Topik diikuti
Pergi ke BHkuPDRM digesa siasat syarikat tawar latihan kecantikan palsu
PDRM digesa siasat syarikat tawar latihan kecantikan palsu
PDRM digesa siasat syarikat tawar latihan kecantikan palsu
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa menyiasat sebuah syarikat yang didakwa menawarkan latihan perubatan kecantikan dan estetik palsu, selain menggunakan nama Universiti Malaya (UM) sebagai penyedia kursus secara tidak sah.
Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan Persatuan Cina Malaysia (MCA), Datuk Seri Michael Chong, berkata pihaknya menerima aduan daripada lima mangsa penipuan yang mendakwa kerugian lebih RM100,000 ($32,356) setiap seorang akibat diperdaya.
Katanya, semua mangsa sudah mengikuti latihan dilaksanakan di sebuah hotel dan hanya mengetahui ditipu apabila menerima sijil perakuan menggunakan logo UM secara tidak sah.
“Semua sijil dan pengiktirafan digunakan didapati palsu. Mereka menggunakan nama dan imej institusi terkenal termasuk UM untuk meyakinkan peserta menyertai kursus berkenaan.
“Lebih mengejutkan apabila latihan itu dijalankan di hotel dan bukannya di pusat perubatan yang diluluskan.
“Ada penggunaan jarum, suntikan dan peralatan perubatan yang sepatutnya hanya boleh dilakukan di klinik atau hospital,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, Kuala Lumpur, pada 18 Mei, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Turut hadir ialah tiga wanita yang menjadi mangsa penipuan, selain Presiden Pertubuhan Doktor Estetik Berdaftar Malaysia (PDEBM), Dr Ungku Mohd Shahrin Ungku Mohd Zaman.
Menurut Datuk Chong, setiap mangsa didakwa membayar antara RM100,000 dengan RM180,000 untuk mengikuti kursus terbabit.
Malah, ada antara mereka kini menerima ugutan daripada ejen kutipan hutang selepas gagal membuat bayaran penuh yuran kursus.
“Kami difahamkan masih ada kursus seperti ini diteruskan walaupun sudah didedahkan media. Sebab itu kami mahu pihak polis, KKM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyiasat secara menyeluruh bagaimana perkara ini boleh berlaku,” katanya.
Sementara itu, Dr Ungku Mohd Shahrin berkata hanya doktor berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) serta memiliki Surat Tauliah dan Keistimewaan (LCP) dibenar menjalankan prosedur estetik perubatan di Malaysia.
Beliau berkata penggunaan bahan seperti botox dan prosedur membabitkan suntikan tertakluk di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh dikendalikan pengamal perubatan bertauliah.
“Belajar teori atau ilmu estetik tidak menjadi masalah, tetapi apabila ia diamalkan ke atas manusia, pelbagai peraturan dan akta perlu dipatuhi.
“Kami dapati ada garis panduan kursus yang membenarkan individu bukan berlatar belakang perubatan melakukan suntikan dan rawatan menggunakan jarum. Ini jelas bertentangan dengan peraturan KKM,” katanya.
Beliau turut mempersoal pelaksanaan latihan di hotel kerana prosedur perubatan sepatutnya dilakukan di premis kesihatan berlesen yang mempunyai kelengkapan kecemasan.
Pada 14 Mei lalu, UM menafikan sebarang pembabitan dalam menawarkan atau bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk mengendalikan kursus berkaitan kecantikan dan estetik.
Universiti itu menjelaskan demikian susulan laporan terbaru mendakwa penggunaan nama dan logo universiti awam berkenaan pada sijil yang dikaitkan dengan kursus berkaitan.
Pada hari sama, Persatuan Pakar Estetik Berdaftar Antarabangsa Malaysia (Aica) dilaporkan berkata modul kursus estetik yang dikendalikan oleh syarikat itu tidak tertakluk di bawah bidang kuasa Akta Pendidikan Tinggi atau Peraturan-Peraturan atau Kawal Selia MMC.
