SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kerajaan Johor jaya pulihkan 25 projek perumahan terbengkalai

Kerajaan Johor jaya pulihkan 25 projek perumahan terbengkalai

Mar 30, 2026 | 2:43 PM

Kerajaan Johor jaya pulihkan 25 projek perumahan terbengkalai

perumahan johor
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor telah berjaya menyelesaikan 25 projek perumahan ‘sakit’ dan terbengkalai melibatkan 4,253 unit rumah dengan nilai pembangunan mencecah RM1.09 bilion ($353.2 juta)

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata kejayaan itu memberi kelegaan kepada pembeli yang sebelum ini terpaksa menanggung beban kewangan akibat projek yang tertangguh.

“Ramai pembeli terpaksa menanggung dua beban iaitu bayaran sewa dan bayaran pinjaman dalam satu masa. Ini sangat membebankan dan kita ambil tanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 29 Mac.

Menurutnya, dalam tempoh empat tahun sejak 2022, kerajaan negeri turut meluluskan sebanyak 42,694 unit rumah mampu milik bagi memastikan lebih ramai rakyat Johor memiliki kediaman sendiri.

“Kita tidak mahu rakyat Johor sekadar menyewa di negeri sendiri. Matlamat kita adalah memastikan mereka mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan selepas kerajaan negeri mendengar sendiri keluhan rakyat mengenai harga rumah yang tinggi dan kesukaran memiliki kediaman.

“Kita turun padang, dengar suara rakyat dan teliti setiap isu secara menyeluruh. Dari situ kita laksanakan pendekatan yang lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

Datuk Mohd Jafni berkata penubuhan Jawatankuasa Perancangan, Reka Bentuk dan Semakan (PDRC) menjadi antara langkah utama dalam mempercepatkan proses kelulusan projek perumahan.

“Dulu kelulusan boleh ambil masa bertahun-tahun, tetapi kini kita berjaya mempercepatkan kepada hanya tiga hingga enam bulan,” katanya.

Sejak pelaksanaannya, sebanyak 34 mesyuarat telah diadakan melibatkan 10 daerah dan 146 pemaju, merangkumi 181 projek perumahan di seluruh Johor.

Beliau berkata sehingga suku keempat 2025, lebih 20,212 unit rumah mampu milik telah siap dan diduduki, dengan harga antara RM42,000 dengan RM300,000.

“Sasaran kita adalah untuk mencapai 100,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata pelbagai bantuan turut disediakan melalui inisiatif Kasih Johor termasuk bantuan pembelian rumah pertama sebanyak RM5,000, bantuan kemasukan rumah RM2,000 serta bantuan sewa RM2,000.

“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 penerima dengan peruntukan melebihi RM100 juta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Mohd Jafni, memaklumkan bahawa lebih 20,000 pengunjung direkodkan mengunjungi Zoo Malam Johor dalam tempoh tiga hari pertama pembukaannya pada 27 Mac, sekali gus mencerminkan sambutan luar biasa daripada rakyat dan pelancong terhadap tarikan baru itu.

“Sepanjang tiga hari operasi, jumlah keseluruhan pengunjung mencecah 20,842 orang, iaitu 7,330 orang pada hari pertama, 8,115 orang pada hari kedua dan 5,397 orang pada hari ketiga,” katanya.

Menurutnya, angka tersebut bukan sekadar jumlah kehadiran, sebaliknya mencerminkan keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan riadah yang selamat, bermutu dan mesra keluarga.

“Ini menunjukkan rakyat dan pelancong menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam memperkenalkan produk pelancongan baru.

“Usaha ini bukan sahaja untuk menarik pelancong, bahkan juga memberi ruang riadah yang lebih baik kepada bangsa Johor serta meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg