Topic followed successfully
Go to BHkuPetronas nafi terlibat rancangan Filipina mahu beli minyak M’sia berikutan konflik Asia Barat
Petronas nafi terlibat rancangan Filipina mahu beli minyak M’sia berikutan konflik Asia Barat
Media Filipina pada 25 Mac laporkan rancangan beli sehingga 44 juta liter minyak mentah dan petrol
Petronas nafi terlibat rancangan Filipina mahu beli minyak M’sia berikutan konflik Asia Barat
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah menafikan sebarang kaitan dengan cadangan pembekalan bahan api kepada Filipina, menyusul laporan mengenai rancangan pemerintah wilayah di negara itu untuk mendapatkan bekalan dari Malaysia.
Dalam kenyataan pada 29 Mac, Petronas menegaskan ia tiada pengetahuan atau penglibatan dalam sebarang urusan berkaitan, serta tidak memeterai apa-apa perjanjian atau komitmen berhubung cadangan tersebut.
“Petronas ingin menjelaskan, ia tidak mempunyai pengetahuan atau penglibatan dalam sebarang urusan sedemikian, dan ia tidak memeterai apa-apa perjanjian atau komitmen yang berkaitan,” ujar kenyataan firma minyak dan gas Malaysia itu.
Petronas menekankan bahawa fokusnya kekal untuk menjamin bekalan bahan api yang stabil dan berterusan buat Malaysia.
“Aspek itu kekal keutamaan, disokong oleh rangkaian bekalan yang kukuh dan kerjasama erat dengan kerajaan,” katanya, lapor portal berita, Malaysiakini.
Pemerintah wilayah Davao del Norte di Mindanao, Filipina, pada 25 Mac lalu dilaporkan merancang membeli sehingga 44 juta liter minyak mentah dan petrol dari Malaysia bagi menangani kenaikan harga bahan api ekoran konflik berterusan di Asia Barat.
Gabenor wilayah itu, Encik Edwin Jubahib, dipetik Agensi Berita Filipina (PNA) berkata, meskipun kos pembelian belum dimuktamadkan, beliau yakin kerajaan Malaysia akan menyediakan bekalan tersebut.
“Saya telah berhubung dengan daerah Johol di Negeri Sembilan, Malaysia, dan berkongsi masalah kami. Memandangkan mereka mempunyai rizab besar minyak mentah dan petrol, mereka memberi maklum balas positif dan berkata kami boleh membeli sebahagiannya,” kata Encik Jubahib.
Encik Jubahib dilaporkan berkata bekalan minyak itu akan diperoleh daripada syarikat petroleum nasional Malaysia.
“Pegawai perhubungan pemerintah Johol kini berada di ibu pejabat wilayah, dan kami akan bertemu hari ini (25 Mac lalu) untuk membincangkan kos serta penghantaran,” tambahnya.
Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, pada 25 Mac lalu telah mengisytiharkan darurat ke atas tenaga negara itu sebagai langkah berjaga-jaga terhadap gangguan bekalan dan lonjakan harga minyak dunia yang meruncing menyusuli konflik berterusan di Asia Barat.
“Pengisytiharan darurat tenaga ini akan membolehkan pemerintah melaksanakan langkah responsif dan terselaras di bawah undang-undang sedia ada bagi menangani risiko gangguan bekalan tenaga global serta kesannya terhadap ekonomi domestik,” katanya.
Di Filipina, lebih 400 stesen minyak terpaksa menghentikan operasi akibat peningkatan mendadak harga bahan api.
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Malaysia mengesahkan tiada isu kekurangan bekalan petrol, diesel, dan gas petroleum cecair (LPG) dalam negara itu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, menyatakan bukan sahaja bekalan semasa mencukupi, malah keadaan di Malaysia jauh lebih stabil berbanding beberapa negara lain, termasuk di rantau ini.
Pada 24 Mac, Jepun turut dilaporkan telah mula mengeluarkan minyak daripada rizab negara itu sebagai tindak balas kepada kebimbangan terhadap bekalan dan kenaikan harga minyak yang melambung tinggi, menurut Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi.

