni YB? Macam mana saya nak bayar balik?”
Menurut Encik Yuneswaran, beliau memaklumkan bahawa hadiah tersebut diberikan secara ikhlas dan Amirah tidak perlu membayarnya semula.
Dalam perkongsiannya, Encik Yuneswaran berkata beliau menganggap masyarakat di Segamat seperti keluarganya sendiri, dan akan terus membantu tanpa mengira bangsa atau agama.
Katanya, semangat perpaduan bukan sekadar slogan tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan dan keprihatinan terhadap masyarakat yang memerlukan bantuan.
Kisah Amirah ini menyentuh hati ramai netizen yang memuji sikapnya yang sanggup berkorban demi keluarga pada usia muda. – Agensi berita.
