SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kebakaran hutan di Punggai cecah 150 hektar, operasi pemadaman masih diteruskan

Kebakaran hutan di Punggai cecah 150 hektar, operasi pemadaman masih diteruskan

Asap tebal jejas penglihatan di lebuh raya, polis tutup laluan keselamatan
Mar 24, 2026 | 1:25 PM

Kebakaran hutan di Punggai cecah 150 hektar, operasi pemadaman masih diteruskan

Asap tebal yang terhasil turut menjejaskan jarak penglihatan di lebuh raya berhampiran, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya.
Asap tebal yang terhasil turut menjejaskan jarak penglihatan di lebuh raya berhampiran, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA JOHOR

KOTA TINGGI (Johor): Kebakaran hutan belukar berhampiran Lebuhraya Bypass Punggai, menghala ke Sebana Cove, kini meliputi keluasan sekitar 150 hektar. Operasi memadamkan api sedang giat dijalankan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor melaporkan, kebakaran yang bermula sejak 21 Mac itu setakat ini telah berjaya dipadamkan di kawasan seluas 63 hektar, iaitu kira-kira 42 peratus daripada keseluruhan kawasan terjejas.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) Alvinni Jackson, memaklumkan api masih marak membakar hutan dan belukar kering.

“Cuaca panas dan kering berserta angin kencang berisiko menyebabkan api merebak dengan lebih luas,” katanya dalam kenyataan bertarikh 24 Mac.

Asap tebal yang terhasil pula menjejaskan jarak penglihatan, sekali gus membahayakan pengguna di lebuh raya berhampiran.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Bayu Damai telah menutup laluan di kawasan tersebut bagi menghalang kenderaan memasuki zon berisiko.

Operasi pemadaman melibatkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, dibantu tiga anggota PDRM serta tujuh kakitangan Yayasan Perladangan Johor.

Pasukan bomba melaksanakan serangan terus di dua lokasi utama: di bahagian kiri dan kanan lebuh raya.

Di bahagian kiri, anggota menggunakan satu aliran hos sepanjang 800 kaki, dengan pam air mengambil sumber air terbuka dari takungan berhampiran.

Manakala di bahagian kanan, operasi menggunakan hos sepanjang 1,200 kaki dan sistem pam berantai bagi memastikan bekalan air berterusan dan mencukupi.

Pihak bomba mengesahkan tiada mangsa terlibat setakat ini. Operasi pemadaman akan diteruskan sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya.

Orang ramai dinasihatkan menjauhi kawasan terlibat dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg