Topik diikuti
Pergi ke BHkuUlang tahun ke-80: Umno perlu ‘tukar enjin’ jika mahu kekal relevan
Ulang tahun ke-80: Umno perlu ‘tukar enjin’ jika mahu kekal relevan
Usaha perkukuh identiti perjuangan perlu diperkasa di peringkat akar umbi; lebih ramai pemimpin muda patut diberi peluang pegang jawatan penting
Ulang tahun ke-80: Umno perlu ‘tukar enjin’ jika mahu kekal relevan
Daripada sebuah parti yang pernah menjadi tunjang utama pemerintahan Malaysia sejak lapan dekad lalu, Umno kini berdepan realiti baru politik moden – kehilangan dominasi mutlak, perubahan landskap pengundi, serta keperluan untuk menyesuaikan diri dalam era politik gabungan.
Ketika ulang tahun Umno ke-80 disambut pada Mei, persoalan yang semakin lantang kedengaran bukan lagi tentang legasi masa lalu, tetapi sama ada organisasi yang pernah menjadi parti keramat orang Melayu ini masih mampu membina masa depan yang relevan untuk Malaysia.
Veteran Umno, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, menegaskan Umno kini memerlukan satu ‘reset’ menyeluruh bagi memastikannya terus relevan dalam landskap politik Malaysia yang semakin berubah.
Beliau yang juga Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) menegaskan, tanpa pembaharuan atau ‘reset’ berterusan, mana-mana parti politik berisiko kehilangan relevansi apabila tidak lagi selari dengan perubahan masyarakat dan pola pengundi.
“Saya ini dua bulan lebih tua daripada Umno. Saya lahir pada 11 Mac 1946, Umno pula ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Saya membesar dan mula berpolitik bersama Umno selepas tamat pengajian di Sydney, Australia.
“Kalau kita lihat sejarah, Umno telah berjasa besar membina asas perjuangan Melayu dan merealisasikan aspirasi serta membangunkan Malaysia selepas sekian lama dijajah sejak 1511.
“Tetapi dalam dunia politik, jika parti tidak ‘reset’ dari semasa ke semasa, ia akan tenggelam dan begitulah juga yang dialami Umno ketika ini,” katanya kepada Berita Harian (BH), sempena sambutan ulang tahun ke-80 Umno.
Sambutan ulang tahun Umno ke-80 jatuh bermula pada 1 Mei di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Sempena sambutan itu, beberapa agenda disusun antaranya Kongres Pendidikan Bumiputera pada 1 Mei dan Konvensyen Umno yang dijadual sebagai acara kemuncak pada 2 Mei.
Umno membentuk kerajaan secara berterusan lebih 60 tahun, memegang peranan besar sebagai tulang belakang pembangunan Malaysia, menjadikan parti itu kuasa politik dominan dalam sistem politik Malaysia.
Namun, segalanya berubah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, dua hari sebelum Umno meraikan sambutan ulang tahunnya, apabila Umno dan Barisan Nasional kehilangan kuasa buat kali pertama sejak merdeka.
Kekalahan itu bukan sekadar menyaksikan perubahan Kerajaan Persekutuan, bahkan, titik perubahan paling besar dalam sejarah penubuhan Umno.
Isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan Perdana Menteri ketika itu, Encik Najib Tun Razak dilihat antara punca Umno tersungkur.
Sejak itu, bermulalah krisis dalaman, perpecahan kepimpinan, serta fenomena lompat parti dalam Umno pasca PRU, yang turut mempercepatkan perubahan landskap politik Malaysia.
Menurut Tan Sri Abdul Aziz, kejatuhan dominasi Umno dalam PRU14 dan PRU15 menjadi bukti kejayaan lampau boleh melemahkan semangat perjuangan jika tidak dinilai semula atau ‘reset’.
“Keselesaan dan kemenangan berpanjangan boleh menumpulkan nilai perjuangan. Sebab itu perlu ada penilaian semula matlamat dan hala tuju parti secara berkala,” katanya.
Tan Sri Abdul Aziz juga menilai kelemahan Umno yang menuntut perubahan segera, sehingga terpaksa bekerjasama dengan musuh tradisi, Pakatan Harapan (PH) dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk membentuk Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 pada November 2022.
“Dalam politik ini kita memerlukan kuasa, tetapi saya tak nampak bagaimana Umno dapat berkuasa tanpa berkawan dengan musuh sejak kejatuhannya.
“Namun dalam kerjasama ini, Umno mesti mempertahankan asas utama seperti Perlembagaan. Itu tidak boleh dikompromi,” katanya.
Berpengalaman luas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Pahang, dilantik sebagai Senator selama dua penggal, selain menjadi Timbalan Menteri Besar Pahang, Tan Sri Abdul Aziz mengakui Umno masih memiliki kekuatan organisasi yang besar dengan ratusan bahagian dan jutaan ahli, namun itu sahaja tidak mencukupi.
“Umno tidak boleh hanya berbangga dengan angka 3.5 juta keahlian atau struktur organisasi. Yang penting adalah sejauh mana ahli benar-benar memahami dan percaya kepada perjuangan parti,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh identiti perjuangan perlu diperkasa di peringkat akar umbi dan mencadangkan lebih ramai pemimpin muda diberi peluang memegang jawatan penting.
“Semua Perdana Menteri Malaysia ada kaitan dengan DNA Umno, termasuk Datuk Anwar yang pernah menjadi Timbalan Presiden Umno. Ini menunjukkan Umno adalah ‘training ground’ (tempat latihan) kepimpinan negara,” katanya.
Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi, berpandangan Umno masih mempunyai relevansi dalam landskap politik semasa, namun kedudukannya tidak lagi bersifat automatik seperti dahulu.
