Kesihatan kulit serta rambut boleh terjejas dengan peralihan musim, cuaca kering dan perubahan suhu mendadak.

Malah, rutin yang konsisten sekalipun mungkin tidak memadai.

Kulit terasa tegang dalam masa beberapa jam, rambut menjadi kering apabila sering ditiup angin, manakala dalam sekelip mata kulit boleh berubah menjadi lebih sensitif. 

Ditambah pula dengan debu halus dan kelembapan yang tidak menentu, pelindung kulit (skin barrier) mula mengalami tekanan.

Bagi sebilangan besar orang, perubahan itu berlaku seakan tiba-tiba.

Kulit menjadi kasar dan kering, produk yang biasa digunakan mula menyebabkan kulit terasa pedih, dan jerawat muncul tanpa punca jelas.

Ia bukan satu kejadian yang berlaku tanpa sebab, sebaliknya ia adalah petanda bahawa pelindung kulit telah terjejas.

Pelindung kulit yang lemah selalunya mengikut corak yang jelas.

Kekeringan menjadi semakin teruk, disertai dengan rasa tegang yang berterusan atau kulit mengelupas. 

Kemerahan lebih mudah kelihatan apabila kulit bertindak balas terhadap perubahan suhu dan bahan iritasi luaran.

Pada masa yang sama, masalah jerawat akibat keradangan berlaku lebih kerap apabila kulit menjadi semakin rentan.

Ketika tempoh peralihan cuaca, proses pembersihan harus kurang tertumpu kepada mengikis lapisan semula jadi, sebaliknya mengutamakan perlindungan.

Pembersihan berlebihan terutamanya bagi mendapatkan hasil kulit ‘terlalu bersih’, akan menyingkirkan lipid (lemak) penting yang mengekalkan fungsi perlindungan kulit.

Pembersih dengan pH rendah membantu mengekalkan keseimbangan semula jadi kulit, manakala mencuci muka dengan air suam dapat mengehadkan iritasi. 

Menyapu pelembap sejurus selepas pembersihan adalah kunci utama untuk mencegah kulit kering.

Rutin pembersihan wajah pada waktu pagi harus mengutamakan hidrasi yang ringan.

Pelembap berasaskan gel air, yang sering dirumus dengan bahan pelembap seperti asid hialuronik, menyerap dengan cepat dan membekalkan semula kelembapan tanpa rasa berat, sekali gus membantu kulit kekal seimbang sepanjang hari.

Rutin pembersihan wajah pada waktu malam pula perlu tertumpu kepada bahan yang mengekalkan kelembapan. 

Pelembap berasaskan krim membantu mengunci hidrasi, manakala penggunaan masker wajah secara sekali-sekala ketika tidur menawarkan penjagaan intensif apabila kulit terasa sangat kering dan lesu.

Sifat bersederhana juga sama penting.

“‘Diet’ penjagaan kulit adalah langkah pertama (yang perlu diambil) apabila keadaan kulit anda menjadi tidak stabil,” kata pakar industri kecantikan, Cik Yoon Young-hee, seperti dipetik akhbar The Korea Herald.

“Hentikan seketika rutin pengelupasan (exfoliation), penggunaan bahan aktif dengan kekuatan tinggi, dan elak mencuba produk baru. Kulit perlukan masa untuk pulih. 

“Penggunaan retinol atau vitamin C dengan kepekatan tinggi boleh membawa lebih banyak mudarat daripada kebaikan.”

Selain wajah, penjagaan kulit kepala juga perlu diberi perhatian. 

Pendedahan berterusan kepada sebum, bahan pencemar, produk dandanan, dan udara kering menjadikannya sama rentan semasa peralihan musim.

Trend ‘scalp skinification’ iaitu trend merawat kulit kepala dengan teliti seumpama penjagaan kulit wajah, semakin berkembang dan mencerminkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan penjagaan kulit kepala.

Ia terutamanya dengan penggunaan bahan gred penjagaan kulit yang semakin meluas dalam produk kulit kepala. 

Rawatan malam yang dirumus dengan asid hialuronik, fermentasi lactobacillus, dan ectoin membantu melembapkan serta memperkukuh pelindung kulit kepala, manakala ekstrak tumbuhan seperti centella asiatica dan andrographis meredakan iritasi.

Bertekstur ringan dan cepat meresap, rawatan ini yang boleh digunakan selepas mandi pada waktu malam dan dibiarkan semalaman, membantu mengembalikan kulit kepala yang lebih selesa dan seimbang menjelang pagi.

Dalam musim cuaca tidak menentu, penyelesaian bagi masalah kulit dan wajah bukan dengan menambah produk, tetapi mengurangkan secara strategik.

Mengikut rutin mudah, penggunaan produk pelembap, dan meluaskan penjagaan melangkaui kawasan wajah dapat membantu kulit mendapatkan semula kestabilan dan daya tahan. – Agensi berita.