Topic followed successfully
Go to BHkuM’sia sekat guna kad asing untuk beli RON95 mulai 1 Apr
M’sia sekat guna kad asing untuk beli RON95 mulai 1 Apr
M’sia sekat guna kad asing untuk beli RON95 mulai 1 Apr
KUALA LUMPUR: Penggunaan kad kredit dan kad debit asing bagi pembelian petrol RON95 di semua stesen minyak di Malaysia akan disekat secara berperingkat bermula April 1.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, berkata langkah itu bagi memastikan subsidi RON95 hanya dinikmati rakyat yang layak dan untuk mengelak ia disalahgunakan oleh pihak tertentu, termasuk pengguna kenderaan dengan nombor pendaftaran asing.
“Ini antara mekanisme baru untuk kita kawal pembelian dan penjualan petrol RON95 di semua stesen minyak dalam negara.
“Isunya sebelum ini adalah terdapat banyak kes kenderaan dengan nombor pendaftaran asing yang mengisi minyak menggunakan kad debit atau kad kredit asing di terminal layan diri pam minyak.
“Oleh itu, sukar untuk pihak stesen minyak dan pihak berkuasa untuk kesan, jika mereka buat pembelian petrol RON95,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Azman berkata KPDN dengan kerjasama syarikat minyak secara berperingkat akan menyekat pembelian petrol menggunakan transaksi sedemikian, dengan pengguna kad kredit atau kad debit asing perlu membuat bayaran di kaunter.
Katanya, langkah itu turut memudahkan pemantauan pengusaha stesen minyak serta pihak penguat kuasa, selain memastikan pematuhan terhadap peraturan sedia ada.
“Bagi stesen minyak yang misalnya ada lebih daripada 15 pam, sukar untuk mereka kesan jika berlaku ketirisan.
“Dengan cara ini, bila pengguna mesti buat bayaran di kaunter, kita dapat pastikan mereka yang tak layak tidak dapat isi RON97.
“Ada beberapa syarikat minyak yang sudah bersedia sepenuhnya dan beberapa lagi akan memulakannya secara berperingkat,” katanya.
Sementara itu, Datuk Azman berkata KPDN melaksanakan strategi lebih agresif bagi berdepan sebarang gangguan bekalan bahan api yang boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.
Katanya, langkah itu termasuk penguatkuasaan sepenuhnya larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 kepada kenderaan berdaftar asing, berkuat kuasa 8 April depan.
Pada tarikh sama, katanya, pelesen stesen minyak di Sabah, Sarawak dan Labuan, turut diarah mengawal penjualan diesel kepada kenderaan pengangkutan darat mengikut kategori, dengan had antara 50 liter, 100 liter dan 150 liter bagi setiap transaksi.
Katanya, ia bertujuan memastikan bekalan diesel bersubsidi pada harga RM2.15 ($0.69) seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan, tidak disalah guna sindiket penyeeludupan atau sektor industri tidak layak, selain menjamin subsidi dinikmati rakyat Malaysia.
“Seramai 2,400 pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara bersiap siaga melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan,” katanya.
Melalui Ops Tiris 4.0, tambahnya, KPDN akan memperkukuh kerjasama strategik bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguat kuasa lain bagi menutup ruang penyelewengan dan ketirisan.

