KUALA LUMPUR: Di saat ramai memilih berehat di usia emas, seorang warga emas berusia 71 tahun masih gagah meredah panas dan hujan demi mencari rezeki buat keluarga tercinta

Itulah kisah menyentuh hati Encik Zakaria Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai ‘Atok Grab’, yang tular di media sosial kerana masih aktif sebagai penghantar makanan walaupun sudah bergelar warga emas.

Bagi Encik Zakaria, pekerjaan bukan soal malu atau usia, sebaliknya tanggungjawab terhadap keluarga menjadi sebab utama beliau terus bertahan di jalanan.

“Malu jangan fikir, kerja yang baik kita buat sahaja,” katanya.

Menurut laporan Harian Metro, Encik Zakaria mula menyertai platform Grab pada 2021 ketika pandemik Covid-19 melanda.

Sejak itu, rutin hariannya tidak pernah berubah, mengambil tempahan makanan dan menghantarnya kepada pelanggan demi memastikan keluarga terus terbela.

Menurutnya, kerja sebagai penghantar makanan lebih mudah dan fleksibel untuk dilakukan.

Namun di sebalik senyumannya, tersimpan ujian berat yang dipikul seorang ayah.

Anak sulungnya yang berusia 39 tahun diserang strok kira-kira sembilan bulan lalu, pada Ogos 2025, dan kini tidak lagi mampu bekerja seperti dahulu.

Sebelum jatuh sakit, anaknya merupakan pemandu e-panggilan Grab dan banyak membantu keluarga mencari pendapatan.

“Sekarang saya hilang tulang belakang,” luahnya.

Disebabkan itu, Encik Zakaria terpaksa menggandakan usaha mencari wang tambahan termasuk untuk kos rawatan anaknya agar dapat kembali sihat seperti sediakala.

Walaupun pernah terlibat dalam kemalangan dengan lori 10 tayar sehingga motosikalnya rosak teruk, semangat Atok Grab tidak pernah luntur.

Beliau tetap kembali ke jalan raya menggunakan motosikal lama demi meneruskan kehidupan.

Menurut Encik Zakaria, jika cuaca baik dan tempahan banyak, beliau mampu memperoleh lebih RM100 ($32.70) sehari termasuk tip pelanggan.

Namun faktor usia menyebabkan dirinya tidak lagi sekuat dahulu untuk bekerja dari pagi hingga malam.

Apa yang lebih menyentuh hati, Encik Zakaria mengakui beliau tidak tahu sampai bila mampu bekerja.

“Bila-bila masa saya akan dijemput Allah.

“Saya cuma berharap anak sulung saya sembuh dan boleh cari rezeki semula,” katanya.

Dalam masa sama, Encik Zakaria turut menitipkan pesanan kepada golongan muda supaya tidak terlalu memilih pekerjaan.

Baginya, selagi kerja itu halal dan mampu dilakukan, tiada sebab untuk malu. – Agensi berita.