Topic followed successfully
Go to BHkuProgram sambutan Raya bagi rakyat Johor bertujuan perkukuh perpaduan
Program sambutan Raya bagi rakyat Johor bertujuan perkukuh perpaduan
Program sambutan Raya bagi rakyat Johor bertujuan perkukuh perpaduan
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menyelaras pelaksanaan Majlis Raya Sekampung Bangsa Johor di seluruh negeri membabitkan 384 zon Ahli Majlis di bawah 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dalam usaha memperkukuh perpaduan dan kebersamaan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata penyelarasan itu dilakukan menerusi mesyuarat bersama Yang Dipertua (YDP), Setiausaha PBT, Ketua Whip serta Ahli Majlis bagi memastikan program dilaksanakan secara tersusun dan berimpak.
“Hari ini saya mengadakan mesyuarat bersama 16 PBT bagi menyelaras pelaksanaan Majlis Raya Sekampung Bangsa Johor di seluruh zon Ahli Majlis di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 31 Mac.
Menurut beliau, setiap Ahli Majlis memainkan peranan penting dalam memastikan program tersebut benar-benar menyentuh kehidupan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Penyelarasan ini penting supaya setiap Ahli Majlis memainkan peranan secara aktif di kawasan masing-masing agar program ini dapat dilaksanakan secara tersusun dan memberi impak kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan program itu turut melibatkan kerjasama erat antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Majlis, Ketua Kampung serta kepimpinan setempat.
“Kita mahu setiap lokasi menjadi pusat pertemuan rakyat dalam suasana Aidilfitri yang penuh makna,” katanya.
Datuk Mohd Jafni menegaskan program tersebut bukan sekadar sambutan tahunan, sebaliknya satu gerakan menyatukan rakyat Johor merentasi pelbagai lapisan masyarakat.
“Kita tidak mahu program ini sekadar acara tahunan, tetapi menjadi satu gerakan menyatukan masyarakat dari bandar hingga ke luar bandar, daripada golongan muda hingga warga emas,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu selari dengan pendekatan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang menekankan kepimpinan kerajaan yang dekat dengan rakyat.
“Program ini menjadi medan terbaik untuk kita turun padang, mendengar sendiri suara rakyat dan memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan masyarakat,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata satu lagi mesyuarat turut diadakan bersama kepimpinan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) bagi memastikan pelaksanaan program dapat diselaras dengan lebih menyeluruh.
“Selepas mesyuarat bersama Menteri Besar, saya mempengerusikan mesyuarat bersama PKPJ bagi memastikan pelaksanaan program ini dapat digerakkan secara tersusun dan benar-benar sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Menurut beliau, program itu bukan sekadar sambutan Aidilfitri biasa, sebaliknya usaha menghidupkan semula budaya kebersamaan dalam komuniti.
“Inisiatif ini bertujuan mengeratkan silaturahim serta memperkukuh identiti Bangsa Johor di setiap kampung dan kawasan perumahan,” katanya.
Datuk Mohd Jafni berkata peranan PKPJ amat penting dalam menjayakan program tersebut, khususnya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK).
“Pelaksanaan program ini melibatkan 22 kawasan PPR dan RSK di seluruh Johor, membabitkan kira-kira 15,000 keluarga agar tiada golongan yang tercicir,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dalam memastikan kelancaran pelaksanaan di peringkat PBT.
“Bahagian Kerajaan Tempatan memainkan peranan penting bagi memastikan setiap pelaksanaan oleh Ahli Majlis berjalan lancar dan selaras dengan garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata fokus utama program adalah untuk memberi impak sebenar kepada masyarakat setempat.
“Kita mahu setiap program yang dilaksanakan benar-benar menghidupkan masyarakat, merapatkan hubungan antara rakyat dan kepimpinan serta menyemai semangat perpaduan yang kukuh,” katanya lagi.