“Umno masih relevan, tetapi relevansi itu kini bergantung kepada sejauh mana ia mampu menyesuaikan diri dalam sistem yang tidak lagi didominasi satu parti,” katanya kepada BH.
Menurut Profesor Zainal, kemerosotan Umno selepas PRU14 bukan sekadar episod kekalahan, sebaliknya mencerminkan krisis model yang lebih mendalam.
“Legitimasi moral terhakis, model patronage (sokongan) semakin tidak mampan, naratif lama tidak lagi meyakinkan dan Umno dilihat gagal membaca perubahan generasi.
“Ia bukan sekadar kekalahan, tetapi tanda ‘keletihan enjin’ lama dalam sistem yang sudah berubah,” ujarnya.
Menjelaskan analogi enjin itu, Profesor Zainal menyifatkan Umno seperti enjin pembakaran dalaman (ICE) konvensional yang suatu ketika dahulu mendominasi, namun kini berdepan perubahan ekosistem politik.
“Dulu kenderaan berfungsi mengikut enjin itu. Hari ini landskap berubah ke arah kecekapan, ketelusan dan kelestarian. Masalahnya bukan enjin itu tidak boleh berfungsi, tetapi ia masih beroperasi dalam logik lama,” katanya.
Profesor Zainal yang juga Pengerusi Teras Politik Musyawarah Nasional, menegaskan perubahan kosmetik seperti menukar pemimpin atau imej semata-mata tidak mencukupi.
“Umno perlu ‘tukar enjin’. Daripada kuasa sebagai hak kepada amanah berasaskan integriti, daripada patronage kepada kredibiliti dasar, daripada dominasi kepada kolaborasi berprinsip, dan daripada nostalgia kepada naratif masa depan,” katanya.
Profesor Zainal turut merujuk krisis politik di Negeri Sembilan baru-baru ini sebagai gambaran jelas keadaan dalaman Umno.
“Tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap Menteri Besar menunjukkan cabaran dan isu dalaman, hala tuju yang belum diselaraskan dan disiplin parti yang sedang diuji dalam konteks pemerintahan gabungan.
“Ia bukan isu negeri semata-mata, tetapi cerminan kepada keadaan Umno secara keseluruhan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau melihat situasi itu sebagai peluang strategik untuk Umno melakukan ‘reset’ dan ‘rejuvenate’ (meremajakan) parti.
“Jika diurus dengan baik melalui pendekatan musyawarah, Negeri Sembilan boleh menjadi titik momentum baharu untuk penyatuan dalaman dan penyelarasan arah menjelang pilihan raya akan datang.
“Jika gagal, ia juga boleh menjadi preseden (kes duluan) kepada perpecahan berulang,” katanya.
Profesor Zainal menegaskan masa depan Umno bergantung kepada kesediaannya melakukan perubahan asas, sepertimana analogi perubahan dan penambahbaikan enjin, bukan sekadar penyesuaian luaran.
“Apa yang berlaku hari ini bukan soal sama ada Umno masih boleh bergerak, tetapi sama ada ia bersedia menukar enjin perjuangannya untuk kekal relevan.
“Dalam politik hari ini, bukan yang paling lama bertahan akan menang, tetapi yang paling cepat menyesuaikan diri dengan perubahan,” katanya.
Antara satu perkembangan menarik yang dilihat sebagai usaha Umno untuk mengembalikan keyakinan dan sokongan pengundi kepada parti itu ialah inisiatif Rumah Bangsa.
Dicetuskan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ia bertujuan menarik kembali ahli Umno yang dipecat atau digantung sebelum ini.
Mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, antara yang paling mencuri tumpuan apabila beliau menjadi salah seorang tokoh utama yang kembali menyertai parti itu selepas dipecat pada Januari 2023.
Dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ bersama Encik Shahril Hamdan, mantan Naib Ketua Pemuda Umno yang digantung keahlian sejak 2023, Encik Khairy berkata beliau dikatakan antara lebih 6,000 ahli yang memohon untuk kembali menyertai Umno, dengan permohonannya diluluskan pada 17 April lalu.
Menurut beliau, jumlah itu agak mengejutkan, namun perhatian lebih tertumpu kepada kepulangan tokoh-tokoh berprofil tinggi termasuk veteran Umno yang juga mantan menteri Malaysia sejak 1990 hingga 2009, Tan Sri Syed Hamid Albar dan mantan menteri dari Johor, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Berbeza dengan Datuk Hishammuddin yang digantung keahlian selama enam tahun sejak 2023, Tan Sri Syed Hamid, pernah meninggalkan Umno pada 2018 untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ketika ia dipimpin mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tokoh berusia 82 tahun itu kemudian meninggalkan Bersatu dan bersara daripada politik pada 2022.
Dalam podcast itu Encik Shahril sebelum itu mempersoalkan sama ada Rumah Bangsa mencerminkan kecenderungan Umno untuk ‘mengitar semula’ tokoh lama, berbanding melakukan perubahan strategi politik yang lebih mendasar.
Encik Khairy mengakui kepulangan pemimpin lama, termasuk dirinya, tidak mencukupi untuk mengembalikan dominasi Umno dalam pentas politik Malaysia.
Namun, beliau melihat langkah itu sebagai permulaan penting untuk memperkukuh parti, terutama ketika parti Melayu lain berdepan perpecahan dalaman seperti dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Saya rasa ada pelbagai perkara dan langkah yang perlu diambil untuk memastikan Umno terus kukuh. Tetapi jika Rumah Bangsa sahaja strateginya, ia tidak mencukupi,” katanya, sambil menegaskan keperluan Umno melakukan penilaian menyeluruh dan pembaharuan bagi mengembalikan kekuatan parti.
