SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

4,500 kunjungi Hutan Bandar MBJB pada hari pertama pembukaan semula

4,500 kunjungi Hutan Bandar MBJB pada hari pertama pembukaan semula

Sambutan luar jangka bukti kemudahan riadah awam terus dapat tempat di hati penduduk Johor
Mar 24, 2026 | 1:21 PM

4,500 kunjungi Hutan Bandar MBJB pada hari pertama pembukaan semula

Hutan Bandar MBJB, ruang riadah awam, pelancongan Johor
Laman Air Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menarik 1,200 pengunjung yang teruja menikmati kemudahan permainan air di situ. - Foto FACEBOOK MBJB

Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menarik ribuan pengunjung apabila kira-kira 4,500 orang hadir pada hari pertama pembukaan semula, termasuk Laman Air di situ, pada 23 Mac.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, mendedahkan, 1,200 daripadanya teruja menikmati kemudahan permainan air yang baru dibuka.

Menurutnya, sambutan itu membuktikan betapa pentingnya ruang riadah awam kepada masyarakat, terutama bagi keluarga yang mempunyai anak kecil.

“Gelak tawa riang kanak-kanak yang bermain air melambangkan kemudahan sebegini amat bermakna buat jiwa masyarakat,” ujarnya dalam satu kenyataan pada 23 Mac.

Bagi menjamin kelancaran, seramai 36 petugas dikerahkan, merangkumi pasukan penguat kuasa, renjer taman, penyelamat kolam, pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan.

Menurut beliau, kehadiran petugas penting demi memastikan kawasan sentiasa selamat, tersusun dan bersih.

Datuk Mohd Jafni menekankan, pembangunan dan naik taraf kemudahan Hutan Bandar MBJB adalah usaha berterusan kerajaan negeri untuk melahirkan bandar yang bukan sahaja maju, bahkan mesra rakyat dan bermutu untuk didiami.

“Hutan Bandar MBJB bukan sekadar tempat beriadah, ia adalah ruang penting untuk keluarga berkumpul, mengukuhkan ikatan dan membina masyarakat yang lebih sihat,” katanya.

Beliau menambah, kawasan hijau itu berfungsi sebagai ‘paru-paru bandar’, menyumbang kepada keseimbangan antara pembangunan fizikal dengan kesejahteraan sosial.

Dengan pelbagai pilihan seperti kolam renang, kawasan permainan air dan kegiatan lasak seperti terbang kelawar atau ‘flying fox’, Hutan Bandar MBJB menawarkan pengalaman unik untuk semua peringkat usia.

Cadangan menaik taraf tapak perkhemahan turut dipertimbangkan bagi memperluas fungsi kawasan itu sebagai pusat kegiatan luar dan program kemasyarakatan.

Di samping itu, Datuk Mohd Jafni menggariskan iltizam kerajaan negeri untuk terus memperkasa ruang awam agar rakyat dapat menikmati kehidupan bandar yang seimbang, sihat dan selesa.

“Semoga kemudahan ini terus dipelihara agar Hutan Bandar MBJB kekal menjadi permata rekreasi terbaik untuk Bangsa Johor,” tutupnya.

“Hutan Bandar MBJB bukan sekadar tempat beriadah, ia adalah ruang penting untuk keluarga berkumpul, mengukuhkan ikatan dan membina masyarakat yang lebih sihat.”
Datuk Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg