Topic followed successfully
Go to BHkuKonflik Timur Tengah: Penjawat awam M’sia boleh kerja dari rumah secara berperingkat
Konflik Timur Tengah: Penjawat awam M’sia boleh kerja dari rumah secara berperingkat
Sektor swasta digalak laksanakan pendekatan sama; langkah sebagai usaha tangani kenaikan harga bahan api
Konflik Timur Tengah: Penjawat awam M’sia boleh kerja dari rumah secara berperingkat
Malaysia akan melaksanakan aturan kerja yang lebih fleksibel, termasuk pilihan bekerja daripada rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam, sebagai langkah menangani tekanan bahan api yang tercetus akibat konflik Amerika Syarikat-Iran ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam, di samping menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa ketika harga bahan api termasuk petrol semakin melonjak akibat ketegangan di Asia Barat.
Menurut beliau pilihan BDR bagi penjawat awam akan dilaksanakan secara berperingkat dan terpilih.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas pada 26 Mac, berhubung langkah strategik Malaysia dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga dunia, menyusuli konflik di Asia Barat ketika ini.
Datuk Anwar berkata pihaknya juga menggalakkan sektor swasta untuk melaksanakan pendekatan sama.
“Selain sektor awam, kita juga menggesa sektor swasta untuk melaksanakan perkara sama sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh beberapa syarikat dan bank selama ini.
“Bagi pihak kerajaan kita akan terus menjaga disiplin mengelak keborosan, ketirisan dan menjaga supaya momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia terus luar biasa,” katanya.
Sementara itu Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan pada 27 Mac, menyusuli saranan Datuk Anwar itu, berkata pekerja sektor swasta boleh memohon Aturan Kerja Fleksibel (AKF) meliputi aspek waktu bekerja, hari bekerja serta BDR, sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 60P dan 60Q Akta Kerja 1955 (Akta 265).
Kementerian itu berkata mereka boleh membuat permohonan bekerja secara fleksibel itu kepada majikan masing-masing.
Kementerian itu berkata dalam keadaan peningkatan kos tenaga akibat konflik di Asia Barat dan kebergantungan pada pergerakan harian pekerja, pelaksanaan AKF dilihat memberi manfaat menyeluruh kepada majikan serta pekerja.
“Pelaksanaan AKF dilihat sebagai satu pendekatan strategik yang mampu membantu organisasi menyesuaikan operasi secara lebih cekap tanpa menjejaskan produktiviti.
“Bagi menjamin kebajikan pekerja, majikan yang melaksanakan AKF tidak boleh mengurangkan faedah yang telah diperuntukkan di bawah Akta 265.
“Ini termasuk bayaran kerja lebih masa, bayaran kerja pada hari rehat, bayaran kerja pada cuti am dan pemberian cuti rehat, cuti tahunan, hari kelepasan am serta cuti sakit,” kata kementerian itu.
Selain aturan kerja fleksibel untuk penjawat awam, kerajaan Malaysia juga mengambil langkah mengurangkan kuota subsidi petrol RON95 untuk warganya, daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan, bagi mengurangkan tekanan subsidi kerajaan akibat lonjakan harga bahan api itu.
Dalam satu kenyataan, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman, menyokong sepenuhnya usaha rasionalisasi bahan api itu, yang dilihat sebagai bukan cabaran yang perlu ditanggung kerajaan sahaja, tetapi juga secara bersama oleh setiap lapisan masyarakat.
Mengenai saranan BDR pula, Setiausaha Agung Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Encik Mohd Effendy Abdul Ghani, melihat ia mampu memberi manfaat signifikan kepada pekerja dan majikan, khususnya dalam mengurangkan kos sara hidup harian seperti petrol dan tol.
Bagaimanapun beliau berkata banyak pertimbangan perlu dititikberatkan bagi memastikan BDR dilaksanakan secara berkesan.
Katanya, ia termasuk garis panduan jelas dan komprehensif bagi memastikan tiada elemen ketidakadilan terhadap pekerja, penetapan waktu kerja yang jelas, perlindungan terhadap hak pekerja dan memastikan pekerja dibekalkan dengan peralatan yang sesuai dan mencukupi.

