Topic followed successfully
Go to BHkuKonflik AS-Israel-Iran cetus risiko kemiskinan baharu di negara Arab
Konflik AS-Israel-Iran cetus risiko kemiskinan baharu di negara Arab
Konflik AS-Israel-Iran cetus risiko kemiskinan baharu di negara Arab
NEW YORK: Konflik selama sebulan antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran berpotensi menjerumuskan hampir empat juta penduduk di dunia Arab ke dalam kemiskinan, selain menyebabkan kemerosotan ketara terhadap ekonomi rantau tersebut.
Menurut laporan terbaharu Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) konflik itu dijangka mengurangkan sehingga enam peratus daripada keseluruhan keluaran ekonomi rantau Arab dalam tempoh singkat.
Laporan tersebut, yang diterbitkan pada 31 Mac menggunakan simulasi ekonomi bagi mengunjurkan kesan konflik berterusan dan memberi amaran mengenai “kesan sosioekonomi yang mendalam dan meluas” di seluruh rantau itu.
Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Encik Abdallah Al Dardari, berkata unjuran itu hanya berdasarkan tempoh empat minggu peperangan, walaupun konflik semasa telah melepasi tempoh tersebut.
“Setiap minggu yang berlalu menambah kemusnahan. Kelemahan struktur ekonomi semakin mendalam dan ini akan menjadikan pemulihan lebih sukar serta lebih mahal,” katanya.
Menurut laporan itu, konflik selama sebulan boleh menyebabkan kerugian ekonomi sehingga AS$194 bilion ($249 bilion), satu angka yang disifatkan sebagai “tidak pernah berlaku sebelum ini”.
Anggaran lain menunjukkan kerugian sekurang-kurangnya AS$120 bilion, mencerminkan ketidaktentuan yang tinggi dalam keadaan perang berintensiti tinggi.
Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) rantau Arab pula dijangka menguncup antara 3.7 hingga 6 peratus dalam tempoh sama.
Selain itu, sekitar 3.7 juta peluang pekerjaan berisiko hilang, manakala hampir empat juta individu dijangka jatuh ke dalam kancah kemiskinan.
Negara di Asia Barat dilihat paling terdedah kepada kesan konflik ini, khususnya negara yang sudah pun menghadapi tekanan ekonomi.
Gaza dan Lebanon masih bergelut dengan keperluan pembinaan semula selepas serangan ketenteraan sebelum ini, manakala Syria memerlukan pelaburan besar selepas lebih sedekad konflik.
Dalam masa yang sama, negara seperti Iraq, Jordan dan Mesir berdepan risiko krisis ekonomi yang lebih serius.
Mesir, sebagai negara Arab paling ramai penduduk, kini tertekan dengan kenaikan harga bahan api serta beban hutang yang tinggi, selain bergantung kepada pelaburan dari negara Teluk.
Namun, laporan tersebut memberi amaran bahawa negara Teluk yang lazimnya menyokong usaha pembinaan semula mungkin tidak lagi mempunyai lebihan kewangan mencukupi.
“Tiada lebihan pendapatan mencukupi di negara Teluk untuk membiayai pemulihan negara lain. Ini adalah cabaran struktur yang belum pernah kita hadapi sebelum ini,” kata Encik Al Dardari.
Situasi ini menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan rantau itu untuk pulih selepas konflik berakhir.
Konflik turut menyaksikan serangan terhadap infrastruktur tenaga di rantau Teluk, termasuk gangguan terhadap eksport minyak dan gas melalui Selat Hormuz.
Kesan langsungnya ialah lonjakan harga minyak mentah Brent sebanyak 4.7 peratus, melepasi AS$118 setong.
Ketidaktentuan terhadap laluan maritim strategik itu turut memberi kesan kepada inflasi global, aliran perdagangan dan rantaian bekalan antarabangsa.
Lebanon muncul antara negara paling teruk terjejas selepas terheret ke dalam konflik susulan tindakan Hezbollah melancarkan serangan ke atas Israel.
Serangan udara berterusan serta arahan pemindahan telah menyebabkan kemusnahan meluas terhadap kawasan perumahan, infrastruktur dan kemudahan awam, selain perpindahan besar-besaran penduduk.
Laporan turut menyatakan bahawa peningkatan kemiskinan dijangka tertumpu di rantau Levant serta negara rapuh seperti Sudan dan Yaman, yang sememangnya berada dalam keadaan terdedah.
UNDP menegaskan bahawa unjuran semasa hanya mencerminkan kesan konflik jangka pendek.
Namun, jika peperangan berlanjutan, kesan ekonomi dijangka meningkat secara mendadak, sekali gus memperburuk keadaan sosial dan ekonomi di rantau tersebut. – Agensi berita.

