Topic followed successfully
Go to BHkuPenjawat awam M’sia kerja dari rumah mulai 15 Apr
Penjawat awam M’sia kerja dari rumah mulai 15 Apr
Keputusan dicapai Mesyuarat Jemaah Menteri sebagai usaha kurangkan penggunaan bahan api susulan konflik di Asia Barat yang kian meruncing
Penjawat awam M’sia kerja dari rumah mulai 15 Apr
Penjawat awam Malaysia akan bekerja dari rumah (BDR) bermula 15 April ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 April, sebagai usaha mengurangkan penggunaan bahan api serta memastikan kemampanan bekalan tenaga negara menyusuli konflik di Asia Barat yang kian meruncing.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pelaksanaan dasar BDR itu membabitkan kementerian, agensi serta badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan.
“Perincian lanjut pelaksanaan dasar ini akan diumumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat,” katanya dalam taklimat khas pada malam 1 April.
Pada 27 Mac lalu, Berita Harian (BH) melaporkan Malaysia akan melaksanakan aturan kerja yang lebih fleksibel, termasuk pilihan BDR dalam kalangan penjawat awam, sebagai langkah menangani tekanan bahan api yang tercetus akibat perang Amerika Syarikat-Israel dan Iran ketika ini.
Menurut beliau pilihan BDR bagi penjawat awam akan dilaksanakan secara berperingkat dan terpilih.
Datuk Anwar turut menggalakkan sektor swasta agar melaksanakan pendekatan BDR, sebagaimana yang telah dilakukan beberapa syarikat dan bank sebelum ini.
Dalam taklimat sama, Datuk Anwar menegaskan bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai tindakan segera untuk menampan kesan krisis tenaga sejagat, menerusi daya usaha sokongan rakyat.
Beliau berkata kerajaan membelanjakan tambahan RM4 bilion ($1.27 bilion) sebulan untuk menyerap kesan kenaikan harga minyak, bagi memastikan rakyat terus dilindungi daripada lonjakan harga minyak dunia ketika ini yang telah mencapai paras AS$100 ($129) setong.
“Jadi ini bukan perkara kecil. Tetapi tentunya keupayaan itu terbatas dan lihatkan pengalaman negara lain. Jadi kalau ada cadangan lain baik dalam kalangan peniaga, nelayan (dan) pekerja sila kemukakan.
“Saya sendiri akan memanggil, sama ada kontraktor kecil ataupun wakil nelayan, petani untuk mendengar keluhan mereka dan cuba menampung serta membantu sekadar yang kita mampu,” ujarnya.
Datuk Anwar juga tidak menolak kemungkinan fasa pemulihan akibat tempias konflik di Asia Barat akan mengambil masa panjang.
“Daripada perbualan saya dengan Presiden Iran, serta pimpinan negara seperti Arab Saudi, Turkey, Mesir dan Indonesia, semua menyatakan keadaan akan lebih parah sebelum dapat dipulihkan, dan tentunya (pemulihan) akan mengambil masa yang jauh lebih panjang,” katanya.
Berikutan itu Datuk Anwar berkata ia akan memberi kesan besar kepada rantaian bekalan sejagat dan Malaysia, termasuk sektor tenaga yang menjadi nadi kepada kestabilan ekonomi dunia.
“Namun begitu, Malaysia masih berada dalam kedudukan yang relatif stabil untuk menghadapi cabaran itu berbanding beberapa negara lain yang telah mengambil langkah drastik seperti mencatu bekalan atau menaikkan harga bahan api.
“Kita bersyukur kerana memasuki fasa ini dalam keadaan ekonomi yang lebih stabil dan masih mampu mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter, walaupun kos sebenar jauh lebih tinggi,” katanya.

