SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Video pemilik kenderaan isi minyak RON95 berlebihan tular: Penguasa Johor siasat

Video pemilik kenderaan isi minyak RON95 berlebihan tular: Penguasa Johor siasat

Mar 24, 2026 | 1:33 PM

Video pemilik kenderaan isi minyak RON95 berlebihan tular: Penguasa Johor siasat

RON95, subsidi petrol, KPDN Johor
Tangkap layar video yang merakam pemilik sebuah kenderaan mengisi petrol RON95 dalam tong plastik dalam jumlah yang banyak telah menjadi tular. - Foto FACEBOOK KOMUNITI JOHOR

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor akan mengesan dan memanggil pemilik kenderaan yang mengisi petrol RON95 secara berlebihan dalam tong plastik untuk siasatan lanjut.

Pengarahnya, Cik Lilis Saslinda Pornomo, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan, dengan memeriksa stesen minyak terlibat di sekitar Skudai.

“Kami sedar tentang hantaran tular di media sosial berkenaan sebuah kenderaan yang disyaki mengisi petrol RON95 dalam jumlah yang banyak menggunakan tong plastik.

“KPDN Johor akan menyusul dengan mengesan serta memanggil pemilik kenderaan tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media pada 24 Mac.

Beliau menjelaskan, pemeriksaan mendapati kejadian itu berlaku pada 21 Mac, melibatkan dua urus niaga – iaitu satu pengisian ke dalam tangki kenderaan dan satu lagi ke dalam tong plastik di dalam but.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah dibuat, serta penelitian terhadap rekod transaksi dan resit pembelian untuk pengesahan,” lapor Harian Metro.

“Semakan awal mendapati wujud dua transaksi pengisian petrol RON95: Satu ke dalam tangki kenderaan, dan satu lagi diisi ke dalam tong plastik di bahagian but kenderaan, melebihi had yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia.

“Dalam pemeriksaan itu, pasukan penguat kuasa KPDN telah memberi amaran kepada pihak pengurusan stesen minyak agar sentiasa patuh peraturan dan meningkatkan pemantauan demi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” tegasnya.

Menurut Cik Lilis Saslinda, satu tindakan undang-undang telah diambil di bawah Subperaturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961, atas syak kesalahan melanggar arahan Pengawal Bekalan Malaysia.

Kes itu akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Jika disabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta ($325,099) atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya.

Bagi syarikat yang terbabit pula, denda maksimum RM2 juta akan dikenakan.

Pada 23 Mac, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan akan menyekat kad pengenalan dan pemilik kenderaan yang terlibat dalam urus niaga pembelian petrol RON95 tersebut, daripada terus menikmati insentif Budi Madani RON95 (Budi95).

“MOF memandang serius video tular yang memaparkan individu mengisi petrol RON95 ke dalam tong atau bekas kosong di stesen minyak.

“Siasatan mengesahkan individu tersebut warganegara Malaysia dan pemegang MyKad.

“Perbuatan ini jelas melanggar peraturan dan menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program Budi95, sekali gus berpotensi menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pengurusan subsidi yang telus, bersasar dan berkesan,” jelas MOF.

MOF menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk ketirisan dan penyalahgunaan subsidi, terutama dalam keadaan semasa yang memerlukan kawalan rapi ke atas bekalan dan harga bahan api.

Justeru, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg